Skip to content

Contoh Karangan SPM – Kesan Pemanasan Global

Karangan Kesan Pemanasan Global

Pemanasan global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas” dan perubahan iklim semakin berlaku. Tulis karangan tentang kesan Pemanasan Global.

Esei Kesan Pemanasan Global

Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan kesihatan diri.  Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang semata-mata.

Ancaman kesihatan

Namun, bagi yang terselamat, mereka sebenarnya terdedah kepada ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi.  Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan ribuan mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Masalah Rumah Hijau

Pemanasan global yang berpunca daripada pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon di ruang atmosfera bumi. Lapisan ozon bertindak memusnahkan larutan karbon dioksida kepada organik. Masalah rumah hijau yang berlaku telah menyebabkan penipisan lapisan ozon. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.

Pembentukan ribut taufan serta hujan monsun

Selain itu, suhu tinggi turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa. Contoh terbaik dapat dilihat berdasarkan kepada gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000.  Gelombang “kepanasan” ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk kini jauh lebih tinggi.  Malah, ada negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun telah dilanda ribut salji dan ribut taufan yang teruk.

Peningkatan strok haba

Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”. Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak, dan warga emas yang merupakan golongan paling mudah terdedah menjadi mangsa pertama bencana alam.

Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih

Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , taun dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.

Memberi kesan kepada badan dan jantung

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.

Penutup Karangan

Pemuliharaan alam sekitar perlu dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata kata pepatah, “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana sememangnya orang yang tamak selalu rugi. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.


Contoh Karangan: Langkah mengatasi isu pemanasan global

Tags:

1 thought on “Contoh Karangan SPM – Kesan Pemanasan Global”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *