Skip to content

Contoh karangan Pengajaran Pandemik Covid 19

Pengajaran Pandemik Covid 19

Wabak Covid 19 memberi impak besar dan telah melumpuhkan sosioekonomi dunia. Penyakit ini memberi pelbagai iktibar dan pengajaran kepada kehidupan kita. Bincangkan.

Pengajaran Pandemik Covid 19

Sebagaimana yang kita ketahui, tahun 2020 merupakan tahun yang ditunggu dan didamba sejak zaman nenek moyang kita lagi. Pelbagai harapan yang tinggi telah ditaruhkan dalam kemajuan negara daripada aspek infrastruktur, pengangkutan dan ekonomi apabila menjelang era globalisasi seperti apa yang dimaktubkan dalam Wawasan 2020. Walaubagaimanapun, kita sebagai hamba hanya mampu merancang, Tuhan yang maha menentukan segalanya. Pada pertengahan bulan Disember 2019, seantero dunia termasuk Malaysia telah dikejutkan dengan wabak pandemik yang berasal daripada negara China. Menurut sumber internet, Covid-19 atau lebih dikenali sebagai penyakit koronavirus merupakan penyakit berjangkit yang mengganggu saluran pernafasan dan boleh membawa maut jika tidak menerima rawatan awal.

Penyakit ini sangat mudah berjangkit daripada seseorang individu ke individu yang lain hanya melalui sentuhan. Beberapa cara untuk mengatasi pandemik ini termasuklah mengekalkan jarak satu meter antara manusia, memakai pelitup muka jika bergejala , tidak bersesak-sesak di kawasan awam dan sebagainya. Statistik jumlah kes pesakit koronavirus di Malaysia tidak menentu kerana bergantung kepada kepatuhan rakyat terhadap SOP yang ditetapkan dan kepakaran serta kemampuan barisan hadapan menghadapi masalah global ini. Kehadiran wabak yang memberi impak besar dan hampir melumpuhkan sosioekonomi dunia ini telah memberi pelbagai iktibar dan mengajar kita erti kehidupan yang sebenar.

Sifat syukur kepada sang pencipta

Daripada sudut kerohanian, sifat syukur kepada sang pencipta wajarlah dizahirkan di dalam jiwa raga setiap makhluk yang bergelar manusia. Pelbagai bantuan daripada aspek kewangan, makanan dan perubatan telah diberikan oleh kerajaan ketika perintah kawalan pergerakan kepada semua warganegara tidak mengira bangsa dan agama. Kebanyakan negara luar seperti Palestin bukan sahaja kekurangan bekalan makanan yang menyebabkan kelaparan malahan bekalan perubatan serta kakitangan perubatan untuk merawat pesakit juga tidak mencukupi. Hal ini berlaku demikian kerana kesukaran kemasukan bantuan bekalan di sempadan setiap negara yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa. Walaubagaimanapun, kerajaan Malaysia sangat menitikberatkan kebajikan seluruh rakyat dengan berbagai-bagai cara.

Sebagai contoh, kerajaan berusaha mengumpulkan gelandangan di pusat perlindungan sementara dan membekalkan sumber makanan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan. Kesihatan yang baik sepanjang tempoh kuarintin juga merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Di tanah air kita sendiri, lebih seratus nyawa penghidap penyakit koronavirus telah terkorban kerana tidak mampu diselamatkan. Oleh itu ,setiap insan perlulah memahat rasa syukur kepada Allah kerana ditakdirkan untuk menjalani kehidupan norma baharu di negara yang mempunyai pentadbiran yang sangat cekap dan pemimpin yang bijak dan bertanggungjawab.

Menghargai jasa barisan hadapan

Sebagai rakyat malaysia yang berperikemanusiaan, kita wajarlah menghargai jasa dan bakti yang dicurahkan oleh barisan hadapan yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan bertungkuh lumus menghapuskan wabak ini. Misalnya, ketua pengarah kesihatan yang turun padang setiap hari dalam sidang media harian, para pemimpin yang berfikir secara bijak untuk menstabilkan sosio ekonomi negara, doktor dan jururawat yang tidak mengenal erti penat lelah merawat pesakit, polis dan askar yang bersiap siaga di sempadan setiap negeri, pekerja pembersihan, penghantar makanan, para pendidik dan lain-lain. Insan-insan ini bukan sahaja sanggup tidak bertemu keluarga yang tersayang berbulan-bulan serta mengabaikan pengurusan diri malahan wira kita sanggup merisikokan nyawa yang tidak ternilai demi memegang amanah Allah. Betapa besarnya pengorbanan mereka terhadap tanah air yang tercinta.

Oleh itu, cara-cara untuk menghargai jasa insan-insan hebat ini adalah mematuhi peraturan yang dipinta oleh kerajaaan dan tidak lupa untuk menitipkan nama mereka di dalam doa harian. Pengorbanan dan bakti yang dicurahkan tidak mampu dibalas dengan ungkapan kata terima kasih atau wang ringgit tetapi diharap mendapat balasan syurga di akhirat kelak. Jasa barisan hadapan akan dikenang di dalam jiwa setiap individu hingga ke akhir zaman. Bak kata pepatah melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Sentiasa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian

Di samping itu, salah satu pengajaran Pandemik Covid 19 yang perlu diambil termasuklah kita wajarlah sentiasa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian. Pergerakan setiap individu dikawal ketat telah menyebabkan hampir semua sektor perindustrian ditutup dalam tempoh yang lama. Justeru, ramai rakyat malaysia yang kehilangan pekerjaan dan disekat gaji bulanan. Ekonomi negara telah jatuh merudum kerana sektor perdagangan, pelancongan dan banyak lagi telah terjejas. Oleh itu, kerajaan telah memainkan peranan dengan menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan menyediakan keperluan harian untuk golongan fakir miskin. Wang simpanan di bank menjadi harapan untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi golongan yang tidak berkemampuan.

Setiap orang wajarlah mengukur baju di badan sendiri dengan berbelanja secara bijak seperti membeli keperluan dan tidak mengikut kehendak. Kebanyakan rakyat Malaysia juga telah mengambil inisiatif sendiri dengan berniaga makanan atau pakaian secara kecil-kecilan di dalam talian untuk menampung perbelanjaan keluarga. Pembaziran merupakan perkara yang wajib dielakkan ketika waktu-waktu sesak sebegini Berjimat cermat adalah amalan mahmudah yang perlu diamalkan agar menjalani kehidupan yang sejahtera dan harmoni walaupun menerima perubahan yang drastik.

Menjaga kebersihan diri

Kebersihan diri merupakan aspek utama yang harus diberi perhatian ketika musim koronavirus ini. Kita perlulah menjaga kebersihan demi kesejahteraan hidup. Pelbagai cara menjaga kebersihan telah diuar-uarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sama ada di kaca televisyen atau di media sosial untuk menambah pengetahuan rakyat tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan. Contohnya, etika batuk dan bersin yang betul, kewajipan pemakaian pelitup muka di tempat awam, kerap menggunakan cecair pembasmi kuman, penjagaan jarak sosial dan cara mencuci tangan. Kewajipan memakai pelitup muka tidak boleh menjadi alasan untuk pelitup muka dibuang begitu sahaja di merata-rata tempat . Persekitaran yang bersih juga sangat berkait rapat dengan kesihatan diri.

Kluster baharu yang wujud menyebabkan stastik kes aktif meningkat juga berpunca daripada individu yang tidak prihatin terhadap kebersihan diri. Sesetengah pesakit koronavirus sangat mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing masing kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan seperti keluar ke tempat awam dengan tidak memakai pelitup muka dalam tempoh kuarintin selama 14 hari. Jika setiap individu tidak menggalas tanggungjawab untuk menjaga kebersihan diri, maka usaha dan pengorbanan hanyalah seperti mencurah air ke daun keladi. Tuntasnya, sebagai rakyat malaysia yang mementingkan gaya hidup sihat, kita hendaklah menjaga kebersihan diri dan persekitaran agar dikurniakan tahap kesihatan yang baik dan mengelakkan diri daripada penyakit berbahaya.

Kesimpulan karangan Pandemik Covid 19

Sudah terang lagi bersuluh, kehadiran pandemik Covid-19 merupakan ujian atau dugaan besar yang telah memberi banyak pengajaran kepada kita. Pengajaran dan iktibar daripada musibah ini wajarlah diambil kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita haruslah bersangka baik terhadap Allah dan berfikiran positif untuk menjalani kehidupan norma baharu dalam meniti arus kemodenan ini walaupun menghadapi masalah global yang serius.

Pandemik Covid-19 ini telah mencipta sejarah dunia yang akan diingati dan diterokai oleh generasi akan datang di masa hadapan. Doa dikirimkan kepada saintis dan doktor di makmal yang berusaha sedaya upaya selagi hayat dikandung badan demi mencipta vaksin atau ubat yang boleh menyembuhkan penyakit koronavirus. Harapan untuk penyakit berjangkit ini lenyap daripada muka bumi ini bukanlah sesuatu yg mustahil jika setiap makhluk yang berakal sentiasa berganding bahu bagai aur dengan tebing, bertanggungjawab dan prihatin untuk membanteras wabak penyakit koronavirus. Terima kasih kepada Allah atas ujian yang telah memberi kesedaran dan pengajaran yang bernilai kepada makhluknya. Sesungguhnya Allah tidak menguji hambanya melebihi kemampuan mereka.


(1101 patah perkataan)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *