Skip to content

Contoh Karangan SPM – Kesan Buruk Ketagihan Gajet

Karangan Kesan Buruk Ketagihan Gajet

Penggunaan gajet seperti telefon bimbit menjadi kemestian dalam kalangan remaja masa kini. Apakah kesan buruk ketagihan gajet terhadap anak-anak?

Kesan Buruk Ketagihan Gajet

Marcapada, masalah kebejatan akhlak remaja masa kini semakin menjadi-jadi sehingga tular dalam media sosial tentang sikap mereka yang melanggar budi bahasa dan budaya masyarakat timur. Keadaan ini dikatakan berpunca daripada ketagihan gajet yang berlaku dalam kalangan remaja. Mereka terlalu leka dengan gajet lalu lupa akan tangungjawab terhadap diri dan pelajaran. Akibatnya, mereka akan mengalami pelbagai keburukan akibat daripada ketagihan gajet. Sebelum perkara ini menjadi parah, masalah ini hendaklah dicegah lebih awal lagi kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat. Maka, anak-anak perlu mengetahui kesan buruk jika mereka ketagihan gajet. Persoalannya, apakah kesan buruk daripada ketagihan gajet terhadap anak-anak?

Gangguan perkembangan otak anak

Salah satu kesan buruk yang telah dikenal pasti oleh pakar perubatan ialah gangguan perkembangan otak anak-anak. Menurut pakar kanak-kanak, mereka yang terdedah dengan gajet yang terlalu lama akan menyebabkan mereka menghadapi masalah kurang perhatian dan mereka juga menghadapi masalah kognitif iaitu masalah kesukaran untuk mempelajari, memproses dan memahami sesuatu maklumat yang diberi atau diterima oleh kanak-kanak. Selain masalah tersebut, Masalah peningkatan impulsif akan memberi kesan dalam kehidupan anak-anak sehingga mereka gagal mengawal diri . Akibatnya, ibu bapa terpaksa mencari penyelesaian yang bijak agar tidak memberi kesan lain kepada anak-anak seperti peribahasa Melayu bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Masalah gangguan penglihatan

Selain perspektif yang dinyatakan tadi, anak-anak yang kerap bermain dengan gajet akan menghadapi masalah gangguan penglihatan. Akibat terlalu lama melihat skrin gajet, mata akan menjadi letih dan anak mata akan mula berair. Keadaan ini telah menyebabkan anak-anak mengalami masalah rabun mata dan lama-kelamaan ibu bapa terpaksa membuat cermin mata untuk anak pada usia yang muda. Tambahan pula, mereka terlalu memberi tumpuan pada skrin gajet dalam tempoh yang lama telah menyebabkan mata mereka menjadi juling. Mereka tidak dapat melihat dengan jelas lalu menjejaskan prestasi pembelajaran. Tegasnya, masalah ketagihan gajet mengganggu daya penglihatan dan masa depan mereka.

Masalah obesiti

Di samping masalah penglihatan, masalah yang lebih besar dan sensitif untuk dibincangkan ialah masalah obesiti dalam kalangan anak-anak. Mereka meluangkan masa terlalu lama bermain permainan dalam talian dengan menggunakan gajet masing-masing dalam tempoh yang terlalu lama. Keadaan ini menyebabkan pembakaran kalori tidak berlaku. Apatah lagi jika mereka bermain sambil menikmati kudapan yang tidak menepati amalan gaya hidup sihat, pasti masalah ini akan menjadi lebih parah. Jelas sekali, ketagihan gajet turut memberi kesan pada kesihatan dan emosi anak-anak.

Remaja bersosial dan berinteraksi dengan rakan

Tidak dinafikan masalah ketagihan gajet ini akan menyebabkan mereka kurang bersosial. Mereka seolah-olah memiliki dunia sendiri dengan gajet serta rakan sepermainan mereka di alam maya. Kecanggihan permainan dalam talian seperti Mobile Legend dan PUBG telah menyebabkan mereka saling berinteraksi dengan rakan sepermainan. Akibatnya, mereka tidak suka bersosial di luar dan kerap berada di dalam bilik bersama dengan gajet. Kesemua situasi ini sedang berlaku dalam masyarakat kita. Secara tidak langsung alat gajet atau peranti ini akan menjadikan sesseorang itu bersikap antisosial lalu menjadi punca seseorang itu hilang kemahiran berkomunikasi dan bersosial. Tegasnya, ketagihan gajet ini akan memberi impak negatif dalam aspek sosial dan masyarakat.

Penutup Karangan Kesan Buruk Ketagihan Gajet

Secara kolektifnya, masalah ketagihan gajet merupakan masalah sejagat yang perlu diberi perhatian oleh semua penyedia sistem permainan, pencipta permainan dan ejen penyebar permainan dalam talian agar mereka insaf akan kerosakan yang telah dilakukan oleh mereka di dunia ini sehingga memberi kesan negatif pada masa depan seseorang. Oleh itu, ibu bapa berperanan besar dalam menangani masalah yang masih belum ketemu jalan penyelesaiannya.


Contoh Karangan – Kesan penggunaan telefon bimbit

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page