Skip to content

Contoh Karangan – Punca tekanan perasaan remaja

Karangan Punca tekanan

Masalah tekanan semakin serius dalam kalangan remaja. Untuk mengatasi masalah ini, kita hendak mengetahui punca tekanan. Huraikan faktor yang menyebabkan masalah tekanan.

Punca remaja mengalami tekanan

Dalam era pasca-2020 yang penuh cabaran lantaran pandemik COVID-19 yang melanda negara, banyak orang yang terkesan dengan cabaran yang tidak terduga ini. Terdapat golongan yang kehilangan punca pendapatan, kehilangan orang tersayang akibat jangkitan penyakit COVID-19 dan tidak kurang pula yang menghadapi masalah tekanan akibat tidak boleh bergerak ke mana-mana tanpa tujuan lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh itu, kita hendaklah mengkaji setiap faktor yang menyebabkan masalah tekanan ini berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya remaja yang masih bersekolah. Persoalannya ialah, apakah punca tekanan berlaku pada seseorang remaja?

Kekuatan dalaman dan benteng keimanan yang lemah

Punca seseorang remaja mengalami tekanan adalah disebabkan oleh kekuatan dalaman dan benteng keimanan yang lemah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka terlalu mengikut perasaan seperti peribahasa ada menyebut ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu, ikut hati mati. Sebagai contoh, seseorang remaja berasa sedih atas kegagalannya dalam peperiksaan. Keadaan ini menyebabkan dia kemurungan lalu menyendiri di dalam bilik tanpa mahu berbual-bual dengan ibu bapa atau ahli keluarga. Oleh itu, tekanan berpunca daripada kelemahan iman seseorang kerana sesungguhnya kesabaran itu sebahagian daripada iman.

Pertengkaran antara ibu dan bapa

Tekanan juga berpunca daripada pertengkaran antara ibu dan bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka menghadapi masalah kewangan yang meruncing. Apatah lagi jika pergaduhan ibu bapa turut dikaitkan dengan hubungan terlarang ibu atau bapa dengan orang ketiga. Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya perceraian. Akibatnya, anak-anak tidak dapat menghadapi masalah keretakan rumah tangga ibu bapa mereka bagai retak menanti belah. Oleh itu, anak-anak akan memendam perasaan lalu mengalami tekanan jiwa sehingga sampai satu tahap tekanan ini memberi impak negatif pada remaja.

Kegiatan buli di sekolah

Selain masalah rumah tangga menjadi punca tekanan pada remaja, kegiatan buli di sekolah turut menjadi faktor remaja mengalami tekanan. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak yang menjadi mangsa buli di sekolah akan memendamkan perasaan lalu jiwa remaja tertekan disebabkan terlalu marah atas perbuatan buli terhadap dirinya, namun dia tidak mampu untuk membalas atau mempertahan dirinya. Oleh itu, remaja perlu berani menghadapi kegiatan buli daripada pembuli di sekolah dengan membuat aduan kepada guru atau pentadbir sekolah.

Aktiviti persekolahan dan pembelajaran

Punca terakhir yang menyebabkan tekanan pada diri remaja adalah disebabkan aktiviti persekolahan dan pembelajaran. Lazimnya bagi kelas yang akan menduduki peperiksaan penting seperti PT3 dan SPM, guru-guru akan memberikan tugasan yang banyak. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mendapat rehat yang cukup. Ibu bapa pula akan memaksa anak- anak untuk menghadiri kelas tuisyen. Akibatnya, anak-anak tiada masa rehat yang cukup lalu mereka menghadapi tekanan akibat desakan ibu bapa yang keterlaluan. Oleh itu ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendapat tidur yang cukup, makanan yang seimbang dan kesihatan yang baik untuk memastikan mereka bersedia menghadapi peperiksaan.

Penutup Karangan Punca tekanan

Kesimpulannya, tekanan hendaklah diurus dengan cara yang betul agar tekanan tersebut menjadi pembakar semangat untuk memajukan diri pelajar. Oleh itu, pihak sekolah terutamanya Unit Bimbingan dan Kaunseling hendaklah memastikan pelajar dapat mengurus tekanan yang dihadapi oleh mereka dengan bijak bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak agar mereka terus dapat mencapai kejayaan demi kejayaan untuk kecemerlangan masa hadapan.


Contoh Karangan – Kesan tekanan terhadap remaja | Langkah Menghadapi tekanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *