Skip to content

Karangan membina sahsiah unggul

Karangan membina sahsiah unggul

ketahanan minda dan fizikal sahaja belum cukup untuk mengangkat seseorang anak muda untuk menjadi wira dan wirawati kepada negara, malahan anak muda juga perlu membina sahsiah yang unggul dan akal budi yang baik. Huraikan langkah langkah remaja membina sahsiah unggul dan bermulia.

Karangan Remaja membina sahsiah unggul dan mulia

Menelusuri sejarah awal tamadun Islam, minda kita pasti dapat mengingatkan kehebatan dua orang anak muda yang menjadi ikon untuk dibanggakan. Mereka ialah Saiyidina Ali KW dan Usamah Bin Zayid. Ali amat terkenal dalam peristiwa Hijrah Rasul manakala Usamah merupakan panglima perang  Islam yang paling muda. Keberanian dan ketokohan yang ditunjukkan telah melayakkan mereka berada sebaris dengan tokoh-tokoh Islam yang terkenal. Bezanya, ketika bangkit mencipta nama mereka masih lagi muda belia. Demikianlah suatu gambaran betapa sumbangan anak muda sangat ditagihi dalam usaha membantu membangunkan negara. Tubuh yang sasa, tenaga yang kuat dan minda yang cerdas menjadi aset untuk seseorang anak muda turut sama terlibat memajukan negara. Walau bagaimanapun, ketahanan minda dan fizikal sahaja belum cukup untuk mengangkat seseorang anak muda untuk menjadi wira dan wirawati kepada negara, malahan anak muda juga perlu menggilap sahsiah unggul dan akal budi yang baik.

Hamba Allah yang soleh, beriman dan bertakwa

Langkah perdana yang wajar diatur, sebagai anak muda saya harus menjadi hamba Allah yang soleh, beriman dan bertakwa. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah menjadi syarat utama untuk menjadi insan yang sedar akan hakikat hidup dan mati. Kita dihidupkan supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah selain menjadi insan yang berguna kepada insan yang lain. Seseorang yang patuh kepada Khaliq, maka memberikan impak kepada seluruh isi alam. Apabila memiliki kesedaran bahawa segala amal kita sama ada baik mahupun buruk akan memperoleh ganjaran, baharulah saya sedar tentang perlunya berbuat baik. Dengan hal demikian, saya berazam untuk menjadi insan soleh dengan taat kepada perintah Allah, meninggalkan segala larangan-Nya serta mengamalkan sahsiah yang terpuji dalam kalangan masyarakat. Hakikat tersebut sesuai dengan kata-kata, “Insan yang kenal kepada Tuhannya, justeru kenallah pada dirinya”.

Remaja yang cinta akan ilmu

Selain prakarsa di atas, saya juga perlu menjadi remaja yang cinta akan ilmu. Penguasaan terhadap ilmu pengetahuan sama ada ukhrawi mahupun duniawi boleh membentuk diri saya menjadi insan yang berguna terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat malah negara juga. Ilmulah yang menjadi lampu suluh untuk keluar daripada kegelapan dan kejumudan dan ilmulah yang membuka minda untuk memperoleh kejayaan sama ada dalam  kerjaya mahupun untuk hidup sejahtera. Perihal pentingnya menguasai ilmu bertepatan dengan nukilan Saiyidina Ali  KW. “Jadikanlah dunia ini dalam kalangan yang berilmu, atau mengajarkan ilmu, atau yang mempelajari ilmu, atau yang berkasih sayang dengan golongan berilmu. Sekiranya salah satu daripadanya tiada kepada kamu, nescaya punah-ranahlah dunia ini”.

Amalan menghormati sesama manusia

Amalan menghormati sesama manusia juga menjadi keperluan kepada saya sebagai anak muda. Inilah sari pati terpenting dalam menzahirkan watak yang mulia dengan sahsiah yang cemerlang. Amalan seperti mengucapkan salam, memberikan hormat, bercakap secara sopan dan berbudi pekerti sangatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Sebagai anak muda, saya perlu menunjukkan hormat kepada golongan tua dan para guru manakala dengan rakan sebaya saya perlu berlemah lembut dan sering menyantuni mereka. Sekiranya watak tersebut menjadi ikon kepada semua anak muda nescaya masyarakat kita akan terus dihormati. Sesungguhnya slogan, ‘Yang muda disayangi dan yang tua dihormati’ wajar saya jadikan azimat utama dalam membina jaringan silaturahim.

mempertahankan jalinan persefahaman dan perpaduan

Selain itu, dalam hubungan masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, saya wajar mempertahankan jalinan persefahaman dan perpaduan. Hal tersebut amatlah wajar kerana tanpa perpaduan yang jitu amat sukar untuk kita mencapai matlamat keamanan dan kesejahteraan yang total. Sikap yang suka berbalah dan tuduh-menuduh dengan mengagung-agungkan kaum sendiri di samping meremahkan orang lain tidak lebih daripada amalan yang mengundang perbalahan dan kekacauan. Oleh itu, saya berazam untuk mengelakkan sebarang pengaruh negatif yang boleh mengundang perpecahan. Saya terlalu sedih apabila melihat satu lepas anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi korban pertumpahan darah di seantero dunia yang berpunca daripada runtuh semangat perpaduan dan tolak ansur. Ingatlah, kita yang hidup di muka dunia ini mempunyai hak yang sama untuk bebas kerana sesiapa pun kita darah kita tetap merah, maka fahamilah hakikat kalah jadi abu, menang jadi arang.

cita-cita dan matlamat untuk memajukan negara

Sejajar dengan matlamat negara maju yang ingin melahirkan bangsa Malaysia yang pintar, gigih dan berdaya saing, saya hendaklah memiliki cita-cita dan matlamat untuk memajukan negara ini. Selepas lebih setengah abad kita mencapai kemerdekaan sudah sewajarnya Malaysia mampu sebaris dengan negara-negara maju untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Inti pati kepada cita-cita yang tinggi hendaklah saya realisasikan dengan kegigihan belajar, mempunyai matlamat yang jelas dan semangat cinta akan negara. Saya juga harus sedar sudah berbilion ringgit yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menghantar anak-anak muda ke luar negara supaya mereka dapat menuntut ilmu dan menuruti teladan anak-anak muda di negara maju. Semua usaha tersebut adalah untuk memperkasakan sikap mulia, cara berfikir dan cara bertindak anak-anak muda Malaysia sejajar dengan pemikiran berkelas dunia. Saya yakin, seandainya semua anak muda mahu berfikir secara positif dan bercita-cita tinggi demi negara tercinta, maka hasrat untuk membangunkan negara ini bukanlah suatu wadah yang mustahil untuk dicapai.

Penutup Karangan

Kesimpulannya, menelusuri nukilan Imam Al Ghazali, “Jikalau kamu melihat watanmu pada hari depan, lihatlah kepada pemudamu pada hari ini”, mengujai saya bahawa anak muda sangatlah berharga kepada sesebuah negara. Kombinasi antara minda, iman, akhlak dan akal budi boleh memberi saya dimensi baharu bahawa sesuatu yang luar biasa boleh dilakukan oleh orang biasa. Saya sedar, inilah masa yang terbaik untuk anak-anak muda bangkit membina sahsiah unggul, cita-cita dan matlamat untuk membangunkan negara. Ayuh, bangkitlah anak-anak muda, kita realisasikan slogan, ‘Negara Kita Tanggungjawab Kita’ kerana di sini bumi dipijak, maka langitnya dijunjung.

1 thought on “Karangan membina sahsiah unggul”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *