Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kesan daripada Kemalangan berlaku

Kesan Negatif daripada Kemalangan berlaku

Kemalangan yang berlaku akan memberi kesan negatif kepada mangsa dan masyarakat kita. Huraikan kesan negatif naripada kemalangan yang berlaku.

Kesan Negatif daripada Kemalangan berlaku

Peningkatan jumlah kematian akibat kemalangan ini berpunca daripada pelbagai faktor. Antara faktor yang signifikan dalam kes ini ialah kecuaian dan kelalaian pengguna jalan raya. Keadaan jalan yang tidak selamat ditambah pula dengan faktor cuaca juga menjadi punca kemalangan jalan raya. Akibat kemalangan tersebut, pelbagai kesan buruk yang dihadapi oleh semua pihak sama ada kesan langsung atau tidak langsung. Oleh itu, kita perlu meneliti implikasi yang diterima oleh pelbagai pihak akibat kemalangan jalan raya.

Kehilangan nyawa

Salah satu kesan daripada kemalangan ialah kematian dan kehilangan nyawa. Apabila berlaku kematian, negara akan kehilangan aset berharga dan bernilai tinggi. Tanpa kita sedari, negara akan mengalami kerugian tenaga kerja penting sekiranya mereka yang terlibat dalam kemalangan itu mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan oleh negara. Apatah lagi jika mangsa kemalangan itu terlibat dalam dasar pembangunan negara, pasti segala gerak kerja akan terencat. Selain itu, mangsa yang meninggal dunia merupakan harapan keluarga dan menjadi penggerak ekonomi keluarga. Akibat kematian ini, sesebuah keluarga bagai terpadam pelita harapan, hilang tempat bergantung bagai layang-layang putus talinya.

Kecacatan anggota

Bukan itu sahaja, jika terselamat mereka berkemungkinan akan mengalami kecacatan anggota. Mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya akan mengalami kecacatan sementara atau kekal. Kecacatan ini akan mengehadkan pergerakan dan keupayaan mereka untuk melakukan kerja. Akibatnya, mangsa kemalangan mengalami kesukaran untuk menerima keadaaan yang tidak sempurna malah mereka terpaksa meminta bantuan daripada ahli keluarga lain untuk membantu mereka mengurus kehidupan. Natijahnya, mangsa kemalangan bukan sahaja mengalami kecacatan fizikl tetapi trauma yang mendalam sehingga memberi beban perasaan yang terbelenggu dengan perasaan bersalah.

Merosakkan harta benda

Selain itu, kemalangan yang berlaku akan merosakkan harta benda sekali gus menyebabkan kerugian wang ringgit. Kemalangan akan menyebabkan kenderaan terbabit rosak dan perlu dibaiki. Akibatnya, pengguna terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi atau kehilangan Diskaun Tiada Tuntutan daripada pihak insuran. Pengguna terpaksa membayar harga insuran sepenuhnya untuk tahun yang akan datang. Malangnya, kerja-kerja membaik pulih akan mengambil masa yang lama dan situasi begini akan menyusahkan pemilik kenderaan kerana mereka terpaksa meminjam atau menyewa kenderaan lain sementara menunggu kenderaan siap dibaiki.

Menjejaskan imej negara

Di samping itu, kes kemalangan ini akan menjejaskan imej negara. Kebanyakan pelancong asing suka mengembara menggunakan basikal, motosikal dan kenderaan awam merentasi benua. Jika mereka mengalami pengalaman buruk ketika merentas jalan-jalan raya di Malaysia, pasti mereka akan memberikan komen negatif kepada rakan-rakan yang ingin mengembara. Keadaan ini akan menjejaskan nama baik Malaysia, apatah lagi usaha kerajaan dalam kempen Tahun Melawat Malaysia dilihat gagal memancing pelancong asing ke negara kita. Jika di luar negara, pengguna jalan raya yang menggunakan kenderaan kecil akan diberi keutamaan, berbeza di Malaysia kenderaan besar diberi keutamaan.

Penutup Karangan Kesan daripada Kemalangan

Secara tuntasnya, kemalangan yang berlaku akan memberi kesan negatif walaupun bukan itu pilihan mangsa, namun kemalangan dapat dielakkan jika kita semua bertanggungjawab dan prihatin terhadap penguna jalan raya yang lain. Sesungguhnya kemalangan yang berlaku ini merupakan suratan takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan, namun sebagai hamba kita mestilah berdoa, berusaha dan bertawakal apabila memulakan perjalanan. Kita hendaklah berdoa agar Tuhan melindungi perjalanan kita. Kita juga hendaklah berusaha menjaga kenderaan, memandu dengan bertanggungjawab dan hormat-menghormati sesama pengguna jalan raya yang lain. Akhir sekali, kita beserah kepada Tuhan yang menentukan segala takdir kita.


Contoh Karangan Berkaitan: Langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *