Skip to content

Contoh Karangan Punca Kenaikan Harga Barangan

Punca Kenaikan Harga Barangan

Kenaikan harga barangandi pasaran semakin serius di negara kita dan hal ini telah menjejaskan kehidupan rakyat. Bincangkan punca-punca kenaikan harga barangan tersebut.

Punca-punca Kenaikan Harga Barangan

Isu kenaikan harga barangan bukanlah satu fenomena yang baru berlaku pada hari ini. Rakyat Malaysia sangat mengambil berat terhadap isu kenaikan barangan kerana hal ini akan menjejaskan kehidupan oleh setiap golongan rakyat. Isu kenaikan harga barangan biasanya berlaku disebabkan oleh peningkatan taraf kehidupan sesebuah masyarakat itu sendiri. Namun, terdapat juga punca-punca yang lain turut menyebabkan kenaikan harga barang ini.

Punca Bencana Alam

Kenaikan harga barangan biasanya berlaku apabila permintaan melebihi penawaran. Apabila permintaan terhadap sesuatu produk melebihi keluaran oleh pengeluar, pengguna terpaksa berbelanja lebih untuk membeli barangan tersebut. Salah satu punca yang menyebabkan masalah ini ialah bencana alam. Negara kita bergantung kepada sumber import dari luar negara terutamanya bahan makanan seperti sayur dan buah buahan. Harga barangan import akan menaik apabila berlakunya bencana alam seperti banjir, ribut petir, kemarau dan sebagainya di negara tersebut kerana pengeluaran barang tersebut akan terjejas. Sebagai contoh, apabila negara India dilanda banjir kilat, harga bawang melonjak naik kerana pengeksportan bawang dari negara itu cukup terhad.

Kenaikan harga minyak

Selain daripada itu, kenaikan harga minyak juga memberikan impak yang besar dalam kenaikan harga barangan. Harga minyak yang meningkat secara mendadak di pasaran antarabangsa telah memberi kesan kepada setiap produk yang dikeluarkan kerana melibatkan kos perkhidmatan penghantaran. Petroleum juga merupakan bahan keperluan di kilang untuk mengerakkan jentera. Kos untuk mengeluarkan barangan akan meningkat dan peniaga akan memindahkan kenaikan kos kepada pembeli untuk mengekalkan margin keuntungan. Tambahan pula, masalah ini akan lebih serius pada barangan yang diimport kerana melibatkan lebih banyak kos pengangkutan.

Pengurangan subsidi

Subsidi boleh ditakrifkan sebagai bantuan berupa wang yang selalunya diberi kepada pihak tertentu. Kerajaan sentiasa memberi subsidi terhadap barangan tertentu bagimengurangkan beban kos sara hidup rakyat Malaysia. Sebagai contoh, kerajaan memberi subsidi terhadap barang keperluan asas seperti gula, tepung dan minyak masak telah menstabilkan harga barangan tersebut. Kerajaan telah mengurangkan pemberian subsidi terhadap minyak bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan kerana negara kita sedang mengalami masalah kewangan. Tindakan ini telah menyebabkan harga minyak meningkat dan seterusnya harga barangan meningkat. Selain itu, langkah mengurangkan subsidi harga sesuatu produk seperti gula adalah disebabkan kerajaan mahu rakyat menyedari bahawa penggunaan barang ini memberi kesan negative kepada kesihatan rakyat. Walau bagaimanapun, setiap tindakan yang berkaitan dengan penambahan atau peningkatan subsidi akan memberi punca terhadap harga barangan.

Peniaga yang mengambil kesempatan

Terdapat juga peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan secara berlebihan. Mereka menaikkan harga barangan apabila permintaan meningkat terutamanya pada musim perayaan. Sikap tamak peniaga yang ingin mengekalkan keuntungan dengan menaikkan harga apabila kos pengeluaran meningkat. Terdapat juga peniaga yang bersikap tamak akan menyimpan stok barangan dan pengeluaran untuk menaikkan harga barangan. Hal ini berlaku kerana kurangnya pantauan yang dibuat oleh pihak berkuasa terhadap syarikat-syarikat serta gedung-gedung perniagaan baik yang besar mahupun perniagaan kecil di sesebuah negara tersebut. Apabila berlaku kelonggaran dari segi penguatkuasaan tersebut, tidak mustahil seseorang peniaga itu menaikan harga barangan di kedainya untuk mengaut keuntungan yang lebih.

Penutup Karangan

Kesimpulannya, kenaikan harga barang akan membebankan rakyat terutamanya golongan miskin. Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk membendung kenaikan harga barangan. Walaupun banyak perkara yang mempengaruhi kenaikan harga barang tersebut, namun hal ini masih boleh diatasi dengan adanya penguatkuasaan undang-undang yang ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Ekonomi. Sebagai contoh, peniaga yang meletakkan harga yang melebihi daripada harga kawalan haruslah dikenakan denda. Tambahan pula, pihak kerajaan sewajarnya memberikan subsidi kepada golongan rakyat yang miskin. Dengan kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta, masalahkenaikan harga barangan yang berlaku pada hari ini dapat diatasi.


Contoh Karangan: Langkah mengatasi isu kenaikan Harga Barangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page