Skip to content

Contoh Karangan SPM: Punca Masalah Pengangguran

Karangan Punca Masalah Pengangguran

Masalah Pengangguran di Malaysia semakin serius dan menjejaskan ekonomi negara. Apakah punca masalah pengangguran dalam kalangan remaja terutamanya graduan universiti.

Punca Masalah Pengangguran di Malaysia

Sedasawarsa ini dalam era pascaindustri, masalah tenaga kerja dan peningkatan kadar pengangguran menjadi topik hangat dibincangkan oleh seluruh warga dunia. Pengangguran secara umumnya ialah seseorang yang tidak bekerja dengan mana-mana syarikat dan tidak menerima sebarang upah kerja. Mereka yang tidak bekerja ini disebabkan oleh pelbagai faktor yang mempengaruhi mereka untuk tidak bekerja. Oleh itu, kita perlu menelusuri setiap permasalahan ini untuk mencari punca masalah ini berlaku. Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan graduan universiti masih tidak bekerja?

Sikap mahasiswa yang terlalu memilih pekerjaan

Antara faktor yang signifikan dalam isu ini ialah sikap mahasiswa dan mahasiswi di universiti terlalu memilih pekerjaan setelah tamat hari graduasi. Mereka hanya ingin bekerja dalam bidang yang telah dipelajari di universiti. Tambahan lagi, terdapat gradua yang mengharapkan gaji yang tinggi dan tidak mahu menerima gaji permulaan yang mungkin rendah pada pandangan mereka. Ada juga dalam kalangan mereka ini tidak sanggup bekerja pada hujung minggu sehingga mereka tergolong dalam penganggur siswazah. Jika seseorang graduan itu masih bersikap memilih, mereka akan terus menyumbang dalam peningkatan peratus pengangguran di Malaysia.

Persaingan golongan berkelulusan rendah

Selain sikap graduan yang memilih pekerjaan, graduan universiti juga menghadapi persaingan daripada golongan yang berkelulusan rendah daripada mereka. Hal ini terjadi apabila kebanyakan syarikat menawarkan pekerjaan di bawah paras kelayakan graduan. Sebagai contoh, graduan memohon jawatan sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat dengan syarat minimum pekerjaan tersebut ialah diploma. Keadaan ini menyebabkan mereka menghadapi persaingan tidak sihat apabila terpaksa bersaing dengan graduan lain yang memohon jawatan tersebut. Dari segi industri tenaga kerja di Malaysia, situasi ini akan memberikan gambaran buruk kepada masyarakat luar tentang tindakan manipulasi pasaran pekerjaan.

Jumlah tenaga kerja bertambah

Kepesatan dunia pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan telah menyebabkan percambahan pusat pengajian tinggi swasta dan kerajaan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Keadaan ini menyebabkan jumlah tenaga kerja telah bertambah dalam pasaran kerja dan akan memberi impak negatif dalam pasaran kerja. Lebihan daripada permintaan ini akan menyebabkan indeks pengangguran negara meningkat. Kadar peningkatan pengangguran ini akan memberi impak negatif dalam pasaran kerja. Secara tidak langsung, limpahan tenaga kerja akan bertambah tahun demi tahun sehingga memberi kesan negatif.

Majikan mengurangkan kos operasi syarikat

Dalam isu yang sama juga, pihak majikan akan mengambil peluang untuk mengurangkan kos operasi syarikat. Mereka akan memanipulasi keadaan yang berlaku disebabkan permintaan melebihi penawaran yang disediakan oleh sektor pekerjaan. Akibatnya, majikan akan memberi alasan untuk mengurangkan jumlah pekerja disebabkan oleh pengecilan kos operasi. Mereka akan menawarkan pelbagai jenis pampasan seperti Pampasan Pemberhentian Kerja Secara Sukarela (PKSS) atau Pemberhentian Kerja Secara Wajib(PKSW) akibat perubahan besar yang berlaku dalam syarikat. Dengan cara ini, pihak majikan bukan sahaja dapat mengecilkan operasi malah dapat juga menjimatkan kos operasi syarikat.

Penutup Karangan Punca Masalah Pengangguran

Secara keseluruhannya, masalah pengangguran di Malaysia telah mencapai kadar peratusan yang semakin meruncing dan keadaan ini memberi kesan negatif pada ekonomi negara. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang ‘mesra rakyat’ bagi membantu rakyat yang menghadapi masalah pengangguran. Tindakan ini bukan sahaja menyelamatkan rakyat malah meningkatkan kembali ekonomi negara. Sesungguhnya rakyat Malaysia hendaklah bersatu hati kerana peribahasa ada mengatakan bersatu teguh bercerai roboh dan dalam menghadapi cabaran besar ini kita tidak harus bersikap seperti telunjuk lurus kelingking berkait.


Contoh Karangan: Langkah mengatasi pengangguran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *