Skip to content

Contoh Karangan – Penggunaan barangan buatan Malaysia

Penggunaan barangan buatan Malaysia Contoh Karangan - Penggunaan barangan buatan Malaysia

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak menggunakan barangan buatan Malaysia. Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Peranan Ibu Bapa dalammenggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?

menjadi role model kepada anak-anak

Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang  paling dikagumi  kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. 

Walaubagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.

memupuk perasaan cinta akan negara

Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi mudakita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri.

Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.

Pameran barangan ciptaan Malaysia

Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa.   Sebagai contoh, kraf tangan dan  batik,  yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri.

Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.

menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia

Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan Malaysia.

Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.

Penutup Karangan

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik.

Walalau bagaimanapun,  usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi. Rakyat Malaysia patut menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.


Contoh Karangan: Faedah Membeli Barangan Buatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *