Skip to content

Contoh Karangan Norma Baharu Wabak Covid-19

Karangan Norma Baharu Wabak Covid-19

“Kejayaan tidak akan datang kepada manusia yang leka” – Charles Cahier. Berdasarkan kata-kata yang  dilontarkan oleh tokoh intelegensia di atas ,jelas memanifestasikan kepada kita bahawa sesuatu perkara yang diingini hanya mampu digapai seandainya didorong oleh sikap bersungguh-sungguh dan keazaman yang memuncak.Namun begitu, sayang seribu kali sayang, ramai dalam kalangan kita yang kabur daripada kebenaran dek kerana hasutan manusiawi yang adakalanya membawa kemudaratan khususnya apabila kita berbicara mengenai wawasan kita dalam mendepani arena wabak Covid-19. Umumnya,norma baharu boleh disifatkan sebagai usaha yang dilakukan oleh masyarakat dalam menangani sesuatu keadaan yang memerlukan perubahan kebiasaan dan gaya hidup dalam kehidupan seharian.

Dalam mendepani arus kehidupan saat ini, kita dapat menyaksikan dan mendengar berkenaan penyebaran virus corona atau lebih dikenali sebagai Covid-19 yang semakin meruncing dan seakan-akan  kian membusut sebagai topik hangat yang disiarkan di kaca televisyen,di corong-corong radio,di dada-dada akhbar dan menjadi genre terpenting kini terutamanya dalam media massa. Sesungguhnya isu covid-19 telah meledakkan kerisauan dalam kalangan pemimpin bahkan seluruh strata masyarakat di dunia pada saat ini . Hakikatnya,pelbagai usaha yang telah dipraktikkan namun belum memperlihatkan kesan secara makro dan mikro dalam mencari penawar ampuh pandemik Covid-19.Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang pemikiran kita semua, apakah norma baharu yang perlu diamalkan dalam menyekat penularan yang wabak Covid-19 ini? Ayuh luaskan horizon pemikiran seluas padang pasir,kita bincangkan satu per satu secara holistik.

Memetik wasitah nirmala pertama sebagai lontaran uslub yang paling konkrit dan signifikan dalam membincangkan norma baharu wabak Covid-19 adalah setiap individu seharusnya mengamalkan jarak sosial ketika berurusan dengan anggota masyarakat bagi membanteras sebarang kemungkinan penyebaran dan jangkitan wabak yang bertindak ibarat api dalam sekam.Tamsilnya,mengaplikasikan pengamalan jarak  selamat sekurang-kurangnya 1.5 meter ketika melakukan aktiviti membeli barangan keperluan di pasar raya atau kedai runcit.Hal ini sememangnya harus diberi penekanan secara menyeluruh kerana penjarakkan sosial mampu mengelakkan risiko jangkitan yang akan mendatangkan penyesalan.Sesungguhnya,obligasi antara masyarakat merupakan inti kepada kejayaan negara dalam merealisasikan mimpi menjadi realiti dalam usaha menghambat wabak yang berbahaya ini.Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyatakan bahawa amalan penjarakan sosial bukan hanya mengelakkan kita daripada dijangkiti malahan menjangkiti individu lain kerana individu yang telah dijangkiti Covid-19 ini berkemungkinan menunjukkan gejala selepas tempoh 14 hari lantas membuktikan kepentingan penjarakkan sosial.Justifikasinya,setiap individu perlu mengamalkan jarak sosial dalam kehidupan norma baharu ini.

Melangkah masuk ke dalam jendela perbincangan untuk meneruskan kupasan selanjutnya iaitu setiap individu perlu mengadaptasikan amalan sanitasi diri sebagai langkah utuk membasmi virus yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar ini.Contoh yang boleh diketengahkan adalah menggunakan ‘hand sanitizer’ yang berasaskan alkohol dengan kadar yang disarankan atau mengimplimentasikan amalan membasuh tangan menggunakan sabun.Hal ini tidak seharusnya dipandang enteng kerana Allah SWT telah berfirman dalam surah ar-Raad ayat 11 yang bermaksud,Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mencuba untuk mengubahnya sendiri.Kendatipun diuji dengan 1001 kemelut yang mencengkam sanubari,setiap individu tetap harus mengorak langkah dengan mengindoktrinasikan tindakan yang mampu membenamkan segala sifat berserah tanpa sebarang tindakan dan tidak hanya menuding jari semata-mata tanpa bermuhasabah.Berdasarkan siaran langsung khas’Kenali COVID-19’ di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan berkenaan keberkesanan penggunaan ‘hand sanitizer’ dan turut menyatakan bahawa bahan yang mengandungi ‘sodium hypoclorite’atau agen peluntur boleh digunakan untuk pembersihan kawasan rumah atau pejabat. Hakikatnya,di mana ada kemahuan di situ ada jalan,amalan sanitasi bukanlah satu kewajipan namun begitu telah menjadi satu keperluan kepada setiap individu agar tidak diselebungi dengan wabak yang berupaya mengancam nyawa.Bulan kian terang,matahari kian sirna,tegaslah bahawa setiap insan haruslah rajin mengamalkan sanitasi diri pada setiap hari.

Menyusuri kepada lensa perbincangan idea yang berasaskan minda kelas pertama seterusnya iaitu masyarakat perlu mengelakkan pergaulan yang berlebihan sehingga melibatkan sebarang sentuhan yang memungkinkan virus merebak tatkala dilingkari ikatan kerinduan mahupun ikatan silaturahim yang ingin dijaga.Sebagai analoginya,bersalaman atau berpelukan antara satu sama lain kerana kerinduan yang ditanggung setelah sekian lama tidak bersua muka demi mematuhi larangan rentas negeri atau ingin menjaga hati insan yang ditemui daripada tersinggung.Hal ini dikatakan demikian kerana bersalaman merupakan perkara asas dan utama dalam sesebuah pertemuan.Namun demikian,perkara ini boleh diatasi dengan mengamalkan etika pergaulan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu meletakkan tangan di dada sebagai tanda menghormati insan yang ditemui.Realitinya,kecanggihan teknologi yang kita nikmati pada saat ini turut berperanan sebagai wahana yang efektif dalam mengeratkan hubungan manusiawi seperti penggunaan aplikasi Whatsapp yang bukan saja mempunyai fungsi untuk menghantar mesej sahaja malahan menyediakan penggunaan panggilan dan panggilan video yang mampu memuatkan 8 orang dalam satu panggilan.Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah menyarakan 8 daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai telefon pintar.Maka,kenyataan ini secara tidak langsung menidakkan segala alasan lantas menggalakkan komunikasi melalui media sosial.Manifestasinya,setiap anggota masyarakat harus mengehadkan pergaulan secara jarak dekat.

Mari kita soroti dan luaskan minda dengan memetik idea perbincangan yang selanjutnya ialah masyarakat sewajarnya mematuhi segala saranan yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui’Standard Operating Procedure(SOP)’ .Pengusaha syarikat,kilang,premis perniagaan perlu memainkan peranan di sektor masing-masing dengan menjalankan SOP yang telah ditetapkan seperti perlu menjalankan pemeriksaan suhu dan sanitasi terhadap diri dan pekerja mereka.Hal ini dikatakan demikian kerana pematuhan SOP merupakan ikhtiar ampuh dalam mengekang wabak ini kerana melalui pemeriksaan suhu,insan yang disyaki memiliki simptom dapat ditegah daripada memasuki tempat kerja dan akan dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.Tugas mematuhi SOP ini bukanlah tugas individu semata-mata namun memerlukan tindakan seluruh anggota masyarakat untuk bersama-sama menggalas obligasi seiring dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 yang membawa maksud dan tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan.Hal ini turut didorong oleh amaran kerajaan yang akan mengambil tindakan undang-undang secara tegas kepada individu atau premis yang tidak mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan.Sememangnya masyarakat diibaratkan batu-bata dalam membangunkan sebuah negara yang makmur.Deduksinya,masyarakat perlu mematuhi SOP yang telah dilaksanakan.

Sebagai penghias bicara akhir bagi mengakhiri coretan ini secara totalnya,sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa setiap individu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan dan merakyatkan norma baharu seiring dengan kata-kata yang telah dinukilkan oleh tokoh terkemuka dunia iaitu Beng Tju iaitu rakyat itu akar bangsa,jika akarnya sihat,pokoknya pun sihat.Sesunggguhnya,usaha yang dijalankan perlulah diadaptasikan secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh persis kata pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang bagi memperoleh hasil yang membahagiakan.Sikap cakna terhadap perubahan harus ditanam dalam pemikiran dan diterjemahkan  melalui perbuatan.Besarlah harapan kita untuk mencorakkan persekitaran yang harmoni dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan kemanisan kehidupan dalam menjadikan negara kita adalah sebuah negara yang selamat dan kehidupan rakyatnya terjamin serta bebas daripada wabak pengancam negara iaitu Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *