Skip to content

Contoh Karangan – Kesan tekanan terhadap remaja

Contoh Karangan Kesan tekanan

Tekanan merupakan masalah yang sering dihadapi terutamanya negara kita sedang menghadapi cabaran pandemik COVID-19. Apakah kesan yang dihadapi oleh seorang yang mengalami tekanan?

Kesan tekanan terhadap seseorang terutamanya remaja

Dalam era pasca-2020 yang penuh cabaran lantaran pandemik COVID-19 yang melanda negara, banyak orang yang terkesan dengan cabaran yang tidak terduga ini. Ada antaranya yang kehilangan punca pendapatan, kehilangan orang tersayang akibat jangkitan penyakit COVID-19 dan tidak kurang pula yang menghadapi masalah tekanan akibat tidak boleh bergerak ke mana-mana tanpa tujuan lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Keadaan ini telah memberi pelbagai kesan sama ada baik atau pun buruk kepada seseorang. Oleh itu, kita hendaklah mengkaji kesan yang dihadapi oleh seseorang. Persoalannya ialah apakah kesan yang dihadapi oleh seorang yang mengalami tekanan?

Menjadi pendorong atau pembakar semangat

Antara kesan yang signifikan dalam isu ini ialah tekanan dapat menjadi pendorong atau pembakar semangat kepada seseorang untuk mencapai matlamat atau impian. Keadaan tertekan ini akan menyebabkan dirinya sentiasa berfikir dan merancang sesuatu demi mencapai matlamatnya. Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak akan melakukan sepakan sudut lebih daripada 100 kali dan pemain tersebut tidak akan berhenti sehingga dia memperoleh tendangan yang tepat. Secara tidak langsung pemain tersebut akan mendapat bentuk tendangan yang tepat sekalig us meningkatkan keyakinan dan keberaniannya. Jelaslah bahawa tekanan mampu menjadi pendorong kejayaan.

Tekanan dapat mendewasakan diri seseorang

Dari sudut yang sama, tekanan akan dapat mendewasakan diri seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana tekanan akan menyebabkan seseorang remaja itu menjadi matang dan mampu berfikir di luar kotak. Malah remaja belasan tahun yang diibarat umur setahun jagung darah setampok pinang menghadapi tekanan hidup akibat ekonomi akan lebih kreatif berfikir untuk mencari wang bagi menampung keperluan hidupnya. Secara tidak langsung, remaja yang menghadapi tekanan akan lebih matang berfikir, bertindak dan mempunyai jaringan sosial yang luas berbanding remaja lain yang masih khayal dan leka dalam permainan dalam talian. Tegasnya, tekanan dapat mengubah pemikiran menjadi matang.

Gangguan emosi

Tidak dinafikan juga bahawa tekanan turut memberi kesan negatif dalam diri seseorang. Mereka yang menghadapi tekanan akan menghadapi gangguan emosi yang berat sehingga mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja demi melepaskan amarah yang terbuku dalam hati seperti lembu naik minyak. Mereka akan marah sesuka hati, menjerit dengan kuat, menangis di khalayak ramai dan ketawa sendirian. Secara tidak langsung, mereka yang menghadapi tekanan perlu mendapatkan perhatian doktor psikologi dan diberi ubat penenang. Oleh itu, ahli keluarga perlulah memantau keadaan mereka yang menghadapi tekanan

Mengalami perasaan gementar

Apabila menghadapi tekanan yang keterlaluan, seseorang itu akan mengalami perasaan gementar yang menyebabkan kadar denyutan jantung menjadi cepat dan menyebabkan tekanan darah turut meningkat. keadaan ini akan menyebabkan kadar perpeluhan turut meningkat disebabkan ketegangan otot. Keadaan ini kemungkinan boleh menyebabkan orang yang sedang menghadapi tekanan diserang penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan lumpuh. Oleh sebab itu, mereka yang sedang menghadapi tekanan disarankan agar tidak melakukan kerja-kerja berat yang boleh menyebabkan tekanan pada fikiran dan fizikal kerana sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Jelaslah bahawa tekanan mampu menyebabkan kesihatan terganggu.

Penutup Karangan Kesan tekanan

Kesimpulannya, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah akan ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam isu kemasyarakatan ini agar kita tidak dipersalah oleh generasi akan datang kerana mewariskan penyakit masyarakat kepada mereka sebagai satu legasi yang akan menjadikan masyarakat pada masa hadapan masyarakat yang hidup dalam tekanan.


Contoh Karangan: Cara mengatasi masalah remaja
Contoh Karangan: Punca tekanan perasaan remaja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *