Skip to content

Nota Komsas Tingkatan 4 – Sajak Aku Membaca Lagi

Sajak Aku Membaca Lagi

Sajak Aku Membaca Lagi merupakan karya Razali Mohd Yussof. Berikutnya nota maksud, tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, nilai dan pengajaran.

Maksud Sajak Aku Membaca Lagi

Aku mendongak langit
membaca garis dan titik
menaakuli kebesaran-Mu
di bawahnya gumpalan mega
hembusan bayu dan banjaran gunung

Penyajakmemandang ke langit dan memerhatikan keadaan langit lalu berasa kerdil dan kagum apabila melihat kebesaran. Dengan perasaan penuh kesyukuran, beliau menghayatifenomena alam yang diciptakan oleh Tuhan yang digambarkan melalui awan yang bergumpal, angin yang berhembus dan banjaran gunung.

Kuselurusi alam
kicauan burung
desiran ombak dan wajah pelangi
mewarnai kehidupan umat-Mu

Penyajakmenyaksikan gambaranpelbagai fauna dan kejadian alamsekitar. Burung yang berkicau, kewujudan pantai dan ombak, dan kemunculan pelangiyang dianugerah oleh Tuhan telah mencorakkan kehidupan manusia.

Aku mendongak lagi
membaca langit
di dalamnya pohon-pohon kayan rapuh
dahan dan ranting terkulai
daun-daun berguguran
helai demi helai
di lantai tanah airku makmur.

Penyajak mendapati bahawa alam semula jadi semakin tercemar apabila negara semakin makmur. Pencemaran alam semula jadi ini dikaitkan denganmasalahpenggunaan bahasa Melayu yangsemakin meruncing walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Penyajak mendapati bahawa kemakmuran negara tidak dapat menjamin kedaulatan bahasa Melayu.

Aku membaca langit kutemui
bulan dan bintang menangis
meratapi luka nasib bangsa.

Penyajak masih memahami kandungan di langit dan telah menyaksikan bulan dan bintang menangis kerana bersedih akan nasib bahasa Melayu yang tidak dimartabatkan oleh anak bangsa sendiri.

Aku mendongak lagi
menitis air mata langit
membasahi bahasa Melayu yang berdarah.

Penyajak mendongak lagi ke langit dan merasakan langit turut bersedih. Penyajak meluahkan kekesalannya apabila bahasa Melayu semakin diketepikan dan dipinggirkan olehanak bangsa.


Tema Sajak Aku Membaca Lagi

Tema sajak ini ialah nasib bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan oleh anak bangsa di negara kita. Buktinya penyajak mendapati bahawa semakin kurang rakyat yang mendaulatkan bahasa Melayu walaupun bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan kita.


Persoalan Sajak Aku Membaca Lagi

Kewujudan pelbagai keindahan alam membuktikan kebesaran Tuhan.
Kesyukuran terhadap kebesaran Tuhan yang mencipta alam sekitar
Contoh : Penyajak menghayati keindahan alam yang diciptakan oleh Tuhan yang digambarkan melalui awan yang bergumpal, angin yang berhembus dan banjaran gunung.

Kedaulatan bahasa Melayu di negara sendiri semakin terancam.
Contoh : Penyajak mendapati bahawa semakin lama semakin kurang orang yang mendaulatkan bahasa Melayu walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan.

Kesedihan pejuang bahasa terhadap nasib bahasa Melayu
Contoh : Pejuang bahasa yang cinta akan bahasa Melayu berasa sedih apabila melihat nasib bahasa Melayu yang tidak dimartabatkan di masyarakat kita.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak

Sajak ini terdiri daripada lima rangkap.

Bilangan barisnya tidak sama
Rangkap pertama (lima baris),
Rangkap kedua (empat baris),
Rangkap ketiga (tujuh baris),
Rangkap keempat (empat baris),
Rangkap kelima (empat baris).

Bilangan kata dalam setiap baris adalah antara 1-6 patah kata.

Bilangan suku kata dalam baris adalah antara 4-12 suku kata.

Rima akhir sajak berbentuk bebas
Rangkap 1 (abcde),
Rangkap 2 (abcd),
Rangkap 3 (abcadae),
Rangkap 4 (abcd),
Rangkap 5 (abcd).

Sajak ini berbentuk bebas kerana tidak terikat pada ciri-ciri puisi tradisional.


Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

Perlambangan
Contohnya, langit, pohon-pohon kayan, daun dan ranting, daun-daun.

Pemilihan kata atau diksi yang indah (puitis).
Contohnya, desiran ombak dan wajah pelangi.

Repetisi
Contoh: helai demi helai (rangkap 3, baris 6).

Metafora
Contoh: wajah pelangi, lantai tanah airku.

Personifikasi
Contoh: dahan dan ranting terkulai.

Inversi
Contoh: menitis air mata langit (sepatutnya diungkapkan sebagai air mata langit menitis)

Asonansi (perulangan vokal a)
Contohnya, bulan dan bintang menangis.

Aliterasi (perulanganbunyi konsonan b)
Contohnya, bulan dan bintang menangis.

SajakAku Membaca Lagi bernada melankolik.


Nilai Sajak Aku Membaca Lagi

Tanggungjawab
Contoh: Penyajak menyeru anak bangsa memikul tanggungjawab untuk mengangkat kembali martabat bahasa Melayu yang semakin dilupakan.

Kesyukuran
Contoh: Penyajak bersyukur dan kagum akan kebesaran Tuhan yang mencipta pelbagai fenomena alam dan fauna untuk mencorakkan kehidupan manusia di muka bumi.

Keinsafan
Contoh:Penyajak menyeru anak bangsa yang semakin hilang maruah bangsa untuk segera insaf dan mula mengenal diri serta berusaha memartabatkan bahasa Melayu.


Pengajaran Sajak Aku Membaca Lagi

Kita perlu memikul tanggungjawab untuk mengangkat maruah bangsa dengan memartabatkan bahasa Melayu.

Kita perlu bersyukur kepada Tuhan atas segala ciptaan pelbagai kejadian alam yang melengkapi kehidupan manusia.

Kita perlu tabah menghadapi apa-apa cabaran dalam usaha mempertahankan maruah bangsa dan bahasa.

Kita perlulah menanamkan sifat jati diri yang kuat dalam diri masing-masing agar dapat menangkis segala bentuk ancaman yang berunsur negatif.


Soalan Sajak Aku Membaca Lagi

Berikan maksud rangkap pertama sajak di atas?

Maksud rangkap pertama sajak di atas ialah penyajak merasakan dirinya amat kerdil melihat kebesaran Ilahi yang mencipta pelbagai fenomena alam.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu?

Langkah-langkah yang dapat diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu ialah menggunakan bahasa ibunda dengan baik dan betul apabila bertutur. Selain itu, kerajaan boleh mengadakan kempen cinta akan bahasa ibunda bagi memupuk dan meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

Jelaskan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas.

Pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas ialah setiap anak bangsa hendaklah memikul tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu agar bahasa Melayu tidak dilupakan. Manakala pengajaran kedua ialah kita mesti berani menghadapi pelbagai cabaran untuk mempertahankan maruah bahasa Melayu daripada terus tercemar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page