Kandungan
Setiap orang mengalami masalah dan menghadapi tekanan dalam kehidupan. Apakah langkah bestari dalam mengatasi masalah tekanan dalam hidup?
Cara untuk mengatasi masalah tekanan
Bumi mana tidak ditimpa hujan merupakan peribahasa yang menjelaskan bahawa setiap orang menghadapi masalah dan mengalami tekanan dalam hidup mereka. Secara umumnya, tekanan ialah suatu perasaan resah dan gelisah akibat sesuatu masalah yang dihadapi. Tekanan yang dihadapi boleh menjadi pembakar semangat untuk berjaya dalam kehidupan dan boleh juga menjadi pemusnah diri lalu membawa kesengsaraan dalam kehidupan. Peribahasa Melayu turut mneyatakan berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Oleh itu, kita harus bijak mengurus tekanan yang dihadapi. Persoalannya, apakah langkah bestari dalam menghadapi tekanan dalam hidup?
Menggalakkan aktiviti riadah
Langkah awal yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan aktiviti riadah. Aktiviti riadah seperti berbasikal, bersenam, bermain badminton dan bermain bola sepak merupakan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti riadah ini mampu menghilangkan tekanan perasaan atau bebanan fikiran disebabkan oleh beberapa masalah yang dihadapi oleh seseorang. Dengan cara ini, kita dapat melegakan perasaan dan menenangkan fikiran setelah penat beriadah dan kita akan dapat berfikir dengan lebih baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Oleh itu, kita hendaklah melakukan aktiviti riadah agar dapat menghilangkan tekanan akibat daripada kepenatan bekerja dan belajar. Tegasnya, aktiviti riadah mampu menghilangkan tekanan yang dialami seseorang.
Contoh Karangan: Punca Masalah Kesihatan Mental
Memperkasa Sistem Sokongan Sosial
Salah satu langkah jangka panjang untuk mengatasi tekanan ialah dengan memperkasa sistem sokongan sosial dalam kalangan pelajar. Ini termasuk hubungan erat antara rakan sebaya, guru, kaunselor dan ahli keluarga yang mampu memberi ruang selamat untuk pelajar berkongsi perasaan dan masalah mereka. Apabila seseorang pelajar merasa disokong dan tidak bersendirian, tekanan yang dihadapi dapat dikurangkan secara signifikan. Sebagai contoh, beberapa sekolah kini mewujudkan “buddy system” atau rakan sokongan dalam kelas supaya pelajar sentiasa ada tempat bergantung apabila menghadapi tekanan. Selain itu, penyediaan kaunselor terlatih serta penggunaan platform dalam talian untuk sesi kaunseling juga wajar diperluaskan. Bagai aur dengan tebing, sistem sokongan yang kukuh mampu membina pelajar yang lebih sihat dari segi mental dan emosi.
Penjagaan Kesihatan Mental Secara Proaktif
Penjagaan kesihatan mental yang berterusan merupakan langkah penting dalam mengurangkan tekanan dalam kalangan pelajar. Salah satu pendekatan utama ialah mengamalkan pemikiran positif dalam menghadapi segala bentuk cabaran dan tekanan. Apabila seseorang pelajar berfikiran terbuka dan menerima kritikan secara rasional, mereka akan lebih tenang serta tidak mudah tertekan. Misalnya, pelajar yang gagal dalam ujian tidak sepatutnya terus berasa kecewa, sebaliknya mengambil kegagalan itu sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri. Seperti kata pepatah, tidak hidup dengan pujian, tidak mati dengan kejian, pelajar perlu belajar mengurus emosi dan tidak terlalu bergantung kepada pengiktirafan luar. Dengan itu, penjagaan kesihatan mental perlu dijadikan keutamaan demi membina generasi yang sihat dari segi fizikal dan rohani.
Melakukan ibadah
Di samping itu, masalah tekanan juga dapat diatasi dengan melakukan ibadah sebagai terapi untuk mengurangkan tekanan. Hal ini dikatakan demikian kerana ibadah dapat merapatkan diri kita kepada Yang Maha Pencipta. Dengan menunaikan solat sekurang- kurangnya lima kali sehari, kita dapat mencegah diri kita daripada melakukan perkara yang melanggar hukum agama kerana sesungguhnya solat itu mencegah kemungkaran. Secara tidak langsung, kita dapat meningkatkan keyakinan dan menguatkan keimanan kepada Tuhan. Tegasnya, agama dapat memberi ketenangan kepada seseorang yang menghadapi tekanan dalam hidup.
Melancong ke destinasi pelancongan
Langkah terakhir yang boleh diambil bagi menghilangkan tekanan adalah dengan melancong ke destinasi pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila melancong kita dapat melihat suasana indah dan cantik di destinasi pelancongan. Sebagai satu tamsilan, apabila kita melancong ke tepi pantai seperti Pantai Teluk Cempedak, kita dapat melihat pemandangan indah pada waktu matahari terbenam di tepi pantai. Hal ini akan memberi ketenangan kepada sesorang yang sedang menghadapi masalah. Oleh itu, melancong menjadi langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah atau tekanan yang dihadapi. Jelaslah bahawa aktiviti pelancongan akan dapat menenangkan fikiran.
Penutup Karangan Menghadapi tekanan
Sebagai satu kesimpulan, tekanan yang dihadapi oleh seseorang boleh menjadi sumber motivasi kepada dirinya malah menjadi pembakar semangat kepada orang lain. Jika masalah tekanan ini tidak diambil perhatian, maka seseorang itu akan terjerumus dalam gejala sosial malah kemungkinan akan mengambil tindakan di luar batas norma kehidupan. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu, bekerjasama dan bertoleransi dalam semua aspek kehidupan seperti bagai aur dengan tebing, agar kita dapat melahirkan generasi yang mampu menghadapi tekanan pada masa akan datang.
Contoh Karangan: Kesan tekanan terhadap remaja