Skip to content

Karangan SPM Usaha untuk menjaga kelestarian alam sekitar

Usaha untuk menjaga kelestarian alam sekitar

Kes pencemaran alam semakin kerap didedahkan oleh media. Apakah usaha-usaha yang dapat kita lakukan demi menjaga kelestarian alam sekitar?

Peranan untuk menjaga Kelestarian Alam Sekitar

Dasawarsa ini, kes pencemaran alam semakin kerap didedahkan oleh media elektronik dan media cetak. Keadaan ini mula mendapat perhatian semua pihak terutama dalam media sosial yang lebih terbuka sehingga menimbulkan kecaman yang berbaur kepada kerajaan. Sikap tunggu dan lihat ini menimbulkan kegusaran kepada masyarakat khususnya golongan B40 yang merupakan golongan berpendapatan di bawah RM 4000 selalunya terperangkap dalam masalah ekonomi dan sosial. Oleh itu, satu prakarsa perlu digembleng oleh semua pihak demi memastikan kelestarian alam sekitar dan kita perlu meneliti usaha-usaha yang dapat kita lakukan demi menyelamatkan alam sekitar.

Peranan Ibu Bapa untuk mendidik anak

Peranan pertama yang perlu kita ambil dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar adalah dengan bermula di rumah. Ibu bapa berperanan mendidik anak tentang kepentingan penjagaan alam sekitar. Mereka perlulah mendidik anak -anak sejak kecil lagi cara menghargai alam iaitu dengan tidak membuang sampah merata- rata. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, merupakan peribahasa yang sering kali dikaitkan dengan peranan ibu bapa mendidik anak sejak kecil kerana pendidikan tidak formal di rumah ini akan dapat memupuk nilai murni dalam diri anak -anak. Aktiviti bercucuk tanam di halaman tepi rumah merupakan satu aktiviti sihat yang dapat memupuk rasa cinta akan alam sekitar. Keadaan ini secara tidak langsung memupuk jiwa anak-anak untuk memelihara alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

Pendidikan untuk memupuk anak mencintai alam sekitar

Selain peranan ibu bapa, pendidikan formal di sekolah turut berperanan dalam usaha memupuk anak- anak mencintai alam sekitar. Pembelajaran subjek-subjek tertentu seperti subjek Sains dan Sivik akan dapat membuka minda pelajar tentang kepentingan alam sekitar kepada mereka. Selain pembelajaran di dalam kelas, semua pelajar wajib menyertai Kelab Pencinta Alam yang merupakan sebahagian aktiviti kokurikulum. Aktiviti di luar bilik darjah pasti akan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang kepentingan penjagaan alam sekitar justeru pelajar akan dapat dipupuk untuk mencintai alam sekitar.

Peranan masyarakat

Di samping itu, masyarakat merupakan komuniti besar yang berperanan menjaga alam sekitar. Masyarakat yang tinggal berhampiran sungai, mereka dipertanggungjawabkan menjaga sungai melalui konsep sungai angkat. Komuniti di kawasan sungai tersebut perlu memastikan keadaan sungai terpelihara daripada sebarang aktiviti pencemaran. Mereka hendaklah melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. Secara tidak langsung, tindakan ini menimbulkan rasa cinta akan alam sekitar kepada masyarakat.

Hebahan berita tentang kegiatan merosakkan alam sekitar

Hari ini media elektronik begitu dekat dengan masyarakat. Tidak dinafikan kecanggihan telefon bimbit menjadikan maklumat dapat dikongsi dengan cepat. Kewujudan laman berita alternatif seperti MalaysiaKini, dan Malaysia Gazzet mampu memberi laporan berita tentang kegiatan-kegiatan merosakkan alam sekitar. Laporan seperti ini akan membuka minda masyarakat seterusnya melakukan hebahan kepada semua melalui medium komunikasi masing-masing. Ungkapan bagai katak di bawah tempurung mungkin tidak sesuai diguna pakai dalam era milinium ini memandangkan semua informasi berada di hujung jari. Namun “jika tidak pasti, jangan kongsi itulah” merupakan saranan terbaik yang disampaikan oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia).

Penutup Karangan Kelestarian Alam Sekitar

Secara keseluruhanya, setiap masalah yang terjadi merupakan satu ujian daripada Tuhan agar hambanya dapat berfikir dan mencari penyelesaian dengan bijak, bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Pada masa yang sama masalah yang berlaku ini membuka peluang dan ruang serta kesedaran kepada kita semua untuk berfikir secara positif dan pragmatik. Jika semua pihak dapat memainkan peranan masing- masing, nescaya usaha mencegah pencemaran alam sekitar ini akan dapat dijayakan dengan mudah demi memastikan alam sekitar ini dapat kita wariskan kepada generasi akan datang agar mereka tidak berasa sedih dan kesal menerima alam sekitar yang tercemar daripada tangan nenek moyang mereka.


Contoh Karangan: Cara-cara Menjaga alam sekitar
Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *