Skip to content

Contoh Karangan – Langkah Menghadapi tekanan

Langkah Menghadapi tekanan

Setiap orang menghadapi masalah dan mengalami tekanan dalam kehidupan. Apakah langkah bestari dalam mengatasi masalah tekanan dalam hidup?

Langkah untuk mengatasi masalah tekanan

Bumi mana tidak ditimpa hujan merupakan peribahasa yang menjelaskan bahawa setiap orang menghadapi masalah dan mengalami tekanan dalam hidup mereka. Secara umumnya, tekanan ialah suatu perasaan resah dan gelisah akibat sesuatu masalah yang dihadapi. Tekanan yang dihadapi boleh menjadi pembakar semangat untuk berjaya dalam kehidupan dan boleh juga menjadi pemusnah diri lalu membawa kesengsaraan dalam kehidupan. Peribahasa Melayu turut mneyatakan berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Oleh itu, kita harus bijak mengurus tekanan yang dihadapi. Persoalannya, apakah langkah bestari dalam menghadapi tekanan dalam hidup?

Aktiviti riadah

Langkah awal yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan aktiviti riadah. Aktiviti riadah seperti berbasikal, bersenam, bermain badminton dan bermain bola sepak merupakan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti riadah ini mampu menghilangkan tekanan perasaan atau bebanan fikiran disebabkan oleh beberapa masalah yang dihadapi oleh seseorang. Dengan cara ini, kita dapat melegakan perasaan dan menenangkan fikiran setelah penat beriadah dan kita akan dapat berfikir dengan lebih baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Oleh itu, kita hendaklah melakukan aktiviti riadah agar dapat menghilangkan tekanan akibat daripada kepenatan bekerja dan belajar. Tegasnya, aktiviti riadah mampu menghilangkan tekanan yang dialami seseorang.

Penjagaan kesihatan mental

Selain itu, penjagaan kesihatan mental juga boleh menghilangkan tekanan. Salah satu cara menjaga kesihatan mental adalah dengan berfikiran positif. Kita hendaklah sentiasa menerima kritikan dan pandangan negatif secara positif seperti peribahasa yang menyebut tidak hidup dengan pujian tidak mati dengan kejian. Hal ini menyebabkan kita sentiasa sabar dan tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah berfikiran positif agar dapat menjamin kesihatan kerana sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Melakukan ibadah

Di samping itu, masalah tekanan juga dapat diatasi dengan melakukan ibadah sebagai terapi untuk mengurangkan tekanan. Hal ini dikatakan demikian kerana ibadah dapat merapatkan diri kita kepada Yang Maha Pencipta. Dengan menunaikan solat sekurang- kurangnya lima kali sehari, kita dapat mencegah diri kita daripada melakukan perkara yang melanggar hukum agama kerana sesungguhnya solat itu mencegah kemungkaran. Secara tidak langsung, kita dapat meningkatkan keyakinan dan menguatkan keimanan kepada Tuhan. Tegasnya, agama dapat memberi ketenangan kepada seseorang yang menghadapi tekanan dalam hidup.

Melancong ke destinasi pelancongan

Langkah terakhir yang boleh diambil bagi menghilangkan tekanan adalah dengan melancong ke destinasi pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila melancong kita dapat melihat suasana indah dan cantik di destinasi pelancongan. Sebagai satu tamsilan, apabila kita melancong ke tepi pantai seperti Pantai Teluk Cempedak, kita dapat melihat pemandangan indah pada waktu matahari terbenam di tepi pantai. Hal ini akan memberi ketenangan kepada sesorang yang sedang menghadapi masalah. Oleh itu, melancong menjadi langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah atau tekanan yang dihadapi. Jelaslah bahawa aktiviti pelancongan akan dapat menenangkan fikiran.

Penutup Karangan Menghadapi tekanan

Sebagai satu kesimpulan, tekanan yang dihadapi oleh seseorang boleh menjadi sumber motivasi kepada dirinya malah menjadi pembakar semangat kepada orang lain. Jika masalah tekanan ini tidak diambil perhatian, maka seseorang itu akan terjerumus dalam gejala sosial malah kemungkinan akan mengambil tindakan di luar batas norma kehidupan. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu, bekerjasama dan bertoleransi dalam semua aspek kehidupan bagai aur dengan tebing agar kita dapat melahirkan generasi yang mampu mengurus tekanan yang dihadapi pada masa akan datang.


Contoh Karangan: Kesan tekanan terhadap remaja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *