Skip to content

Esei PA: Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik

Esei Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik

Tadbir urus yang baik akan dapat memacu setiap penjawat awam ke arah pemantapan sistem penyampaian awam yang efektif dan berkesan. Jelaskan kesan yang akan wujud jika penjawat awam tidak mengamalkan tadbir urus baik ini.

Esei Pengajian Am: Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik

Tadbir urus yang baik dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Setiap penjawat awam dapat berubah ke arah pemantapan sistem penyampaian awam yang efektif dan berkesan. Manakala,kelemahan dalam tadbir urus baik akan menimbulkan pelbagai kesan negatif.

Kos operasi akan meningkat

Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik ialah kos operasi meningkat. Kecuaian dan kesilapan menyebabkan sesuatu tugas perlu dilakukan berulang kali dan ini akan meningkatkan kos operasi. Pertambahan tempoh menyiapkan kerja akan meningkatkan perbelanjaan berikutan terpaksa membayar kos tambahan seperti upah pekerja pada tempoh yang lebih panjang. Kos operasi yang meningkat akan menyebabkan sesuatu projek akan dinilai semula dan ini akan menyebabkan projek yang dijalankan tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Peningkatan aduan dalam komuniti

Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik ialah peningkatan aduan dalam komuniti. Aduan orang awam terhadap perkhidmatan awam semakin meningkat terutama dari segi sikap kakitangan awam. Dalam hal ini ada sesetengah kakitangan awam yang tidak mengamalkan ciri-ciri tadbir urus baik sebaliknya lebih kepada perlakuan negatif. Misalnya, tidak mengambil tindakan segera dan salah guna kuasa.

Menjejaskan kepercayaan masyarakat

Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik ialah menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam. Sikap penjawat awam yang tidak mengamalkan tadbir urus baik menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap perkhidmatan awam. Sikap kakitangan awam seperti tidak telus menguruskan perbelanjaan urus tadbir negara akan menyebabkan rakyat mungkin dikenakan cukai yang tinggi dalam menampung kesan daripada ketidaktelusan yang berlaku. Sambutan masyarakat terhadap perkhidmatan awam mungkin akan merosot akibat sikap tidak telus ini.

Menjejaskan usaha pembangunan negara.

Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik ialah menjejaskan usaha pembangunan negara. Penjawat awam yang tidak akur kepada polisi dan dasar tadbir urus baik akan menyebabkan setiap program pembangunan negara tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Penjawat awam yang tidak mengikut polisi dan amalan tadbir urus baik mungkin tidak mampu menyampaikan maklumat berkenaan projek pembangunan negara dengan baik. Rakyat mungkin keliru kerana tidak mendapat maklumat yang tepat tentang projek pembangunan yang dijalankan dan mungkin mudah terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab dalam membantah projek tersebut.

Menjejaskan imej perkhidmatan awam

Kesan tidak mengamalkan tadbir urus baik ialah menjejaskan imej perkhidmatan awam. Rungutan dan perasaan tidak puas hati masyarakat tentang kelemahan tadbir urus akan menjejaskan imej perkhidmatan awam. Gejala rasuah dan penyelewengan yang merebak dalam kalangan penjawat awam juga menjejaskan imej perkhidmatan awam. Misalnya, kes penyelewengan wang projek air di Sabah yang menggemparkan Malaysia kerana melibatkan jutaan ringgit

Penutup esei

Kesimpulannya, perkhidmatan awam merupakan institusi penting yang bertanggungjawab bagi melaksanakan dasar dan peraturan kerajaan ke arah pembangunan negara. Oleh itu,usaha berterusan untuk membudayakan tadbir urus baik dalam sektor awam menjadi agenda utama negara.

(400 patah perkataan)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *