Skip to content

Contoh Karangan Cara memupuk semangat patriotisme

Cara memupuk semangat patriotisme

Generasi muda terutamanya pelajar tidak lagi bersemangat kebangsaan seperti generasi sebelum merdeka. Tulis karangan tentang cara-cara memupuk semangat patriotisme.

Langkah-langkah untuk memupuk semangat patriotisme

Sejak belakangan ini, banyak diperkatakan tentang pemupukan semula semangat kebangsaan atau nasionalisme dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Gesaan ini memang wajar memandangkan generasi muda khususnya pelajar tidak lagi bersemangat kebangsaan seperti generasi sebelum merdeka. Lebih tepat kalau dikatakan semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda kini adalah longgar, lemah, dan tidak bermaya. Pada marcapada yang pesat membangun dalam teknologi maklumat ini, semangat patriotik adalah penting untuk membina jati yang kental dan kuat agar dapat mewujudkan perpaduan nasional. Persoalannya, apakah cara cara untukmemupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar?

Mengenali tokoh kemerdekaan negara

Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja kini. Pertamanya, mereka hendaklah digalakkan untuk mengenali tokoh-tokoh yang memperjuang untuk kemerdekaan negara dan mereka juga hendaklah didedahkan kepada jasa-jasa serta pengorbanaan pejuang tanah air kita agar golongan remaja kita sedar dan insaf, bak kata pepatah “Tak kenal maka tak cinta”.

Kita perlu mengikuti semangat cinta akan negara yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh sejarah seperti Hang Tuah, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Tokoh-tokoh tersebut berani menentangkan segala kuasa luar yang ingin menguasai tanah air kita pada zaman dahulu. Kalau generasi muda tahu akan pahit maung dan susah payahnya tokoh-tokoh pada zaman silam memperjuangkan kemerdekaan negara , tentunya mereka tidak tergamak menghancurkan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi kini dengan tindakan-tindakan negatif.

Memupuk semangat patriotisme di sekolah

Pihak sekolah pula hendaklah menanam semangat cinta akan negara dalam diri setiap pelajar dengan menyelitkan kecintaan kepada bangsa dan negara dalam setiap subjek seperti , bekerjasama, tolong-menolong, bertoleransi serta berbudi bahasa. Para pendidik hendaklah menggunakan beberapa minit daripada jadual pengajaran sesuatu mata pelajaran untuk menanamkan semangat kecintaan kepada bangsa dan negara. Pendidikan perlu menyuntik semangat juang dan keyakinan diri dalam diri setiap pelajar. Mereka perlu didedahkan dengan semangat “Malaysia Boleh” seperti yang dilakukan oleh Datuk Azhar Mansur dan para pendaki Gunung Everest. Semangat cinta akan negara juga hendaklah dipupuk pada peringkat awal persekolahan lagi. Ibu bapa hendaklah mengasuh anak-anak mereka supaya menghormati keutuhan dan kedaulatan negara.

Melawat tempat bersejarah

Selain itu, generasi muda hendaklah digalakkan melawat tempat-tempat bersejarah. Pemerhatian mereka kepada kesan-kesan peninggalan sejarah akan melahirkan semangatjuang untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Misalnya, kunjungan ketempat-tempat yang bersejarah seperti Bandar Hilir, Melaka akan mengingatkan mereka kepada sejarah hitam negara ketika dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris.

DedahanJalur Gemilang

Tamabahan pula, dedahan Jalur Gemilang dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja. Golongan muda perlu selalu didedahkan kepada Jalur Gemilang yang berkibar megah pada sepanjang masa dan perayaan Hari Kebangsaan setiap tahun. Hal ini sepatutnya dijadikan wadah untuk memperbaharui azam mempertahan kemerdekaan pada masa depan. Mereka perlu diberi kesedaran betapa pentingnya erti kemerdekaan terhadap sesebuah negara. Sikap yang positif ini mestilah ditanam pada setiap individu supaya mereka sentiasa membuat sesuatu dengan berdasarkan semangat cinta akan Negara.

Lagu patriotik

Seterusnya, mereka juga perlu didedahkan kepada lagu-lagu patriotik terutama lagu “Negaraku” untuk menyemaikan rasa cinta dan taat kepada negara. Pihak-pihak yang tertentu seperti Persatuan Sejarah Malaysia boleh menganjurkan pertandingan lagu bertemakan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan generasi muda. Peraduan seperti ini akan memberi kesempatan kepada golongan muda untuk mengumpulkan bahan-bahan sejarah yang banyak dalam akhbar-akhbar. Pengumpulan bahan-bahan sejarah ini secara tidak langsung akan mencelikkan mereka kepada sejarah perjuangan generasi silam demi kemerdekaan negara daripada belenggu penjajah.

Penutup Karangan Semangat Patriotisme

Kesimpulannya, perasaan patriotisme amat penting terhadap kestabilan sesebuah negara. Tahap cinta akan negara dalam sesebuah negara merupakan suatu unsure yang amat mempengaruhi pembangunan negara. Oleh itu, kerajaan hendaklah memupuk semangat patriotisme dalam setiap orang rakyat, khususnya dalam kalangan remaja supaya dapat melahirkan seorang modal insan yang cinta akan negara dan pemimpin yang berwibawa untuk masa yang akan datang.


Contoh Karangan: Usaha Meningkatkan Sikap Cinta akan Negara
Contoh Karangan: Usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia

6 thoughts on “Contoh Karangan Cara memupuk semangat patriotisme”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *