Skip to content

Surat Kiriman Rasmi – Memohon kebenaran

Contoh Karangan Surat Kiriman Rasmi

Anda sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar di sebuah institusi pendidikan tinggi awam telah ditugaskan untuk mengirim surat kepada Ketua Kampung bagi memohon kebenaran mengadakan aktiviti khidmat masyarakat di kampungnya. Tulis surat itu selengkapnya.

Memohon kebenaran mengadakan aktiviti khidmat masyarakat

Contoh Jawapan:

Badrul Hisham bin Badrul Hafiz,
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Putra Malaysia (UPM),
60000 Serdang, Selangor.


Tn. Hj Abu Salam bin Makruf,
Ketua Kampung,
Kampung Titi Gajah,
Lurah Bilut 8,
43105 Bentong, Pahang . _____________________________________________ 5 Mac 2013

Tuan,
Memohon Kebenaran untuk Mengadakan Projek Khidmat Siswa, Universiti Putra Malaysia

Dengan hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas.

2. Untuk makluman pihak tuan, Majlis Perwakilan Pelajar UPM bercadang untuk mengadakan Projek Khidmat Siswa di kampung tuan. Kampung tuan dipilih kerana pernah menjadi johan dalam pertandingan kampung contoh peringkat negeri Pahang.

3. Projek ini mempunyai matlamat seperti yang berikut, iaitu

  1. menjalinkan hubungan antara mahasiswa dengan masyarakat, khususnya masyarakat luar bandar melalui komunikasi berkesan dan aktiviti terancang
  2. menggalakkan mahasiswa mengadakan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat sekali gus memupuk nilai murni,
  3. memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa tentang cara hidup masyarakat di luar bandar,
  4. memberikan teladan, motivasi, dan semangat kepada anak-anak kampung agar menjadi insan yang cemerlang, dan
  5. membantu anak penduduk kampung yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM.

4. Yang berikut ialah butiran tentang projek tersebut:
Tarikh : 2 hingga 6 November 2012
Hari : Jumaat hingga Selasa
Tempoh : 5 hari
Bilangan peserta: 40 orang

5. Program ini mempunyai manfaat kepada penduduk kampung. Antaranya adalah untuk

  1. mengeratkan perhubungan sesama penduduk dengan mahasiswa,
  2. meningkatkan motivasi dalam kalangan pelajar untuk menjejakkan kaki ke menara gading, dan
  3. membersihkan kawasan dan kemudahan awam kampung.

6. Saya selaku Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UPM berbesar hati sekiranya pihak tuan dapat memberikan kebenaran kepada mahasiswa UPM untuk mengadakan projek khidmat siswa di kampung Titi Gajah sebagai salah satu aktiviti khidmat kepada masyarakat di kawasan luar bandar.

7. Pertimbangan daripada pihak tuan amatlah kami harapkan.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Badrul Hisham
(BADRUL HISHAM BIN BADRUL HAFIZ)
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page