Skip to content

Karangan: Langkah Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Karangan Langkah Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Bangunan bersejarah yang tersembunyi merupakan satu monumen yang dapat mengingati sejarah masa lalu. Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan bersejarah?

Langkah-Langkah untuk Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Pada era “dotcom” pasca-2020, pembangunan fizikal menjadi penanda aras kemajuan sesebuah negara. Kegilaan membina bangunan tertinggi menjadi matlamat sesebuah negara agar nama negara gah di persada dunia. Namun, semua kegilaan tersebut telah menyebabkan bangunan bersejarah tersembunyi di sebalik bangunan yang gah. Oleh itu, kerajaan telah mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan bersejarah ini demi memastikan bangunan tersebut dapat dilihat oleh generasi akan datang. Persoalan yang bermain di benak fikiran dan di dalam hati ini ialah apakah langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan bersejarah tersebut?

Mewartakan bangunan bersejarah sebagai warisan negara

Langkah awal yang telah diambil oleh kerajaan adalah dengan mewartakan bangunan bersejarah sebagai satu warisan negara yang perlu dipelihara. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan bangunan bersejarah tidak diurus dengan baik lalu menyebabkan bangunan bersejarah mengalami kerosakan teruk dan sukar dibaiki. Hanya beberapa bangunan sahaja yang mendapat perhatian kerajaan seperti bangunan Sultan Abdul Samad. Keadaan ini menyebabkan bangunan bersejarah yang berada di kawasan pedalaman telah mengalami kerosakan yang semakin sukar untuk dipulihara. Oleh itu, kerajaan hendaklah membuat pemantauan dan pemeriksaan berkala pada setiap bangunan bersejarah agar bangunan tersebut utuh dan teguh untuk tatapan generasi akan datang.

Peruntukan khas bagi mengekalkan Bangunan Bersejarah

Langkah seterusnya yang wajar diberi perhatian oleh kerajaan adalah dengan memberi peruntukan khas bagi memelihara dan memulihara bangunan bersejarah. Sebagai contoh, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan untuk membaik pulih bangunan bersejarah yang terdapat di seluruh negara. Malah kerajaan juga boleh menawarkan kerja-kerja baik pulih kepada syarikat korporat atau syarikat konglomerat yang sudi melakukan Tanggungjawab Sosial Korporat. Dengan cara ini kerajaan dapat menjimatkan wang seterusnya memberi tanggungjawab kepada pihak swasta membantu kerajaan mengekalkan bangunan bersejarah. Jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja kerajaan malah pihak swasta turut bertanggungjawab dalam usaha murni ini.

Pengindahan kawasan persekitaran

Pada masa yang sama, kerja-kerja pengindahan kawasan persekitaran bangunan bersejarah akan menjadikan bangunan bersejarah lebih segar, ceria dan hidup. Malah penyediaan kemudahan asas di bangunan bersejarah akan memudahkan lagi pengunjung yang datang ke bangunan tersebut. Tindakan ini akan menyebabkan bangunan bersejarah sentiasa dikunjungi pelancong. Dengan cara itu, bangunan bersejarah tidaklah hanya menjadi bangunan yang sepi tanpa kunjungan pelancong. Secara tidak langsung, bangunan bersejarah akan mendapat perhatian daripada peminat sejarah negara. Tegasnya, pembaharuan dalam bangunan bersejarah akan dapat mengekalkan bangunan bersejarah.

Penyelidikan dan pembangunan

Tidak dinafikan bahawa bangunan bersejarah dapat dikekalkan dengan penglibatan daripada semua agensi kerajaan terutama yang berkaitan dengan kerja penyelidikan dan pembangunan. Usaha ini dilihat dengan kerjasama daripada Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya yang sentiasa memantau usaha-usaha mengekalkan bangunan bersejarah. Hal ini bertujuan agar bangunan bersejarah sentiasa dipelihara dan dipulihara demi mengekalkan bangunan bersejarah. Bukan itu sahaja, kerjasama erat antara universiti yang menjalankan penyelidikan dan kajian akan dapat mendokumentasikan semua maklumat bangunan bersejarah sebagai sebuah dokumen rasmi yang akan menjadi rujukan kepada ahli sejarah. Secara tidak langsung usaha ini akan dapat menjadi bukti tentang sejarah negara.

Penutup Karangan Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Secara intihanya, kewujudan bangunan bersejarah menjadi satu monumen yang dapat menjadi bukti kepada generasi masa ini tentang sejarah masa lalu. Oleh itu, kerajaan hendaklah terus memastikan bangunan bersejarah terus kekal menjadi bukti yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sebagai sebuah monumen agung yang melambangkan identiti negara.


Contoh Karangan: Kepentingan bangunan bersejarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *