Skip to content

Contoh Karangan SPM Punca dan Kesan Penyakit Berjangkit

Punca dan Kesan Penyakit Berjangkit

Masalah Kesihatan semakin serius semasa manusia mengejar kemajuan dan kekayaan. Apakah punca penyakit bawaan vektor dan kesan penyakit berjangkit merebak?

Punca dan Kesan Penyakit Berjangkit

Dalam arus pembangunan dan kemajuan negara, isu kesihatan tidak harus diketepikan oleh masyarakat. Penjagaan kesihatan sepatutnya menjadi tonggak utama dalam kehidupan dan wajib diberi perhatian oleh semua pihak. Malangnya, keghairahan manusia mengejar kemajuan dan kekayaan menyebabkan masalah kesihatan menjadi senarai pertama mencatatkan angka kematian terutamanya yang melibatkan penyakit berjangkit. Penyakit berjangkit ini secara umumnya terbahagi kepada lima jenis antaranya ialah penyakit air dan makanan, penyakit bawaan vektor dan penyakit jangkitan seksual. Oleh itu kita perlu menelusuri setiap punca atau faktor yang menyebabkan penyakit ini merebak dan kesan daripada penyakit tersebut.

Sikap manusia yang tidak menjaga kebersihan diri

Salah satu faktor yang signifikan dalam isu penyakit berjangkit ini ialah sikap manusia yang tidak menjaga kebersihan diri, pakaian dan persekitaran. Lazimnya, kita saling bersentuhan dengan orang, binatang dan benda yang tidak diketahui tahap kebersihannya. Keadaan ini menyebabkan virus berpindah kepada kita lalu penyakit berjangkit tersebut menyerang imunisasi yang bertindak sebagai perisai badan dan akhirnya badan menjadi lemah lalu kita mudah dijangkiti sesuatu penyakit berjangkit melalui sentuhan. Secara tidak langsung sikap manusia itu harus diperbaik agar tiada masalah kesihatan yang berlaku.

Kekurangan vaksin atau ubat

Selain sikap manusia, punca penularan penyakit berjangkit ini adalah disebabkan oleh kekurangan vaksin atau ubat yang dapat menyembuh dan menghalang penularan penyakit berjangkit. Kes ini pernah terjadi ketika berlaku wabak penyakit JE yang tiada penawar dan pesakit hanya mendapatkan rawatan biasa di hospital. Kes yang sama juga berlaku pada 2019 yang hingga kini tiada vaksin yang telah ditemui untuk mengubati kes penularan penyakit berjangkit Novel Coronavirus-2019 (COVID-19). Masalah ketiadaan virus telah berlaku di seluruh dunia dan penemuan vaksin baru-baru ini masih mendapat bantahan daripada sesetengah pihak yang meragui uji kaji keputusan makmal. Oleh itu, kita hendaklah menjaga kesihatan diri kerana vaksin masih belum dapat melindungi manusia sejagat.

Perintah Kawalan Pergerakan

Akibat daripada penularan penyakit berjangkit, pelbagai implikasi akan dihadapi oleh semua pihak khususnya rakyat marhaen yang terkesan secara langsung atau tidak langsung. Apabila kes pandemik berlaku, kerajaan telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1998. Akibatnya, masyarakat secara keseluruhannya tidak boleh merentas daerah atau negeri. Malah hanya syarikat yang mengeluarkan produk keperluan asas sahaja dibenarkan beroperasi dengan jumlah pekerja yang terhad. Keadaan ini menyebabkan sesetengah syarikat tidak mampu untuk bertahan lalu mereka memberhentikan pekerja. Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa masyarakat Malaysia.

Mengakibatkan sesi persekolahan ditangguh

Selain itu, masalah penularan penyakit berjangkit ini turut mengakibatkan sesi persekolahan ditangguh dan pembelajaran diadakan secara maya atau dalam talian bagi kelas- kelas peperiksaan. Keadaan ini telah menyebabkan tekanan kepada pelajar terutama pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama seperti SPM. Malah, mereka juga tidak bertemu dengan guru-guru di sekolah akibatnya semangat pelajar untuk belajar semakin menurun. Dengan pengaruh negatif yang berada di dalam rumah, pelajar akan membuang masa dengan menonton rancangan televisyen tanpa mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Oleh itu, penyakit berjangkit ini hendaklah diatasi segera agar pembelajaran anak muda dapat diteruskan seperti biasa.

Penutup Karangan Kesan Penyakit Berjangkit

Secara keseluruhannya, setiap yang bermula ada akhirnya, setiap masalah ada penyelesaiannya dan setiap penyakit ada ubatnya, maka penyakit berjangkit ini merupakan satu pandemik yang akan dapat kita atasi bersama dalam masyarakat. Oleh itu semua pihak haruslah mengambil tanggungjawab untuk memastikan masalah penyakit berjangkit ini dapat diatasi bersama bagai aur dengan tebing agar orang ramai dapat menjalani kehidupan normal.


Contoh Karangan: Cara Menangani Penyakit Berjangkit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *