Kandungan
Peranan wanita dalam pembangunan negara Malaysia semakin penting dalam era ini. Jelaskan bagaimana wanita Malaysia menyumbang kepada negara kita.
Peranan Wanita Dalam Pembangunan Negara Malaysia
Kaum wanita sering dilihat sebagai jantina yang lemah lalu sering dipergunakan dalam kehidupan bermasyarakat kini. Kita masih belum menyedari bahawa dalam kelembutan wanita itu tersirat satu ketabahan yang ketara untuk mampu menyumbangkan sesuatu buat pembangunan negara kita. Rencana dalam media massa telah banyak memaparkan tentang keupayaan wanita dalam aspek membangunkan negara kini ini. Oleh itu, terdapat pelbagai peranan yang berupaya dilaksanakan oleh wanita Malaysia.
Pendidik Generasi Masa Depan
Sudah pasti peranan yang ketara ialah golongan wanita boleh menjalankan usaha mendidik generasi muda dengan lebih baik. Kelembutan dan keprihatinan mereka terhadap keperluan kasih sayang anak-anak menjadikan wanita paling sesuai dalam tugas mendidik ini. Kejayaan mereka mendidik anak menjamin satu kelompok masyarakat yang lebih berjaya dalam kehidupan mereka pada masa hadapan. Jelaslah, wanita zaman ini berperanan untuk mendidik generasi muda agar menjadi satu generasi yang memiliki semua ciri-ciri yang diperlukan dalam kehidupan yang mencabar ini. Sebagai contoh, program “Ibu Bijak, Anak Cemerlang” yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah berjaya melatih lebih 10,000 ibu untuk menjadi pendidik yang lebih berkesan di rumah. Ini membuktikan peranan wanita sebagai pendidik awal sangat penting dalam membentuk generasi akan datang.
Penyumbang Ekonomi Negara
Selain itu, wanita juga berperanan untuk menyumbangkan tenaga dalam sektor ekonomi Malaysia. Wanita memiliki kemahiran yang tertentu yang berguna untuk menjadikan diri mereka sebagai satu sumber manusia yang lengkap. Sikap rajin bekerja dan tekun serta memberikan perhatian yang sepenuhnya ketika bekerja menjadikan golongan ini sasaran utama industri kilang di Malaysia pula. Jadi, kaum wanita memang mempunyai peranan besar dalam memastikan sumber manusia negara ini berupaya memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara kita. Contohnya, menurut laporan Jabatan Statistik Malaysia 2024, penyertaan wanita dalam tenaga kerja telah meningkat kepada 56.5% berbanding 49.5% pada dekad lalu. Ini termasuk peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan digital dan ekonomi gig yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam era pasca-pandemik.
Pemimpin Dalam Dunia Ilmu Pengetahuan
Pada masa yang sama, peranan wanita di Malaysia juga untuk menimba ilmu pengetahuan yang sebanyak mungkin. Usaha memperoleh ilmu ini menjadikan wanita terdedah terhadap pelbagai perubahan teknologi yang menjadikan diri wanita itu lebih baik dan berkeyakinan pula. Sudah ada banyak wanita yang memiliki ilmu yang tinggi ini berjaya mendirikan pelbagai perniagaan yang kemudiannya menghasilkan pelbagai produk yang berkualiti untuk pasaran dalam dan luar negara pula. Sesungguhnya, mencari ilmu itu menjadi tugas utama wanita kerana dunia yang penuh persaingan ini memerlukan wanita yang berilmu tinggi pula. Sebagai contoh, Datuk Dr. Mazlan Othman, ahli astrofizik wanita pertama Malaysia dan bekas Pengarah Agensi Angkasa Negara, telah menjadi inspirasi kepada ramai wanita untuk menceburi bidang STEM. Beliau membuktikan bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi membolehkan wanita Malaysia berdiri sama tinggi dengan pemimpin dunia dalam bidang sains dan teknologi.
Pengawal Keselamatan Negara
Malahan, wanita zaman ini juga boleh mencurahkan tenaga mereka dalam aspek keselamatan negara yang begitu penting itu. Sudah ramai wanita yang menyertai perkhidmatan tentera dan polis dengan mempamerkan keupayaan yang serupa dengan kaum lelaki. Kewujudan kaum wanita dalam perkhidmatan keselamatan ini juga memberikan peluang kepada kaum lelaki untuk memastikan semua tugas dapat diselesaikan dengan baik kerana ada tugas-tugas yang memerlukan tangan wanita sahaja. Justeru, wanita juga berupaya menyumbangkan tenaga mereka dalam bidang keselamatan negara yang amat penting itu.
Pemimpin Dalam Pentadbiran Negara
Tidak ketinggalan, wanita turut menyumbang dalam arena kepimpinan dan pentadbiran negara. Hari ini, semakin ramai wanita yang dilantik menjadi pemimpin di peringkat tertinggi dalam kerajaan dan sektor swasta. Seramai 28% daripada ahli Parlimen Malaysia kini terdiri daripada wanita, satu peningkatan yang ketara berbanding 10 tahun lalu. Contohnya, pelantikan Tan Sri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama wanita membuktikan bahawa wanita mampu memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara. Seperti kata peribahasa, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”, pemimpin wanita ini telah berjaya meninggalkan legasi yang akan dikenang sepanjang zaman dalam pembangunan negara.
Kesimpulan Karangan
Kesimpulannya, peranan wanita terhadap negara ini begitu luas dan amat diperlukan. Kita semua hendaklah memandang tinggi dan memberi peluang kepada wanita untuk membuktikan kemampuan mereka ini. Sikap memandang enteng keupayaan wanita bukanlah satu tindakan yang tepat dalam kehidupan dunia penuh cabaran ini. Slogan “pemuda harapan negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya sumbangan wanita terhadap kemajuan negara itu.
Contoh Karangan: Kepentingan Kestabilan Politik