Skip to content

🔥 Contoh Karangan SPM | Topik Penting Ujian Bertutur
⚡️ Senarai Nota KOMSAS | Peristiwa Menarik KOMSAS SPM

Peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan

usaha memupuk semangat kejiranan

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.    

Peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat

Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Jiran merupakan individu yang paling hampir dengan kita dalam kehidupan seharian. Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”, menunjukkan betapa pentingnya hubungan kejiranan dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin luntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat, terutamanya ibu bapa, wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Penyertaan dalam Aktiviti Gotong-Royong

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti setempat. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, penduduk dapat berkumpul sambil berbincang, mengenali hati budi jiran dan memupuk rasa kekitaan. Hal ini selari dengan pepatah Melayu, “Tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong boleh melibatkan pembersihan kawasan taman dan penyediaan hidangan untuk kenduri. Aktiviti sebegini memerlukan kerjasama bagai aur dengan tebing agar dapat dijalankan dengan lancar. Dengan cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Apabila dewasa, anak-anak akan meneruskan tradisi ini untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan
Aktiviti Gotong-Royong dapat memupuk semangat kejiranan

Menjadi Suri Teladan kepada Anak-Anak

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu mereka mengamalkan semangat kejiranan. Ibu bapa perlu mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Apabila ibu bapa menunjukkan keprihatinan terhadap jiran, anak-anak juga akan belajar mengambil berat terhadap jiran mereka. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, ahli keluarga tersebut mungkin memerlukan bantuan jiran untuk ke hospital, mendapatkan nasihat atau bantuan kewangan. Sikap keprihatinan ibu bapa akan memberi teladan kepada anak-anak agar mereka turut menghargai nilai persaudaraan dalam komuniti. Tegasnya, ibu bapa yang menjadi suri teladan yang baik pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Menghadiri Majlis Rumah Terbuka

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena perayaan. Amalan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mengukuhkan semangat kejiranan. Dalam majlis rumah terbuka, masyarakat dapat berkumpul, mengenali satu sama lain dan memahami budaya masing-masing. Sebagai contoh, majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama anak-anak bukan sahaja memperkenalkan mereka kepada adat resam budaya lain, tetapi juga menanamkan semangat hormat-menghormati dan perpaduan. Tegasnya, majlis rumah terbuka perlu diadakan agar masyarakat dapat bertemu muka dan membentuk perpaduan yang erat.

Menyemarakkan Budaya Ziarah-Menziarahi

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah memupuk semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak menziarahi jiran pada masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita dapat mengetahui masalah dan kesusahan mereka serta meringankan penderitaan yang dialami. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika jiran dimasukkan ke hospital. Amalan ini membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sikap mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walaupun pepatah Melayu mengatakan, “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya”, prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga wajar diamalkan dalam kehidupan berjiran. Oleh itu, budaya kunjung-mengunjungi harus diterapkan sejak kecil agar anak-anak lebih prihatin terhadap jiran mereka.

Menggalakkan Penglibatan Aktiviti Sosial

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Komuniti sering mengadakan aktiviti sebegini bagi mengukuhkan hubungan dalam kalangan penduduk setempat. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti permainan dan memperkenalkan mereka kepada kepentingan hidup bermasyarakat. Selain itu, ibu bapa boleh menerangkan tentang manfaat hidup berpersatuan dalam komuniti. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat boleh bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan kediaman. Hal ini selari dengan peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang menekankan konsep saling membantu dalam kehidupan. Oleh itu, ibu bapa perlu mendorong anak-anak agar aktif dalam aktiviti sosial demi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.

Kesimpulan Karangan

Berdasarkan perbincangan di atas, semangat kejiranan amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan membentuk perpaduan kaum. Jiran yang baik ialah mereka yang menjadi tempat bergantung ketika susah dan bergembira ketika senang. Oleh itu, kita perlu menjadi jiran yang baik agar mendapat jiran yang baik. Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” harus diamalkan dalam kehidupan seharian. Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali.” Justeru, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan negara akan terus aman, harmoni dan sejahtera.

Contoh Karangan: Kebaikan dan Keburukan Rumah Pangsa

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

You cannot copy content of this page

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x