Skip to content

Contoh Karangan SPM Kesan Bencana Alam Berlaku

Karangan Kesan Bencana Alam Berlaku

Bencana alam sering berlaku disebabkan aktiviti manusia yang mengejar kemodenan dunia. Apakah kesan bencana alam yang perlu ditempuhi oleh masyarakat dalam situasi ini?

Kesan yang perlu ditempuhi ketika Bencana Alam Berlaku

Dalam arus mengejar kemodenan negara, aktiviti perusahaan dan pembuatan barangan telah memberi impak negatif kepada alam sekitar. Walau bagaimanapun, tindakan tidak berhati perut ini akhirnya memberi impak kepada manusia itu sendiri. Mereka terpaksa menghadapi kesukaran hidup akibat kecuaian mereka dalam penjagaan alam sekitar. Persoalannya, apakah implikasi yang perlu ditempuhi oleh masyarakat dalam menghadapi situasi ini.

Kepupusan habitat haiwan

Salah satu kesan buruk yang dikenal pasti ialah kepupusan habitat haiwan. Haiwan – haiwan ini akan kepupusan habitat kerana bahan tercemar telah memusnahkan tempat tinggal mereka. Kebanyakan haiwan telah hilang sumber makanan, rantaian makanan haiwan juga terputus akibat bencana alam ini menyebabkan spesies-spesies haiwan liar yang sukar ditemui semakin pupus. Akibatnya haiwan terlindung di dalam Hutan Hujan Tropika semakin sukar ditemui seperti gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.

Lapisan ozon bumi

Selain itu, lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi juga akan mengalami penyusutan kesan daripada pencemaran udara yang berlaku. Penggunaan alat pendingin udara dan alat semburan seperti semburan cat, semburan minyak yang banyak digunakan dalam kehidupan boleh menipiskan lapisan ozon ini. Hal ini mengakibatkan cahaya matahari yang sampai ke bumi menyebabkan manusia mudah menghidap penyakit barah kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Akibatnya, pada hari cuaca panas terik yang melampau terjadi fenomena atau bencana alam di sesetengah kawasan.

Hujan asid yang memusnahkan kehidupan

Seterusnya, udara tercemar juga disebabkan terbentuknya hujan asid hasil gabungan gas yang terkandung dalam air hujan. Hal ini berlaku apabila gas tersebut dibebaskan ke udara lalu bertindak balas dengan wap air yang terdapat di atmosfera seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan lalu membasahi hidupan yang terdapat di bumi. Akibatnya, tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air musnah lalu boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Malangnya, tanah-tanih turut terkesan lalu menyebabkan hasil tanah menjadi kurang. Tegasnya, hujan asid ini akan memberi impak besar dalam kehidupan.

Kesan pemanasan global

Di samping itu, kesan yang paling ketara dan hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa ini ialah kesan pemanasan global yang berpunca daripada rumah hijau. Pemanasan global ini berlaku disebabkan kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon yang dirasai oleh penduduk bumi. Keadaan ini disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Akibat gas karbon dioksida yang terkumpul terlalu banyak, haba terperangkap di bumi sehingga menjadi panas lalu lapisan ozon menjadi nipis. Akibatnya, ekosistem terganggu, bencana alam kerap terjadi dan berlaku kejadian alam yang tidak normal. Aktiviti pembakaran terbuka juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi dan seterusnya menjejaskan kualiti udara.

Penutup Karangan Kesan Bencana Alam Berlaku

Secara tuntasnya, kesan bencana alam ini telah memberi kesedaran kepada semua pihak tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan secara tidak langsung membuka peluang dan ruang untuk membaik pulih kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia dan masyarakat dunia secara amnya akan mula menghargai alam sekitar. Sesungguhnya setiap kemelut yang berlaku menjadi pengajaran kepada generasi akan datang sesuai dengan peribahasa lalu, yang buruk dijadikan sempadan dan yang baik dijadikan teladan.


Contoh Karangan: Punca bencana alam berlaku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *