Skip to content

Cara Kerajaan menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

Cara menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

Kerajaan memainkan peranan yang penting untuk mengatasi masalah pencemaran terutamanya pencemaran yang berlaku di loji rawatan air. Tulis karangan tentang cara kerajaan menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar.

Karangan Usaha Kerajaan untuk menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan berita ketiadaan air terawat akibat pencemaran yang berlaku di loji rawatan air. Masalah ini bukan perkara baharu kerana orang ramai sering mengalami masalah ketiadaan air akibat penutupan air disebabkan loji rawatan air telah tercemar. Perkara ini dipandang serius oleh pihak kerajaan sehingga tertangkapnya pengusaha yang menjadi dalang dalam aktiviti pencemaran tersebut. Namun, tindakan yang lebih proaktif perlu diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah ini dan bukan hanya sekadar ‘tunggu dan lihat’ sahaja masalah yang berlaku. Oleh itu, jalan penyelesaian perlu dicari bagi memastikan kemasalahatan masyarakat terjamin.

Sikap tegas dalam penguatkuasaan undang-undang

Salah satu tindakan yang wajib diambil oleh kerajaan iaitu bersikap tegas dalam penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan seharusnya mengenakan tindakan undang-undang yang keras kepada penjenayah- penjenayah alam sekitar ini. Mereka perlu dikenakan hukuman berat dan bukan sekadar denda yang besar sahaja kerana mereka mampu untuk menyelesaikan denda-denda tersebut. Mereka yang terlibat perlu dikenakan hukuman penjara dan dikenakan denda yang besar sebagai ganti rugi yang dialami oleh kerajaan dan masyarakat yang terkesan dengan perbuatan mereka. Tindakan kerajaan ini pasti akan menggerunkan pengusaha- pengusaha yang berhasrat untuk melakukan tindakan yang sama.

Siasatan terhadap pegawai yang menutup sebelah mata

Selain tindakan drastik yang diambil oleh kerajaan terhadap syarikat yang menjadi onar dalam pencemaran alam ini, tindakan tegas lagi drastik juga perlu diambil terhadap kakitangan kerajaan yang culas dalam melakukan tindakan penguatkuasaan. Malah kerajaan perlu melakukan siasatan terhadap pegawai-pegawai penguatkuasaan yang mungkin bersikap menutup sebelah mata sambil menerima habuan di tangan. Tindakan yang tidak amanah dan berintegriti ini perlu ditangani diperingkat akar umbi agar masalah rasuah tidak menjadi barah yang menghancurkan negara. Tindakan tegas ini pasti akan menggerunkan kakitangan kerajaan untuk bersikap culas ketika melakukan pekerjaan atau berani menerima habuan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Usaha untuk menggalakkan syarikat

Bukan itu sahaja, kerajan perlulah bijak menangani masalah ini, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Kerajaan perlu bijak mengaturkan usaha-usaha menggalakkan syarikat-syarikat untuk membuang sisa toksik melalui sistem pembuangan berjadual yang telah tersedia. Galakan-galakan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk pengecualian cukai syarikat sebagai ganjaran atas sokongan terhadap ekosistem negara. Insentif-insentif ini sebagai satu rangsangan kepada syarikat untuk terus menjaga alam sekitar dan menjamin kelestarian alam. Secara tidak langsung, kerajaan bukan sahaja dilihat tegas dalam tindakan tetapi juga berhemah dalam menyelesaikan masalah.

Ganjaran ditawarkan kepada rakyat

Ganjaran yang berpadanan juga boleh ditawarkan kepada rakyat yang berani tampil memberikan maklumat tentang pencemaran sungai yang berlaku. Usaha murni kerajaan ini pasti menggalakan penglibatan rakyat atau masyarakat setempat membantu kerajaan menangani masalah pencemaran alam khususnya pencemaran sungai. Maklumat yang diperoleh akan memudahkan kerajaan mengambil tindakan terhadap penjenayah alam sekitar ini. Sedikit sebanyak, kerajaan dapat menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cepat dan pantas tanpa perlu mengambil masa lama untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah alam sekitar.

Penutup Karangan Cara menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

Secara tuntasnya, setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya, begitu juga masalah pencemaran sungai yang berlaku di negara kita ini. Namun, jika dibiarkan masalah ini berlarutan tanpa sebarang tindakan daripada kerajaan, pasti akan menjejaskan kehidupan sama ada dari segi kesihatan, ekonomi dan sosial. Oleh itu, usaha kerajaan ini perlulah mendapat sokongan daripada rakyat agar sama-sama menangani masalah pencemaran sungai yang berlaku ini, jika tidak isu ini pasti akan menjadi sejarah hitam kepada negara yang akan diwarisi oleh generasi kepimpinan negara akan datang.


Contoh Karangan: Cara-cara Menjaga alam sekitar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *