Kandungan
Seloka Santap Istiadat karya Za’ba merupakan puisi tradisional dalam Komsas tingkatan 3. Berikutnya maksud sajak, tema, persoalan, bentuk sajak, gaya bahasa, nilai dan pengajaran seloka ini.
Maksud Seloka Santap Istiadat
Rangkap 1
Santap beradat, santap istiadat,
Santap raja di majlis kebesaran,
Santap merai, hormat-menghormat;
Bukan santap hendakkan kenyang,
Santap santun dengan aturan.
Maksud: Santap beradat merupakan istiadat santap raja di majlis kebesaran. Santap tersebut bertujuan untuk meraikan dan menghormati tetamu. Majlis santapan ini bukanlah sekadar untuk mengenyangkan perut tetapi merupakan majlis santapan yang mengajar si penjamu selera agar makan secara sopan dan mengikut tatacara yang tepat.
Rangkap 2
Nasi disuap di tangan kanan,
Lauk dibinjat sopan siuman,
Sampai ke mulut mamah perlahan,
Tanda tidak gelojoh makan.
Selesai santap nasi,
Diiringkan seteguk minuman, Isyarat menghormat, mulia-memuliakan
Maksud: Berdasarkan tatacara dan ketertiban sewaktu makan, nasi hendaklah disuap menggunakan tangan kanan manakala lauk perlulah diangkat secara sopan. Ketika nasi sampai ke mulut hendaklah dikunyah dengan perlahan-lahan sebagai tanda tertib dan tidak gelojoh sewaktu makan. Setelah selesai makan nasi barulah diambil seteguk air minuman sebagai isyarat hormat dan beradab sopan ketika berada dalam majlis santapan itu.
Rangkap 3
Santap nasi suap pertama,
Berturut dengan suap kedua;
Dua suap, ketiga sudah,
Keempatnya basuh tangan;
Kelima halwa juadah,
Keenam mengiring buah-buahan.
Maksud: Dalam aturan dan cara-cara makan dan minum, suapan nasinya bermula daripada suapan pertama hingga ketiga sahaja. Selepas itu, si penjamu selera perlu membasuh tangan, sebelum diikuti dengan menjamah juadah halwa dan memakan buah-buahan.
Rangkap 4
Ketujuh berkumur-kumur,
Ke delapan makan sirih;
Kelat jatuh ke rengkungan,
Seri naik ke peroman.
Maksud: Cara-cara makan dan minum yang berikutnya ialah ketujuhnya, orang yang menjamu selera perlu berkumur-kumur untuk membersihkan mulut dan diakhiri dengan memakan sirih. Air sirih kelat yang masuk ke kerongkong si penjamu selera akan menambahkan seri pada wajah mereka.
Rangkap 5
Itulah santap beradat kebesaran,
Di dalam riwayat zaman yang silam.
Maksud: Tatacara dan peraturan santapan ini merupakan majlis santap beradat kebesaran yang diajarkan oleh generasi terdahulu.
TemaSeloka Santap Istiadat
TemaSeloka Santap Istiadat ialah ajaran beradab sopan dan tatacara makan dan minum di dalam majlis mengikut tertib berpandukan didikan generasi terdahulu.
PersoalanSeloka Santap Istiadat
- Persoalan adab sopan dan tertib ketika menjamu selera dalam sesuatu majlis.
- Persoalan kepentingan cara-cara menjamu selera dalam sesuatu majlis.
- Masyarakat Melayu yang mengutamakan nilai kesopanan ketika makan dan minum.
- Kepentingan beradab sopan dan tertib ketika menjamu selera.
Bentuk dan Ciri-ciri Seloka
- Terdiri daripada lima rangkap.
- Rangkap pertama mempunyai lima baris
- Rangkap kedua mempunyai tujuh baris
- Rangkap ketiga mempunyai enam baris
- Rangkap keempat mempunyai empat baris
- Rangkap kelima mempunyai dua baris.
- Bilangan katanya dua hingga enam patah kata.
- Terdiri daripada tujuh hingga empat belas suku kata.
- Berbentuk bebas atau tidak terikat.
Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
Anafora
Contoh: Santap beradat, santap istiadat,
Santap raja di majlis kebesaran,
Santap merai, hormat-menghormat
Repetisi
Contoh: Santap beradat, santap istiadat.
Bahasa klasik
Contoh: peroman
Kata ganda
Contoh: hormat-menghormat, mulia- memuliakan, buah-buahan dan berkumur-kumur.
Personifikasi
Contoh: Kelat jatuh ke rengkungan.
Asonansi
Contoh: Kelima halwa juadah (perulangan vokal a)
Aliterasi
Contoh: Isyarat menghormat, mulia- memuliakan. (perulangan konsonan m).
Rima akhir
Rangkap pertama ialah abacb
Rangkap kedua ialah aaaabaa
Rangkap ketiga ialah aabcbc
Rangkap keempat ialah abcc
Rangkap kelima ialah ab
NilaiSeloka Santap Istiadat
Nilai Kesopanan
Contoh: Pembaca diajarkan cara-cara makan dan minum dalam majlis secara tertib dan sopan .
Nilai Kepatuhan
Contoh: Penjamu selera yang makan dan minum perlu patuh pada segala etika yang telah digariskan dalam majlis tersebut.
Nilai Kesederhanaan
Contoh: Pembaca diajar cara makan dan minum secara bersederhana dan bukannya makan secara berlebihan.
Nilai Hormat-menghormati
Contoh: Seseorang perlulah makan dan minum secara sopan sebagai menghormati tetamu yang berada dalam majlis tersebut.
PengajaranSeloka Santap Istiadat
Kita mestilah bersikap sopan dan beradab ketika sedang menjamu selera.
Kita haruslah hormat-menghormati antara satu dengan yang lain ketika sedang menjamu selera di dalam sesuatu majlis.
Kita perlulah mengikut peraturan dan tatacara ketika makan dengan mendahului perkara yang utama kemudian diikuti dengan perkara-perkara yang berikutnya.
Kita hendaklah bersederhana semasa makan dengan tidak mengambil makanan secara berlebihan atau hawa nafsu.
Kita seharusnya mengamalkan sikap bersederhana ketika makan dengan tidak mengambil makanan yang berlebihan.
Contoh SoalanSeloka Santap Istiadat
Nyatakan persoalan yang dapat anda peroleh daripada petikan seloka tersebut.
Persoalan yang terdapat dalam seloka ialah peraturan ketikamenjamu selera dalam sesuatu majlis. Selain itu, seloka ini juga mengambarkan persoalan masyarakat melayu yang mengamalkan nilai bersopan-santun ketika makan serta kepentingan mengamalkan adab ketika makan.
Nyatakan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang selepas membasuh tangan sesudah makan.
Perkara yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang selepas membasuh tangan ialah makan buah buahan atau kuih-muih sebagai pencuci mulut.
Berdasarkan rangkap kedua ‘Seloka Santap Istiadat’, apakah tiga adab dan tatatertib makan nasi yang disarankan oleh penulis?
- Menyuap nasi haruslah menggunakan tangan kanan.
- Lauk pula harus diambil dengan sopan.
- Makanan haruslah dimamah perlahan-lahan.
- Hanya meneguk minuman selepas selesai makan nasi.
“Masyarakat kita sangat mementingkan adab dan tatatertib dalam kehidupan seharian.” Pada pendapat anda, mengapakah adab sangat penting dalam kehidupan seharian?
- Mencerminkan keperibadian seseorang insan dalam masyarakat.
- Adab yang baik dapat menyerlahkan kualiti diri.
- Adab yang baik dapat menjaga penampilan diri.
- Masyarakat lebih menghormati individu yang menjaga adab.
Apakah yang diajar oleh penulis dalam rangkap ketiga seloka?
Penulis mengajar kita supaya makan dengan perlahan-lahan mengikut tertib.Selain itu, kita juga digalakkan menjaga kebersihan dengan membasuh tangan sehingga bersih selepas makan sebelum makan manisan.
Pada pendapat anda, apakah keburukan apabila seseorang makan secara gelojoh dan tidak beradab.
Keburukan apabila makan secara gelojoh ialah sikap ini akan menjejaskan keperibadian seseorang kerana sikap ini kurang baik dan dipandang serong oleh masyarakat. Selain itu, sikap gelojoh ini akan mengakibatkan seseorang tercekik makanan yang boleh membawa bahaya terutamanya makanan yang keras.
Huraikan maksud rangkai kata kelat jatuh ke rengkungan.
Maksud rangkai kata kelat jatuh ke rengkungan ialah rasa kelat atau pahit terasa di kerongkong.
Seloka ini memberikan panduan kepada kita tentang adab ketika makan. Nyatakan dua adab semasa makan yang terdapat dalam seloka ini.
Dua adab semasa makan yang terdapat dalam seloka ini ialah kita hendaklah makan dengan tangan kanan dan makan mengikut tertib dan tidak gelojoh. Selain itu, kita juga perlu membasuh tangan selepas dan sebelum makan supaya menjaga kebersihan.
(Soalan KBAT) Makan mengikut nafsu adalah antara sikap negatif yang perlu dihindari. Nyatakan tiga kebaikan apabila kita bersederhana ketika makan.
Kebaikan apabila kita bersederhana ketika makan ialah kita tidak akan gelojoh yang akan menyebabkan imej kita tercemar. Selain itu, kita juga tidak makan secara berlebihan. Akhir sekali, kita juga tidak terlalu kekenyangan.
Berdasarkan rangkap keempat ‘Seloka Santap Istiadat’, apakah adab selepas makan yang dicadangkan oleh penulis?
Penulis mencadangkan orang yang selesai menjamu selera berkumur-kumur selepas makan. Penulis juga menyarankan orang yang menjamu selera makan sirih supaya wajah lebih berseri-seri.
Nyatakan tiga nilai yang terdapat dalam seloka tersebut.
Nilai Kebersihan
Huraian: Menjaga kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang.
Nilai Sopan santun
Huraian: Bersopan santun mampu menampilkan kualiti diri.
Nilai Hormat-menghormati
Huraian: Sikap hormat-menghormati mampu memupuk persefahaman.
“Masyarakat pada zaman dahulu sangat mementingkan sikap sopan santun ketika makan di rumah ataupun dalam majlis rasmi.“ Pada pendapat anda, apakah yang harus dilakukan oleh generasi muda untuk mengekalkan sikap sopan santun ketika makan di rumah ataupun dalam majlis rasmi?
Setelah makanan dihidangkan, pastikan golongan yang lebih tua duduk dahulu kemudian diikuti oleh golongan muda. Biarkan golongan yang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian diikuti oleh golongan muda. Seterusnya, golongan muda harus menyendukkan makanan kepada golongan yang lebih tua. Semasa mengambil makanan, mestilah menggunakan tangan kanan. Selain itu, jangan mengeluarkan bunyi ketika makan seperti bunyi ketika mengunyah daging.