Skip to content

Contoh Karangan Memorandum Rancangan Hiburan

Contoh Karangan Memorandum Rancangan Hiburan

Kini, stesen televisyen cenderung untuk mengadakan rancangan hiburan yang bersifat realiti bagi menarik minat penonton. Rancangan sedemikian menimbulkan kesan negatif kepada penonton, terutamanya golongan remaja.

Sebagai pengerusi sebuah persatuan kebudayaan dan kesenian yang berpengaruh, anda diminta untuk menghantar satu memorandum kepada Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan. Dalam memorandum tersebut, anda menyatakan kesan negatif yang timbul daripada rancangan tersebut, dan mengemukakan usul untuk menangani kesan negatif itu. Tulis memorandum tersebut selengkapnya.

FormatMemorandum


MEMORANDUM

Kepada :
Daripada :

Tajuk Memorandum

1.0 Pendahuluan

2.0 Pernyataan Masalah/Kebimbangan/Kekesalan/Bantahan (berdasarkan tugasan soalan)

2.1 Subtajuk
Huraian memorandum.

2.2 Subtajuk
Huraian memorandum.

2.3 Subtajuk
Huraian memorandum.

3.0 Usul

3.1 Subtajuk
Huraian usul.

3.2 Subtajuk
Huraianusul.

3.3 Subtajuk
Huraianusul.

4.0 Penutup

Disediakan oleh,_______________________________________________________________ Tarikh

Tandatangan
(NAMA DALAM HURUF BESAR)
Jawatan


Memorandum tentang Rancangan Hiburan Bersifat Realiti


MEMORANDUM

Kepada : YB Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan
Daripada :Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Pekan

Memorandum tentang Rancangan Hiburan Bersifat Realiti yang Disiarkan melalui Televisyen

1.0 Pendahuluan

Dunia hiburan sekarang semakin berkembang di negara ini. Kini, rancangan hiburan yang bersifat realiti, misalnya Vokal Bukan Sekadar Rupa, Maharaja Lawak, Mentor, dan lain-lain telah diperkenalkan oleh syarikat televisyen tempatan. Rancangan Maharaja Lawak khususnya, bukan sahaja diminati oleh anak muda tetapi juga oleh orang dewasa. Meskipun rancangan tersebut mendatangkan kepuasan kepada mereka, namun kesan negatifnya akan menjejaskan masa depan orang ramai, khususnya golongan remaja. Menyedari hal itu, Persatuan Seni Warisan Daerah Pekan menghantar memorandum ini untuk mengemukakan kesan negatif rancangan tersebut dan juga usul untuk menangani kesan yang dimaksudkan.

2.0 Pernyataan Kekesalan

Pihak persatuan berasa kesal tentang isu berkenaan kerana penyiaran rancangan berkenaan boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada penonton, khususnya golongan remaja.

2.1 Pembaziran Masa

Kewujudan rancangan hiburan yang bersifat realiti mengakibatkan banyak masa seseorang terbuang, lebih-lebih lagi bagi rancangan yang tempoh siarannya panjang. Situasi ini menjejaskan kelancaran aktiviti harian mereka yang berkenaan. Bagi sesetengah pelajar pula, mereka sanggup menangguhkan tugasan yang diberikan oleh guru semata-mata untuk berada di hadapan televisyen bagi mengikuti perkembangan rancangan hiburan yang bersifat realiti yang menjadi kegemaran mereka. Segelintir pelajar sanggup ponteng kelas tuisyen bagi tujuan tersebut. Sekiranya amalan ini berterusan, prestasi akademik mereka akan merosot, dan situasi ini sekali gus menjejaskan usaha kita untuk melahirkan pelajar yang tahu menghargai masa dan cemerlang dalam bidang akademik.

2.2 Pengaruh Negatif

Selain itu, cara berpakaian, pergaulan, ataupun perlakuan artis yang kadangkala bertentangan dengan nilai ketimuran, ternyata mempengaruhi tingkah laku golongan remaja. Oleh sebab itulah kebanyakan remaja di negara ini suka berpakaian yang mencolok mata. Pergaulan bebas antara artis lelaki dengan artis perempuan juga menjadi amalan atau ikutan sesetengah remaja. Golongan ini bertindak demikian kerana golongan artis sememangnya menjadi ikutan mereka. Lagipun, pada usia sebegini, golongan remaja mudah terikut-ikut dengan perlakuan orang lain. Selain menjejaskan imej remaja, tindakan golongan ini turut menjejaskan imej masyarakat dan negara.

3.0 Usul

Yang berikut merupakan usul bagi menangani masalah tersebut.

3.1 Mengehadkan Rancangan

Bagi menangani kesan negatif rancangan hiburan yang bersifat realiti, bilangan rancangan tersebut hendaklah dikurangkan. Selain itu, tempoh siarannya juga perlulah dipendekkan. Hal ini demikian kerana kebanyakan stesen televisyen tempatan menyiarkan rancangan hiburan bersifat realiti tanpa had untuk mengaut keuntungan. Stesen televisyen harus memikul tanggungjawab sosial untuk menyiarkan rancangan-rancangan yang lebih bersifat mendidik masyarakat. Sehubungan dengan itu, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan wajar menyediakan garis panduan tentang jumlah dan tempoh tayangan rancangan yang wajib dipatuhi oleh semua stesen televisyen.

3.2 Menyediakan Garis Panduan

Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menetapkan garis panduan, khususnya tentang perkara yang berkaitan dengan akhlak dan moral artis serta juri yang terlibat. Garis panduan yang disediakan haruslah menitikberatkan nilai-nilai ketimuran rakyat Malaysia. Sebagai contoh, penggunaan bahasa kasar tidak dibenarkan. Selain itu, batas pergaulan antara artis lelaki dengan artis perempuan serta gaya berpakaian mereka haruslah ditetapkan. Hal ini demikian kerana penonton mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat oleh mereka. Oleh itu, kerajaan haruslah menyediakan garis panduan yang jelas.

4.0 Penutup

Rancangan hiburan yang bersifat realiti banyak mendatangkan kesan negatif kepada orang ramai, terutamanya golongan remaja. Pembaziran masa dan wang bukan sekadar merugikan mereka, tetapi turut menjejaskan usaha untuk melahirkan remaja yang bijak merancang dan cemerlang dalam semua bidang. Persatuan ini tidak menuntut agar rancangan yang sedemikian dihentikan tetapi mengemukakan beberapa usul yang difikirkan wajar dilaksanakan untuk kebaikan semua. Sekiranya usul di atas dilaksanakan, persatuan ini yakin bahawa kesan negatif yang dimaksudkan itu akan berkurangan. Semoga matlamat negara untuk melahirkan remaja yang berwawasan akan menjadi kenyataan.

Disediakan oleh, _________________________________________________________ 30 Jun 2021

Abdul Rahim
(ABDUL RAHIM BIN ABDULLAH)
Pengerusi
Persatuan Seni Warisan
Daerah Pekan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page