Kandungan
Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin kritikal walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. Nyatakan punca-punca berlakunya masalah ini.
Punca keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja
Remaja merupakan pemangkin kemajuan negara kita. Merekalah yang akan menggantikan generasi terdahulu untuk menerajui dan membangunkan negara. Bak kata pepatah, “di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jika elok remaja, maka eloklah masa depan sesebuah negara itu, tetapi jika rosak remaja, maka rosaklah masa depan sesebuah negara itu. Oleh itu, golongan remaja yang cemerlang sangat diperlukan untuk membentuk sesebuah negara yang berjaya. Malangnya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin bertambah. Pelbagai masalah yang berkaitan dengan keruntuhan akhlak seperti kes buli, gangsterisme, dan vandalisme sentiasa diberitakan. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja?
Pengaruh rakan sebaya
Salah satu punca utama keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja ialah pengaruh rakan sebaya. Hal ini demikian kerana mereka lebih rapat dengan rakan sebaya berbanding keluarga. Rakan sebaya sangat mudah mempengaruhi seseorang remaja itu sama ada ke jalan yang benar atau ke jalan yang songsang. Para remaja ini akan saling cabar-mencabar dengan rakan sebaya untuk melakukan sesuatu, walaupun mereka tahu perkara itu salah. Lebih membimbangkan lagi, terdapat remaja yang sanggup melakukan jenayah kecil seperti mencuri atau melepak hingga larut malam demi mendapat pengiktirafan daripada kumpulan rakan mereka. Contohnya, kes buli beramai-ramai yang tular di media sosial sering berpunca daripada pengaruh kumpulan rakan sebaya yang tidak bermoral.
Pengaruh media massa dan Internet
Selain rakan sebaya, pengaruh media massa dan internet juga memainkan peranan besar dalam keruntuhan akhlak remaja. Remaja menghabiskan banyak masa melayari media sosial dan menonton kandungan dalam talian. Malangnya, tidak semua kandungan tersebut bersifat mendidik. Banyak kandungan dari Internet mengandungi unsur keganasan, seks bebas, dan bahasa kesat ditayangkan tanpa tapisan. Kandungan seperti ini boleh mempengaruhi minda remaja yang masih mentah dan sedang membentuk jati diri. Sebagai contoh, terdapat kes remaja yang melakukan activiti berisiko di tempat awam semata-mata untuk menjadi tular, tanpa memikirkan keselamatan diri. Jika tidak dikawal, pengaruh negatif media massa ini akan terus merosakkan nilai moral dan menjauhkan remaja daripada prinsip hidup yang sihat dan seimbang.
Kesibukan ibu bapa
Selain itu, kesibukan ibu bapa turut menyumbang kepada berlakunya gejala ini. Keluarga yang porak-peranda turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini. Sebenarnya, lumrah ibu bapa ialah mendidik dan mengasuh anak-anak supaya menjadi orang yang berguna. Sesetengah ibu bapa yang kurang mengambil tahu masalah anak-anak mereka akan menyebabkan remaja sesat dan memilih jalan yang songsang. Akhirnya, anak remaja yang terbiar tanpa bimbingan dan kasih sayang yang sepatutnya mula mencari jalan keluar dan bergaul dengan anasir-anasir negatif di luar rumah. Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan jumlah remaja yang terlibat dalam jenayah juvana yang akhirnya membawa mereka ke pusat pemulihan akhlak. Bak kata pepatah, “sudah terhantuk, baru tergadah.”
Contoh Karangan: Bagaimana Keluarga Membantu Remaja Menghadapi Cabaran Hidup
Sifat semulajadi remaja
Salah satu punca keruntuhan akhlak ialah sifat semula jadi remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baharu. Kegagalan remaja itu sendiri mengawal diri dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Mereka ingin mencuba perkara baharu tanpa memikirkan kesannya. Walaupun pada awalnya niat mereka hanyalah untuk mencuba, tetapi lama-kelamaan mereka akan ketagih dan terus terjebak ke dalam aktiviti haram itu. Keinginan untuk kelihatan “cool” dan berani menyebabkan mereka terbabit dalam kegiatan negatif seperti menyertai kumpulan haram dan lumba haram. Contohnya, terdapat kes remaja bawah umur ditangkap kerana terlibat dalam geng motosikal yang menimbulkan kacau ganggu di kawasan perumahan.
Pengaruh Hiburan Melampau
Satu lagi faktor yang sering diabaikan ialah pengaruh hiburan melampau seperti permainan video ganas dan komik yang berunsur lucah. Permainan video yang memaparkan unsur keganasan boleh menghakis sensitiviti remaja terhadap nilai kemanusiaan. Dalam jangka masa panjang, mereka akan hilang empati dan menjadi lebih agresif dalam kehidupan seharian. Begitu juga dengan muzik serta kandungan hiburan dalam talian yang mempromosikan nilai bebas dan budaya barat yang melampau. Sebagai contoh, terdapat remaja yang meniru gaya hidup selebriti luar negara tanpa menyedari bahawa nilai itu bertentangan dengan norma masyarakat tempatan. Keasyikan dalam dunia hiburan ini menjadikan mereka alpa terhadap tanggungjawab moral dan sosial.
Penutup Punca keruntuhan akhlak
Kesimpulannya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja merupakan isu kompleks yang berpunca daripada pelbagai faktor. Menangani isu ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak secara menyeluruh dan berterusan. Pendidikan moral perlu diperkuatkan di sekolah, manakala ibu bapa harus meluangkan masa bersama anak-anak agar mereka berasa dihargai dan didengar. Pada masa yang sama, kerajaan dan penggiat media juga perlu memainkan peranan penting dalam menapis kandungan negatif serta menyediakan alternatif hiburan yang sihat. Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing, maka generasi remaja masa kini mampu menjadi pemimpin yang berakhlak dan berkualiti tinggi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”
Contoh Karangan: Cara untuk Membentuk Akhlak Mulia
sangat bermanfaat.!.!.!.!.!.!.!.!.!.!.!.!.!.!.!.
Sangat berman faat