Skip to content

Penggunaan internet lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan

Perbahasan - Penggunaan internet

Anda telah menyertai pertandingan perbahasan yang diadakan di sekolah anda.  Tajuk perhahasan tersebut ialah Penggunaan Internet lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan .  Kemukakan hujah-hujah anda sebagai pihak pembangkang yang pertama.

Perbahasan – Penggunaan internet

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, yang saya hormati para panel hakim yang adil lagi bijaksana, barisan para pencadang sekalian, dan para hadirin yang saya muliakan. 

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Berdirinya saya pada hari ini, dengan membawa tugasan untuk membangkang tajuk perbahasan pada hari ini iaitu ‘Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan’. Kam barisan pihak pembangkang amat tidak bersetuju dengan penyataan tajuk tersebut kerana penggunaan internet sebenarnya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Para hadirin sekalian,

Sebagai pihak pembangkang yang pertama, sebelum saya mengemukakan hujah-hujah saya dengan lebih bernas dan panjang lebar , lebih baik jika kita memahami tajuk perbahasan kali ini iaitu ‘Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan’.    Oleh itu,  izinkan saya menerangkan apakah yang kita faham dengan Internet. Internet boleh kita fahami sebagai satu sistem maklumat global melalui telekomunikasi yang semakin canggih kini. Memang tidak dapat dinafikan, segala bentuk maklumat dapat kita peroleh daripada penggunaan Internet ini, namun ternyata penggunaan internet akan membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Hujah saya yang pertama sekali ialah atas kata kunci penggunaan internet akan menyemai sikap buruk dalam jiwa individu. Maklumat tanpa sekatan dalam Internet ini memberi peluang kepada pelajar dan sesiapa sahaja untuk mengetahui apa yang berlaku dan terkandung dalam Internet. Lebih malang lagi apabila bahan yang diperolehi mampu merosakkan akhlak. Contohnya, melalui Internet ini, orang ramai suka mengetahui sesuatu yang dilarang seperti melayari laman web tentang seks dan cara hidup orang asing yang tidak sesuai dengan budaya kita. Malah mereka cuba meniru aksi dan tingkah laku tidak baik sebegini. Hal ini memberi kesan yang tidak baik dan boleh merosakkan cara hidup kita yang bersopan-santun dan bertatasusila.  Justeru, ini jelas menunjukkan bahawa internet membawa keburukan kepada penggunanya terutama golongan remaja.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Hujah saya yang kedua ialah atas kata kunci penggunaan internet melalai dan melekakan terutama bagi golongan remaja dan pelajar sekolah.  Tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata.  bagi kanak-kanak sekolah, Internet membolehkan mereka bermain permainan yang terkini. Selain membuang masa, mereka juga membazirkan wang. Mereka lupa pada pelajaran akibat terlalu leka dengan permainan yang menjadi minat mereka. Masa mereka banyak dihabiskan di depan komputer dan hal ini boleh menyebabkan hubungan mereka dengan ibu bapa dan keluarga menjadi renggang. Hal ini bukan sahaja berlaku pada kanak-kanak sekolah tetapi bagi pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi. Keseronokan dan tumpuan pada aktiviti Internet Relay Chatting (IRC) yang berlebihan menyebabkan mereka leka pada Internet dan tidak memberikan tumpuan yang sebaiknya pada pelajaran. Ada antara mereka berbual kosong atau sekadar memulakan perkenalan yang akhirnya tidak mendatangkan faedah tetapi menyebabkan mereka menanggung bil penggunaan Internet yang tinggi.  Sudah terang lagi bersuluh, internet jelas membawa keburukan daripada kebaikan.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Hujah saya yang ketiga, atas kata kunci internet menyebabkan hubungan sosial dalam masyarakat yang semakin rapuh akibat terlalu memberi tumpuan kepada penggunaan Internet. Sebagai contoh untuk menguatkan hujah saya, golongan yang dapat melayari Internet di rumah akan jarang keluar bergaul dengan orang lain dan masyarakat kerana terlalu asyik melayari Internet sehingga kegiatan masyarakat pun tidak diambil perhatian. Malah, di pusat-pusat Internet, kegiatan tidak baik boleh wujud akibat penggunaan Internet. Contohnya, kewujudan kegiatan perjudian melalui Internet. Hal ini tidak dinafikan apabila terdapat aktiviti penjudian yang meliputi banyak tempat dan kemungkinan juga berlaku pengaduhan apabila aktiviti berjudi dan bertaruh dijalankan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Hujah saya yang keempat , atas kata kunci penggunaan internet boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal penggunanya.  Selalunya pengguna Internet meluangkan masa yang lama untuk melayari Internet. Adakalanya sampai lewat malam dan tidak kurang pula hingga awal pagi. Hal ini menyebabkan mereka kurang tidur dan rehat. Akibatnya, kesihatan mereka tidak terjejas dan minda menjadi penat dan beku sehingga tidak boleh berfikir dengan baik.  Bagi pelajar sama ada di sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi, keadaan ini melemahkan minda mereka untuk menerima ilmu yang telah diajar oleh guru-guru.  Lebih malang lagi apabila pelajar tidur di dalam kelas kerana mengantuk.  Keadaan ini perlu dibanteras jika ingin mencapai hasrat negara melahirkan remaja cemerlang.

Hujah saya yang kelima atas kata kunci, penggunaan Internet boleh menyebabkan penyebaran maklumat-maklumat palsu tentang sesebuah negara yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. Keselamatan sebuah negara boleh menjadi porak-peranda apabila ada antara masyarakat dunia yang mungkin mempercayai maklumat-maklumat palsu yang mereka perolehi melalui Internet dan yang paling ditakuti sekali ialah penyalahgunaan Internet untuk mengelirukan orang ramai di dalam bidang agama. Terdapat berbagai-bagai maklumat tentang agama yang dapat kita perolehi melalui Internet. Ada yang diiktiraf oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama dan tidak kurang pula didatangi oleh individu atau kumpulan yang menyebarkan maklumat palsu tentang agama kepada orang lain.

Akhirnya sebelum saya mengundur diri, saya sekali lagi ingin menegaskan  pendirian kami barisan pihak pembangkang bahawa Internet lebih banyak membawa keburukan kepada orang ramai. Penggunaannya perlu dipantau sentiasa. Bak kata pepatah ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya’.

Sekian sahaja, terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *