Skip to content

Karangan Membeli Barangan Buatan Malaysia

Karangan Membeli Barangan Buatan Malaysia

Negara yang membuat barangan buatan sendiri boleh mengurangkan pengambilan barangan import yang mahal. Huraikan faedah Membeli Barangan Buatan Malaysia.

Faedah Membeli Barangan Buatan Malaysia

Pada marcapada ini, setiap negara berusaha dalam mengorak langkah dalam membangunkan ekonomi masing-masing agar mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain. Oleh yang demikian, majoriti negara dunia yang sedang membangun akan sedaya upaya mereka untuk membuat barangan buatan sendiri supaya mereka boleh mengurangkan pengambilan barangan import yang mahal di samping dapat mengkomersialkan bahan buatan sendiri yang kualitinya hampir sama seperti barang-barang import. Maka dengan itu, sebagai warganegara Malaysia wajarlah kita membeli barangan buatan Malaysia kerana pelbagai faedah yang akan kita peroleh daripadanya.

Mengembangkan perniagaan usahawan tempatan

Faedah yang pertama ialah kita pasti akan dapat mengembangkan perniagaan usahawan tempatan. Hal ini kerana membeli barangan buatan Malaysia bermakna kita menyokong usaha masyarakat kita sendiri dalam bidang perniagaan. Secara tidak langsung, ini akan membuatkan rakyat Malaysia akan berlumba-lumba untuk menceburi bidang ini kerana mereka yakin bidang ini dapat menjanjikan keuntungan kepada mereka.

Tambahan lagi, jika sesuatu barangan buatan tempatan mendapat perhatian orang ramai termasuk masyarakat asing, hal ini pasti akan membuatkan masyarakat dunia berminat untuk mengimport barangan buatan Malaysia lantas meningkatkan lagi ekonomi negara dan pendapatan orang tempatan yang menceburi bidang ini. Apabila permintaan untuk sesuatu barangan tempatan menaik, ini pasti akan memerlukan produktiviti yang lebih banyak. Jadi, kerajaan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat agar negara dapat memenuhi permintaan tersebut.

Menggalakkan penggunaan bahan tempatan

Kemaslahatan seterusnya ialah negara dapat menggalakkan penggunaan bahan tempatan. Sudah menjadi norma tamadun manusia yang tidak akan lari daripada identiti bangsa, budaya dan kultur hidup yang mereka warisi sejak berabad lamanya, persis kata orang tua-tua, “biar mati anak, jangan mati adat”. Mereka pasti akan memasukkan sesuatu yang berkriteriakan latar belakang mereka apabila melakukan atau mereka sesuatu barangan. Oleh yang demikian, dengan ada lebih banyak usahawan tempatan maka lebih banyaklah penggunaan barangan tempatan.

Sebagai contoh, barang daripada getah , bijih timah dan beberapa produk daripada kayu-kayan yang amat sinonim dengan masyarakat Malaysia pasti akan lebih banyak digunakan dalam pembuatan sesuatu barang. Usahawan tempatan boleh membuat kasut, perabot, hasil kraftangan dan pelbagai barangan lagi mengikut kreativiti mereka yang pasti akan menarik minat warga tempatan dan juga masyarakat dari seantero global.

Mengelakkan pengaliran wang ke luar negara

Mengelakkan pengaliran wang ke luar negara juga antara impak positif yang dapat diperoleh menerusi membeli barangan buatan Malaysia. Mengapa? Hal ini kerana pengeluaran duit yang banyak mempengaruhi nilai mata wang sesebuah negara. Jika banyak duit yang dibelanjakan ke luar negara berbanding di dalam negara, nilai mata wang ringgit kita pasti akan merudum lantas kita tidak akan dapat menandingi negara-negara maju yang lain seperti United Kingdom dan negara-negara di Eropah yang mata wangnya bernilai 4 ke 5 kali ganda lagi mahal daripada kita.

Lantaran itu, apabila kita membeli barangan buatan Malaysia yang bertuah ini mata wang ringgit kita pasti tidak akan jatuh kerana duit kita tidak akan mengalir ke luar negara. Bukan itu sahaja, jika barangan kita mendapat permintaan dari negara luar , duit daripada negara tersebut pasti akan mengalir masuk ke dalam negara kita sebagai pelaburan ataupun duit hasil eksport lantas ini akan meningkatkan lagi nilai mata wang kita.

Menjimatkan pembelian

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pembelian barangan tempatan dapat menjimatkan pembelian seseorang. Umum mengetahui bahawa membeli barangan import jauh lebih mahal berbanding membeli barangan tempatan. Ramai yang memberikan persepsi biar papa asal bergaya dan alah membeli menang memakai. Pengguna yang mementingkan jenama sanggup berhabis wang untuk membeli barangan import berjenama dengan memandang sebelah mata sahaja bagi barangan tempatan yang sama. Bagi mereka, harga yang mahal itu setanding dengan kualiti sesuatu produk.

Sesungguhnya, barangan tempatan lebih murah malah kualitinya juga setanding dengan barangan import. Sebagai contoh, kereta-kereta nasional yang berkualiti seperti Myvi dan Axia. Tuntasnya, pembelian barangan tempatan dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat Malaysia.

Penutup Karangan

Konklusinya, terdapat banyak kebaikan yang dapat diperoleh apabila kita membeli barangan buatan tempatan. Semua kebaikan ini pasti akan menjadikan negara kita bertambah maju dan selangkah lagi ke arah negara berstatus negara maju. Sehubungan dengan itu, kita sebagai pengguna bijak hendaklah sentiasa memberikan kerjasama bagai aur dengan tebing dalam menyokong hasil produktiviti tempatan agar kita semua dapat bersama-sama mengecapi matlamat negara menjadi negara yang maju.


Contoh Karangan:Caramenggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page