Kandungan
Masalah remaja lari rumah menjadi satu perkara yang lumrah dalam kehidupan zaman moden ini. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan remaja mengambil tindakan ini.
Apakah Sebab Remaja Lari Dari Rumah?
Fenomena remaja lari dari rumah diibaratkan sebagai remaja yang meninggalkan rumah tanpa mendapat keizinan ibu bapa mereka. Keadaan ini bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi juga mencerminkan pelbagai masalah sosial yang semakin berleluasa. Remaja yang bertindak sedemikian selalunya mempunyai sebab tertentu yang mendorong mereka meninggalkan rumah. Sebenarnya, wujud pelbagai faktor yang menyebabkan tindakan ini terus menular dalam kalangan remaja kita.
Ibu bapa mengabaikan amalan mendidik anak
Sebab utama ialah ibu bapa pada zaman ini sering mengabaikan amalan mendidik anak mereka itu. Kegagalan ini banyak dikaitkan dengan sikap ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kejayaan kerjaya atau mencari rezeki buat keluarga mereka itu. Remaja akan berasa diri mereka disisihkan oleh ibu bapa kerana tidak ada langsung interaksi dengan orang tua mereka itu untuk tempoh yang panjang pula. Jadi, kegagalan ibu bapa melakukan tugas mendidik itu yang membawa fenomena sosial ini terus berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
Remaja mengalami tekanan yang hebat
Selain itu, gejala sosial ini berlaku kerana remaja itu mengalami tekanan yang hebat dalam kehidupan harian mereka. Tekanan ini melibatkan prestasi pelajaran di sekolah yang berdasarkan peperiksaan itu dan juga harapan ibu bapa yang keterlaluan supaya anak mereka berjaya dalam pelajaran tersebut. Remaja yang gagal mengawal tekanan sebegini akan berasa cemas dan tidak tenang dalam kehidupan. Hal ini boleh mengakibatkan mereka memilih untuk melarikan diri sebagai jalan keluar. Seperti kata pepatah, “Bagai cacing kepanasan”, mereka merasa terseksa dan ingin mencari kebebasan apabila mengalami stres.
Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Masalah Lari Dari Rumah
Pengaruh rakan sebaya
Tambahan pula, pengaruh rakan sebaya turut dilihat menjadi penyebab utama remaja meninggalkan rumah tanpa kebenaran itu. Rakan sebaya yang masih mentah itu pasti memberikan nasihat yang tidak rasional apabila remaja meluahkan perasaan mereka yang tertekan tersebut. Remaja juga mudah terpengaruh oleh rakan-rakan yang sudah terjerumus dalam gejala negatif seperti merokok, penyalahgunaan dadah, dan pergaulan bebas. Apabila mereka merasa lebih selesa dengan rakan daripada keluarga sendiri, mereka cenderung mengikut jejak langkah rakan-rakan tersebut. Contohnya, seorang remaja yang bergaul dengan kumpulan gengster mungkin lebih mudah dipengaruhi untuk keluar rumah dan menjalani kehidupan liar di jalanan. Lantaran itu, rakan yang tidak matang pemikirannya akan membawa banyak remaja terjebak dalam perbuatan sumbang ini.
Masalah Kemiskinan dan Kesempitan Hidup
Kemiskinan juga menjadi punca utama. Remaja yang berasal daripada keluarga miskin mungkin berasa terabai kerana ibu bapa mereka sibuk bekerja untuk menyara kehidupan. Selain itu, mereka mungkin malu dengan keadaan ekonomi keluarga dan berusaha mencari kehidupan yang lebih baik di luar rumah. Sebagai contoh, ada remaja yang melarikan diri untuk mencari pekerjaan di bandar, tetapi akhirnya menjadi mangsa eksploitasi atau jenayah. Pepatah “Hidup segan, mati tak mahu” menggambarkan keadaan mereka yang tersepit dalam kesusahan hidup.
Pengaruh media massa
Pengaruh media massa turut mempunyai kaitan dalam penularan perbuatan remaja lari dari rumah ini. Penyiaran program hiburan Barat oleh pihak media massa terutama elektronik ini telah meracuni pemikiran remaja kita tentang erti kehidupan sebenar itu. Lama-kelamaan, minda remaja akan cuba meniru semua tindakan yang dilihat menerusi program tersebut termasuklah tindakan lari dari rumah kerana beranggapan tindakan itu bijak. Sesungguhnya, penyiaran program sebegini membawa minda remaja kita keliru lalu bertindak di luar batas-batas budaya tempatan itu pula.
Contoh Karangan: Faktor Remaja Merokok dan Usaha Menghentikan
Sikap remajayang sengaja mencari masalah
Malahan, budaya lari rumah ini turut disebabkan oleh sikap remaja itu sendiri terutama dalam mengharungi cabaran hidup ini. Ada remaja yang sengaja mencari masalah kerana mahu diberi perhatian oleh ahli keluarga yang tidak berinteraksi itu. Jika amalan sebegini dibiarkan sudah pasti remaja itu akan mengulangi kesilapan demi kesilapan kerana sedar bahawa keluarga mereka akan terus membantu atau memberikan perhatian apabila sebarang masalah terjadi. Oleh itu, remaja kita yang bersalah dalam isu ini kerana ada remaja yang mempunyai sikap suka menimbulkan masalah dalam kehidupan ini atau berpura-pura itu.
Penutup Karangan Remaja Lari Dari Rumah
Pendek kata, semua hujah yang dihuraikan tadi membawa budaya lari rumah ini sebagai satu perkara yang lazim berlaku dalam kalangan remaja kita. Semua pihak haruslah berfikiran terbuka dalam menangani isu ini agar masalah sosial ini berjaya dikekang dengan efektif. Jika semua pihak masih berdegil terutamanya ibu bapa yang tidak mahu menerima pandangan hidup anak, sudah pasti gejala lari rumah ini akan berterusan untuk satu jangka masa yang panjang pula. Peribahasa menconteng arang ke muka sendiri harus direnung oleh remaja yang ingin melakukan perkara buruk ini kerana tindakan mereka itu pasti menimbulkan rasa malu terhadap keluarga mereka untuk satu jangka masa yang panjang.
Rujukan: Mahu bebas, ikut kekasih punca remaja lari rumah