Skip to content

Karangan Berformat – Laporan Lawatan Sambil Belajar

Laporan Lawatan Sambil Belajar

Lawatan sambil belajar ke Parlimen Malaysia oleh Persatuan Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Invictus, Melaka, pada 20 Ogos 2023.

Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Parlimen Malaysia

Pada 20 Ogos 2023 yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Invictus, Melaka telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur. Lawatan ini melibatkan 40 pelajar dan dua orang guru penasihat, iaitu Cikgu Aaron Kumar dan Cikgu Nur Hanis Binti Ibrahim.

Kami berkumpul di perkarangan sekolah kira-kira pukul 7.00 pagi. Sarapan pagi, termasuk nasi lemak, kuih-muih, dan teh, turut disediakan sebelum menaiki bas yang telah disewa. Sebelum perjalanan, Cikgu Aaron dan Cikgu Nur Hanis memberikan taklimat kepada kami. Perjalanan mengambil masa 2 jam, dan setibanya di pintu masuk Parlimen Malaysia, En Mohd Kamil Bin Wahyuddin, seorang pegawai bertugas, menyambut kami dengan mesra.

Kami diberi peluang melawat sekitar bangunan Parlimen, termasuk taman-taman dan kolam ikan di hadapan bangunan tersebut. Kemudian, kami dibawa ke Dewan Rakyat, salah satu dewan penting di Parlimen. Pada masa itu, perbahasan ahli-ahli Dewan Rakyat sedang berlangsung, dan kami dapat menyaksikan secara langsung. Isu yang dibincangkan pada masa itu adalah berkaitan dengan e-pendidikan. Isu yang menjadi perdebatan ahli-ahli Dewan Rakyat pada masa itu adalah mengenai e-pendidikan. Sebahagian daripada ahli Dewan Rakyat berdiri untuk membantah cadangan yang diusulkan, sementara tidak kurang juga beberapa ahli yang mempertahankan usul tersebut. Suasana di dalam dewan menjadi lebih gamat apabila beberapa ahli mengetuk meja sebagai tanda sokongan.

Setelah perbahasan selama 1 jam 15 minit, kami berpindah ke tempat duduk pelawat. Kesemua ahli Dewan Rakyat meninggalkan dewan untuk makan tengah hari. Kami turut berkesempatan berjumpa dengan Speaker Dewan Rakyat dan beramah mesra bersama beberapa ahli Dewan Rakyat. En Mohd Kamil kemudiannya membawa kami ke dewan besar untuk makan tengah hari sebelum kami bertolak pulang pada pukul 2.30 petang.

Kami sangat gembira dan berterima kasih kerana berpeluang mendapat pendedahan terhadap institusi Parlimen di Malaysia. Kami berharap lawatan sambil belajar seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang untuk memberikan peluang yang lebih luas kepada pelajar-pelajar.

Disediakan oleh, 23 Ogos 2023

HARIZAL

(MOHD HARIZAL BIN ALI)
Setiausaha Persatuan Bahasa Malaysia
Sekolah Menengah Kebangsaan Invictus, Melaka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *