Skip to content

Contoh Karangan – Kesan negatif sektor perindustrian

Kesan negatif sektor perindustrian

Malaysia menggunakan sektor perindustrian untuk meningkatkan tahap ekonomi penduduk negara. Manakala sektor ini juga membawa impak yang buruk kepadanegara kita. Tulis karangan tentang kesan negatif sektor perindustrian terhadap Malaysia.

Kesannegatifsektor perindustrian terhadap Malaysia

Sektor perindustrian merujuk sektor kilang yang menghasilkan pelbagai produk yang berguna buat manusia seperti menghasilkan kereta dan makanan. Negara kita memang telah menggunakan sektor ini sebagai satu tindakan untuk meningkatkan tahap ekonomi penduduk negara menjadi setanding dengan negara-negara lain terutama di sebelah rantau Asia. Kejayaan sektor perindustrian di negara ini juga sering menjadi bahan berita dalam media massa tempatan dan asing terutama sekitar tahun 80-an dan 90-an. Cuma, sejak akhir-akhir ini pelbagai komentar tentang impak negatif sektor ini mula mendapat tempat dalam perbincangan masyarakat setempat.

Kemusnahan kawasan hutan negara

Impak yang paling ketara yang ditimbulkan oleh sektor perindustrian ialah kemusnahan kawasan hutan negara kita yang terkenal dengan flora dan faunanya yang tersendiri itu. Dalam usaha untuk membentuk satu kawasan perindustrian yang luas dan efisien serta berdaya saing, satu kawasan baru yang luas harus dibuka yang biasanya melibatkan penerokaan kawasan hutan negara. Penebangan kawasan hutan negara ini dikatakan telah memusnahkan habitat hidupan liar negara yang suatu masa dahulu menjadi kebanggan negara kita pula seperti harimau dan gajah serta badak sumbu sumatera. Maka, kewujudan sektor perindustrian telah membawa kemusnahan kawasan hutan negara yang luas dan sukar untuk dipulihkan semula.

Kadar pencemaran alam turut meningkat

Lantaran itu, kadar pencemaran alam turut meningkat kerana sektor perindustrian dikatakan sering menghasilkan sisa-sisa toksik yang tidak dibuang secara sistematik atau dengan baik. Kebanyakan bahan buangan sektor ini dialirkan begitu sahaja tanpa dilakukan sebarang rawatan yang sesuai untuk memastikan sungai dan udara negara tidak tercemar dengan mudah. Masalah ini diburukkan lagi dengan ketiadaan kawasan hijau negara yang sudah pun semakin berkurangan dengan pembukaan kawasan kilang yang besar ini. Sesungguhnya, kadar pencemaran alam menjadi begitu serius dengan bertambahnya kawasan sektor perindustrian kerana sektor ini mempunyai pembuangan sisa-sisa kimia yang berbahaya.

Mengoyahkan sistem kekeluargaan

Bukan sahaja alam tercemar dan hutan negara hilang begitu sahaja tetapi kewujudan sektor perindustrian telah mengoyahkan sistem kekeluargaan di negara ini dengan begitu ketara. Banyak ibu bapa yang bekerja dengan sektor perindustrian terpaksa mengikut waktu kerja yang agak ganjil iaitu ada kalanya mereka terpaksa bekerja malam dan kerja lebih masa yang menyebabkan tumpuan mereka terhadap keluarga menjadi semakin kurang. Kekerapan mereka bekerja juga menjadikan diri mereka lebih tidak berupaya untuk mendidik anak dengan baik yang membawa peningkatan masalah sosial terutama di kawasan bandar yang banyak memiliki kilang-kilang moden. Jelaslah, sektor ini bukan sahaja memusnahkan alam tetapi turut menjadikan kehidupan sosial masyarakat menjadi porak-peranda dalam tempoh yang singkat.

Sektor pertanian terpinggir

Impak yang lain yang turut ditimbulkan oleh sektor ini ialah terpinggirnya sektor pertanian di negara ini. Dahulu sebelum pengenalan sektor perindustrian ini, kebanyakan penduduk negara ini terlibat dalam sektor pertanian yang begitu meluas. Kini, sektor pertanian semakin terpinggir kerana kadar upah dan cara kehidupan di ladang yang dikatakan tidak lagi menepati kehendak zaman yang membawa ramai tenaga kerja beralih bekerja di sektor perindustrian pula yang mendorong negara terpaksa menggunakan pekerja asing untuk bekerja di sektor peladangan. Maka, sektor perindustrian turut memusnahkan sektor pertanian negara yang dahulunya menjadi kebanggaan kita semua.

Penutup Karangan sektor perindustrian

Konklusinya, sektor prindustrian membawa banyak impak negatif kepada negara dalam jangka masa panjang. Semua pihak harus menilai semula penekanan terhadap sektor ini dengan memikirkan kaedah-kaedah lain untuk memajukan negara kerana kita tidak mahu menjadi sebuah negara moden tetapi kehilangan budaya dan khazanah negara pula dalam masa yang sama. Keseimbangan harus dicari dalam usaha untuk menangani kemelut ini kerana faktor itulah yang bakal akan membawa negara kita terus mampu untuk bersaing dalam arena global kini. Mungkinkah kita harus mengetatkan syarat-syarat penubuhan kilang-kilang baru di negara ini?


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *