Skip to content

Karangan SPM: Cara untuk Membentuk Akhlak Mulia

Cara untuk Membentuk Akhlak Mulia

Perbuatan manusia boleh dipisahkan daripada bidang ilmu atau pemikiran, bahkan juga boleh dipisahkan daripada agama, tetapi tidak dapat dipisahkan dengan akhlak atau moral. Apakah cara yang boleh membentuk akhlak mulia?

Langkah untuk Membentuk Akhlak Mulia

Pada alaf pandemik COVID-19 ini, masalah pembangunan sahsiah anak-anak ini sering menjadi bahan perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin negara. Pelbagai kisah duka terpapar di dada-dada akhbar arus perdana malah sering menjadi topik hangat perbincangan dalam kalangan masyarakat setempat tentang kebejatan akhlak remaja yang berlaku di negara kita. Masalah ini tidak seharusnya dipandang sipi. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing untuk membentuk akhlak mulia dalam diri remaja.

Ibu bapa menjadi suri teladan

Salah satu peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa merupakan cerminan sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah menuturkan kata-kata yang elok dan sopan di hadapan anak-anak serta tidak bertegang urat sehingga mengabaikan adab sebagai ibu bapa. Dengan tindakan tersebut, anak-anak pasti akan menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh ikutan mereka. Hal ini sesuai dengan peribahasa, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Dengan ini, usaha untuk merealisasikan pembangunan negara dapat dijayakan dengan lahirnya remaja yang bersahsiah mulia. Tegasnya, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui sahsiah ibu bapa.

Didikan agama kepada anak

Selain itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan mereka dengan memberikan didikan agama kepada anak- anak sama ada melalui asuhan di rumah atau didikan di sekolah. Mereka akan pincang sekiranya ibu bapa tidak cakna dalam soal memberikan didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana didikan agama yang utuh, anak-anak akan dapat membezakan antara intan dengan kaca serta mampu untuk menghalang nafsu daripada menguasai diri seperti peribahasa Melayu yang mengatakan beraja di mata bersultan di hati. Sebagai satu tamsilan, anak-anak akan menunaikan solat dan berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh ketaatan dan kesempurnaan. Jelaslah bahawa, asuhan dan didikan agama ke dalam jiwa setiap remaja dapat membentuk akhlak mulia dalam diri anak-anak itu sendiri.

Guru menonjolkan akhlak mulia

Seterusnya, guru-guru juga merupakan golongan yang dipercayai oleh remaja dan mereka banyak menghabiskan masa bersama di sekolah. Hubungan akrab ini terjalin bertahun- tahun sehingga guru dianggap sebagai ibu bapa. Dengan cara ini, guru-guru akan lebih mudah memberi pendidikan kepada mereka. Secara tidak langsung, guru-guru hendaklah menonjolkan akhlak atau keperibadian mulia agar menjadi contoh dan ikutan pelajar. Oleh itu, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Maka pelajar perlu belajar dengan bersungguh- sungguh agar dapat membalas jasa guru dan ibu bapa.

Masyarakat cakna dengan kebejatan akhlak remaja

Bukan itu sahaja, masyarakat hendaklah cakna dengan kebejatan akhlak remaja dan tidak hanya memekakkan telinga dan membutakan mata serta membiarkan remaja beraja di mata dan bersultan di hati. Masyarakat hendaklah sensitif dengan aktiviti remaja yang di luar batas norma kehidupan dan budaya masyarakat Malaysia. Mereka hendaklah menegur remaja daripada melakukan perbuatan yang mencolok mata sehingga menjadi polemik dalam masyarakat dan penduduk setempat. Secara tidak langsung, masyarakat bertanggungjawab untuk memandu arah remaja agar berada di landasan yang betul sebagai persediaan membentuk generasi kepimpinan negara. Oleh itu, masyarakat juga menjadi cerminan kepada remaja

Penutup Karangan – Membentuk Akhlak Mulia

Secara intihanya, semua pihak tidak terlepas daripada tanggungjawab dalam memupuk akhlak remaja. Penyelesaian daripada satu pihak saja tidak akan menjamin keberhasilan dalam pemupukan akhlak remaja. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama, berganding bahu, dan tolong-menolong dalam usaha meningkatkan kualiti remaja di negara kita agar tidak menjadi duri dalam daging kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya, kita mampu untuk melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pelbagai pihak perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.


Contoh Karangan: Usaha untuk mencapai Kerjaya Impian
Contoh Karangan: Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Sahsiah Anak-Anak

1 thought on “Karangan SPM: Cara untuk Membentuk Akhlak Mulia”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *