Skip to content

Contoh Karangan: Kepentingan Taman rekreasi

peperiksaan spm

Taman rekreasi mempunyai banyak kepentingan tertentu yang dapat dimanfaatkan oleh setiap anggota masyarakat. Huraikan Kepentingan Taman rekreasi terhadap Masyarakat.

Kepentingan Taman rekreasi terhadap Masyarakat

Taman rekreasi merupakan satu kawasan lapang yang penting terutama di kawasan perumahan. Usaha kerajaan mewajibkan setiap projek perumahan mempunyai taman rekreasi merupakan satu langkah bijak kerajaan. Tindakan ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu kerana kewujudan taman rekreasi memastikan pelbagai impak positif muncul.

Tempat permainan kanak-kanak

Sudah pasti kebaikan yang ketara ialah taman ini menjadi tempat permainan kanak-kanak. Kita semua sedia maklum bahawa dalam dunia yang penuh cabaran ini, ibu bapa sibuk bekerja sehingga menyebabkan anak-anak bersendirian di rumah. Jadi, kewujudan taman rekreasi di kawasan perumahan menjadi satu medan untuk golongan kecil ini bergembira dan melepaskan perasaan mereka sebagai kanak-kanak. Hidup kanak-kanak terkongkong di rumah tetapi bebas di taman rekreasi.

Mengeratkan hubungan antara jiran tetangga

Malah, kewujudan taman rekreasi ini menjadi tempat berkumpul dan mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Kebiasaannya ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka bermain di taman ini dan sementara menunggu anak-anak bermain, ibu bapa akan berbual dengan jiran-jiran yang turut menunggu anak-anak mereka. Interaksi ini memastikan hubungan antara masyarakat lebih mesra dan terjalin rapat.

Menjalankan majlis yang bercorak kejiranan

Malahan, taman rekreasi boleh dijadikan tempat untuk menjalankan sesuatu majlis yang bercorak kejiranan. Majlis seperti majlis perkahwinan, pesta kejiranan, dan rumah terbuka boleh dijalankan di kawasan taman rekreasi itu. Kawasannya yang luas dan selalunya di tengah-tengah kawasan perumahan memudahkan untuk semua pihak datang dan terlibat dalam majlis itu. Dalam masa yang sama kos majlis mampu dikurangkan berbanding majlis yang diadakan di dewan serba guna atau dewan hotel.

Tempat menghilangkan penat setelah bekerja

Mungkin satu lagi kepentingan taman rekreasi ialah kawasan ini boleh menjadi tempat menghilangkan penat setelah bekerja. Suasananya yang tenang dengan kehijauan dan mungkin ada tasik di sekitarnya memberi satu perasaan hening yang diperlukan oleh manusia setelah penat bekerja di pejabat. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan di pejabat dan memastikan seseorang itu memperoleh tenaga untuk meneruskan kehidupannya.

Kawasan hijau di kawasan perumahan

Akhir sekali, kawasan rekreasi ini memastikan wujudnya kawasan hijau di sesebuah kawasan perumahan itu. Kawasan hijau ini turut membuktikan kesegaran dan suasana nyaman mastih wujud di kawasan perumahan tersebut. Tambahan pula, kawasan perumahan akan lebih menarik kalau mempunyai taman rekreasi. Habitat serangga yang kecil turut terhasil dengan kewujudan taman ini.

Penutup Karangan Kepentingan Taman Rekreasi

Kesimpulannya, kawasan rekreasi bukanlah satu pilihan tetapi wajib dibina oleh pemaju perumahan. Kerajaan harus memantau perkara ini supaya pemaju perumahan tidak berdolak-dalih dalam pembinaannya. Kerajaan perlu bertegas dalam isu ini kerana sudah agak lama isu ini dibiarkan tanpa diberi perhatian oleh kerajaan. Malah, pemaju perumahan seharusnya menggunakan taman rekreasi sebagai unsur penting dalam mengiklankan projek perumahan mereka.


Nota tambahan tentang Taman Rekreasi

Peranan dan Fungsi Taman Rekreasi
– sebagai tempat untuk beristirahat / menenangkan fikiran- lari dari kesibukan, khususnya di kota
– sebagai tempat beriadah / bersenam- ke arah masyarakat yang cergas dan sihat
– sebagai tempat beramah mesra antara individu, jiran tetangga serta untuk memupuk kasih sayang ke arah keluarga bahagia
– untuk menghijaukan / mengindahkan kawasan sekitar- menimbulkan suasana nyaman

Sambutan Masyarakat terhadap Taman Rekreasi
– amat diperlukan oleh anggota masyarakat hari ini, sama ada di kawasan-kawasan perumahan, pekan, bandar, dan kota
– mendapat perhatian pemaju-pemaju perumahan dan kerajaan-kerajaan tempatan lalu menyediakan taman rekreasi
– mendapat sambutan hangat daripada anggota masyarakat- dipenuhi oleh mereka yang bersenam atau yang bersiar dengan teman serta anggota keluarga

Kemudahan di Taman Rekreasi

Kemudahan yang Disediakan
– alat-alat permainan untuk kanak-kanak
– alat-alat untuk senaman ringan
– tempat duduk, tandas awam, dan lorong pejalan kaki
– bakul sampah, lampu, dna pondok telefon
– gerai makanan dan minuman

Keadaan Kemudahan di Taman Rekreasi
– masih tidak dilengkapi dengan kemudahan tertentu
– ada yang dalam keadaan kurang sempurna oleh faktor semula jadi dan perlu diganti
– ada yang tidak digunakan dengan betul lalu rosak
– ada yang tidak diberi penyelenggaraan yang sepatutnya oleh pihak yang berkenaan

Sambutan masyarakat terhadap taman rekreasi

Jika kita lihat dari sudut sambutan masyarakat terhadap taman rekreasi, statistik yang diperoleh menyatakan kewujudan taman rekreasi member impak yang positif kepada kebanyakan penduduk taman perumahan atau masyarakat di Malaysia umumnya. Usaha kerajaan mewujudkan taman rekreasi yang berfungsi untuk mengindahkan dan mewujudkan kawasan hijau di setiap kawasan perumahan mampu menarik perhatian masyarakat yang cintakan alam sekitar . Pokok pokok yang ditanam di sekitar taman rekreasi juga mampu melahirkan suasana yang aman dan damai bagi orang setelah penat bekerja. Taman rekreasi juga mendapat sambutan yang baik dikalangan masyarakat yang ingin bersenam , berjoging dan melakukan senaman ringan di waktu pagi dan petang.

Contoh Karangan: Kebaikan Semangat Kejiranan

1 thought on “Contoh Karangan: Kepentingan Taman rekreasi”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *