Skip to content

Contoh Karangan Punca Penyakit Deman Denggi

Punca Penyakit Deman Denggi

Penularan penyakit deman denggi telah meragut banyak nyawa di Malaysia. Apakah faktor yang menjadi punca penularan penyakit demam denggi?

Punca Masalah Penularan Penyakit Deman Denggi

Penularan penyakit berjangkit di Malaysia pada 2019 sehingga hari ini telah menenggelamkan kes penyakit demam denggi yang lebih besar dan luas penularannya sehingga meragut banyak nyawa dan melibatkan jumlah pesakit lebih 500 ribu orang. Pembunuh senyap ini telah membelenggu masyarakat sehingga mereka trauma dengan penyakit yang berbahaya ini lantaran daripada faktor cuaca panas dan hujan yang tidak menentu menjadikan nyamuk aedes lebih aktif dan cepat membiak. Oleh itu, langkah perlu diambil dengan segera agar kita dapat menyelesaikan masalah yang masih bersarang dalam masyarakat. Persoalannya, apakah faktor yang menjadi punca penularan penyakit demam denggi?

Sikap yang tidak menjaga kebersihan

Faktor yang menjadi penyebab masalah ini masih merebak adalah disebabkan oleh sikap individu itu sendiri. Kebanyakan individu tidak mengamalkan penjagaan kebersihan diri dan tempat tinggal. Mereka membuang bekas makanan di merata-rata tempat lalu bekas makanan tersebut menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Mereka juga mengenakan pakaian yang berwarna gelap dan berlengan pendek apabila melalui kawasan yang berisiko tinggi. Keadaan ini akan menyebabkan individu tersebut berisiko dijangkiti penyakit demam denggi. Jika tidak berhati-hati, kemungkinan kita akan menjadi mangsa nyamuk aedes

Tidak mengurus kebersihan persekitaran rumah

Sikap ibu bapa yang tidak menjadikan kebersihan persekitaran rumah sebagai keutamaan telah meningkatkan kes demam denggi. Kebanyakan ibu bapa yang sibuk bekerja tidak mempunyai masa untuk menguruskan landskap kediaman mereka. Malah, hobi menanam pokok air seperti pokok teratai amat berbahaya dan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Keadaan bertambah teruk jika anak-anak tidak memberi kerjasama kepada ibu bapa Sikap anak-anak yang tidak membantu ibu bapa amat dikesali lantaran kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk seisi keluarga. Oleh itu, faktor yang menjadi punca penyakit demam denggi ini meningkat adalah disebabkan oleh sikap ibu bapa dan anggota keluarga yang tidak bekerjasama antara satu sama lain.

Masyarakat yang mementingkan diri sendiri

Selain sikap ibu bapa, sikap masyarakat kita bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kemaslahatan masyarakat sekitar. Masalah ini terbukti daripada penularan penyakit demam denggi dalam masyarakat sehingga kes meningkat dalam sesebuah kawasan kejiranan kerana tiada komunikasi yang baik antara jiran tetangga. Malah, mereka tidak cakna untuk melakukan pembersihan di kawasan sekitar rumah atau kawasan perumahan mereka walaupun sudah mengetahui kes demam denggi yang berlaku di kawasan mereka. Oleh itu, satu anjakan paradigma perlu diambil bagi mengubah sikap masyarakat.

Kelemahan penguatkuasaan

Bukan sahaja sikap masyarakat malah kelemahan penguatkuasaan juga menjadi faktor penularan penyakit demam denggi ini. Mereka berhadapan dengan isu ugutan dan rasuah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab bagi melindungi kawasan projek pembinaan. Keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk melakukan penguatkuasaan apatah lagi mereka turut diancam dan diugut oleh samseng yang diupah oleh pihak tertentu. Situasi ini menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bersalah kerana didapati membiarkan kawasan pembinaan menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes. Akibat keadaan ini, kes demam denggi meningkat setiap tahun.

Penutup Karangan Punca Penyakit Deman Denggi

Secara keseluruhannya mencegah itu lebih baik daripada merawat, maka kita hendaklah mengambil pendekatan yang lebih efektif lagi drastik dalam menangani masalah demam denggi yang masih belum ketemu titik penyelesaiannya. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama dalam segenap bicara dan tindakan tanpa adanya sebarang curiga atau prasangka dan tidak bersikap seperti telunjuk lurus kelingking berkait dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat demi menjamin kebersihan dan kesihatan masyarakat pada masa akan datang kerana sesungguhnya tiada aedes tiada denggi.


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Masalah Denggi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *