Skip to content

🔥 Contoh Karangan SPM | Topik Penting Ujian Bertutur
⚡️ Senarai Nota KOMSAS | Peristiwa Menarik KOMSAS SPM

Kerajaan menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

Cara menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

Kerajaan memainkan peranan yang penting untuk mengatasi masalah pencemaran terutamanya pencemaran yang berlaku di loji rawatan air. Tulis karangan tentang cara kerajaan menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar.

Usaha Kerajaan untuk menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan berita ketiadaan air terawat akibat pencemaran yang berlaku di loji rawatan air. Masalah ini bukan perkara baharu kerana orang ramai sering mengalami masalah ketiadaan air akibat penutupan air disebabkan loji rawatan air telah tercemar. Perkara ini dipandang serius oleh pihak kerajaan sehingga tertangkapnya pengusaha yang menjadi dalang dalam aktiviti pencemaran tersebut. Namun, tindakan yang lebih proaktif perlu diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah ini dan bukan hanya sekadar ‘tunggu dan lihat’ sahaja masalah yang berlaku. Oleh itu, jalan penyelesaian perlu dicari bagi memastikan kemasalahatan masyarakat terjamin.

Sikap tegas dalam penguatkuasaan undang-undang

Salah satu tindakan yang wajib diambil oleh kerajaan iaitu bersikap tegas dalam penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan seharusnya mengenakan tindakan undang-undang yang keras kepada penjenayah- penjenayah alam sekitar ini. Mereka perlu dikenakan hukuman berat dan bukan sekadar denda yang besar sahaja kerana mereka mampu untuk menyelesaikan denda-denda tersebut. Mereka yang terlibat perlu dikenakan hukuman penjara dan dikenakan denda yang besar sebagai ganti rugi yang dialami oleh kerajaan dan masyarakat yang terkesan dengan perbuatan mereka. Bak kata peribahasa, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.” Tindakan kerajaan ini pasti akan menggerunkan pengusaha- pengusaha yang berhasrat untuk melakukan tindakan yang sama.

Siasatan terhadap pegawai yang menutup sebelah mata

Selain mengambil tindakan drastik terhadap syarikat yang mencemarkan alam sekitar, kerajaan juga perlu bertindak tegas terhadap pegawai penguatkuasaan yang gagal menjalankan tugas dengan amanah. Siasatan menyeluruh harus dilakukan bagi membanteras sebarang unsur rasuah atau sikap lepas tangan dalam kalangan pegawai yang sepatutnya mengawal pencemaran. Sekiranya terdapat pegawai yang menutup sebelah mata sambil menerima habuan daripada pihak tidak bertanggungjawab, tindakan undang-undang yang berat mesti dikenakan agar menjadi pengajaran. Amalan tidak berintegriti ini perlu dibanteras dari peringkat akar umbi bagi mengelakkan rasuah daripada menjadi “barah dalam pentadbiran” yang boleh meruntuhkan negara. Langkah tegas ini bukan sahaja memastikan penguatkuasaan lebih berkesan, tetapi juga memberi amaran kepada semua pegawai kerajaan agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Menggalakkan Syarikat yang Bertanggungjawab

Selain tindakan tegas, kerajaan juga perlu menggunakan pendekatan yang lebih diplomatik dalam menangani isu pencemaran alam sekitar, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Salah satu langkah yang boleh diambil ialah menggalakkan syarikat untuk melaksanakan sistem pembuangan sisa toksik secara berjadual mengikut garis panduan yang ditetapkan. Sebagai insentif, kerajaan boleh menawarkan pengecualian cukai atau rebat kepada syarikat yang mematuhi piawaian alam sekitar dengan baik. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan syarikat, tetapi juga mendorong mereka untuk melabur dalam teknologi hijau dan sistem rawatan sisa yang lebih lestari. Pendekatan ini membuktikan bahawa kerajaan bukan sahaja tegas dalam penguatkuasaan, tetapi juga bijak dalam memastikan kepentingan ekonomi dan kelestarian alam bergerak seiring.

Ganjaran ditawarkan kepada rakyat

Ganjaran yang berpadanan juga boleh ditawarkan kepada rakyat yang berani tampil memberikan maklumat tentang pencemaran sungai yang berlaku. Usaha murni kerajaan ini pasti menggalakan penglibatan rakyat atau masyarakat setempat membantu kerajaan menangani masalah pencemaran alam khususnya pencemaran sungai. Maklumat yang diperoleh akan memudahkan kerajaan mengambil tindakan terhadap penjenayah alam sekitar ini. Sedikit sebanyak, kerajaan dapat menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cepat dan pantas tanpa perlu mengambil masa lama untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah alam sekitar.

Pendidikan Alam Sekitar

Kerajaan boleh memasukkan pendidikan alam sekitar sebagai kurikulum wajib dalam sistem pendidikan negara bagi membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Berbanding sekadar menjalankan kempen kesedaran yang bersifat sementara, pendidikan formal tentang pengurusan sisa, teknologi hijau, dan pemuliharaan sumber air harus diterapkan sejak di bangku sekolah. Sebagai contoh, pelajar boleh diberikan projek berkaitan pemantauan kualiti air sungai atau kajian kes tentang kesan pencemaran industri. Langkah ini bukan sahaja membentuk kesedaran jangka panjang, tetapi juga melahirkan pakar alam sekitar yang mampu menangani masalah pencemaran secara sistematik. Bak kata peribahasa, “ilmu pelita hidup,” pendidikan adalah kunci utama dalam menangani masalah pencemaran secara berkesan.

Penutup Karangan Pencemaran Alam Sekitar

Secara tuntasnya, setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya, begitu juga masalah pencemaran sungai yang berlaku di negara kita ini. Namun, jika dibiarkan masalah ini berlarutan tanpa sebarang tindakan daripada kerajaan, pasti akan menjejaskan kehidupan sama ada dari segi kesihatan, ekonomi dan sosial. Oleh itu, usaha kerajaan ini perlulah mendapat sokongan daripada rakyat agar sama-sama menangani masalah pencemaran sungai yang berlaku ini, jika tidak isu ini pasti akan menjadi sejarah hitam kepada negara yang akan diwarisi oleh generasi kepimpinan negara akan datang.

Contoh Karangan: Cara-cara Menjaga alam sekitar

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

You cannot copy content of this page

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x