Skip to content

Karangan SPM: Cara Memajukan Industri Kecil Dan Sederhana

Cara Memajukan Industri Kecil Dan Sederhana

Industri Kecil dan Sederhana mengalami pelbagai cabaran lantaran persaingan daripada syarikat luar negara. Apakah cara yang boleh Memajukan Industri Kecil Dan Sederhana?

Langkah Memajukan Industri Kecil Dan Sederhana

Secara umumnya, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah industri yang diusahakan oleh syarikat tempatan dengan modal berbayar bawah RM 500,000. Syarikat-syarikat tempatan ini berada bawah Industri Desa dan Industri Hiliran telah mengalami pelbagai cabaran lantaran persaingan daripada syarikat luar negara yang bercawangan di Malaysia dan menyebabkan Industri Kecil dan Sederhana terpinggir daripada arus kemajuan negara. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil secara drastik dan efektif untuk memajukan IKS. Persoalannya, apakah tindakan untuk memajukan Industri Kecil Dan Sederhana?

Menyuntik elemen teknologi

Usaha yang paling efektif dalam memajukan IKS adalah dengan usaha menyuntik elemen teknologi dalam pembuatan produk. Sebenarnya, elemen teknologi ini akan memudahkan banyak perkara kepada pengusaha IKS. Namun kos pembelian mesin dan jentera ini terlalu mahal dan isu ini menyebabkan pengusaha IKS tidak berminat untuk melabur dalam pembelian mesin atau jentera pembuatan. Misalannya, industri desa yang mengeluarkan produk makanan kerepek pisang perlu melalui proses yang lama. Maka dengan suntikan teknologi, produk makanan tersebut dapat dikeluarkan dalam bungkusan yang berkualiti dan menjamin keaslian rasa kerepek pisang.

Pengusaha IKS melakukan kajian dan pembangunan produk

Selain elemen teknologi, pengusaha IKS juga perlu berani melakukan kajian dan pembangunan produk. Hal ini bertujuan agar produk pengeluaran mereka mampu bersaing di pasaran tempatan dan luar negara. Tidak dinafikan bahawa pelaburan dalam kajian dan pembangunan, produk IKS akan diterima lantaran memiliki ciri-ciri yang diperlukan dalam pasaran. Sebagai contohnya, sebuah syarikat yang mengeluarkan produk makanan sejuk beku telah membuat kajian dan pembangunan produk bagi meningkatkan ketahanan produk mereka apabila dinyahbekukan dan berada dalam suhu bilik mampu bertahan lebih daripada 2 jam. Keupayaan ini akan menjadikan produk sejuk beku tersebut dapat diterima oleh masyarakat. Maka keberanian pengusaha melakukan kajian dan pembangunan produk akan dapat meningkatkan daya saing produk IKS.

Suntikan modal dari kerajaan

Pada masa yang sama, kerajaan hendaklah membantu IKS dari segi suntikan modal dalam bentuk geran atau pinjaman berkala bagi membantu pengusaha IKS menambah peralatan atau mesin pengeluaran produk, pembungkusan, dan pemasaran. Selain suntikan modal, Pengusaha IKS hendaklah mengambil peluang untuk berjumpa dan berbincang dengan agensi yang berkaitan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka. Pendek kata, peranan kerajaan melalui agensi yang berkaitan sesungguhnya dapat meningkatkan kemampuan IKS untuk terus maju di Malaysia.

Masyarakat tempatan memberi sokongan

Dari sudut yang berlainan pula, masyarakat tempatan haruslah memberi sokongan pada produk pengeluaran IKS. Tanpa sokongan masyarakat, produk IKS tidak dapat bergerak jauh dalam pasaran. Rentetan itu, masyarakat hendaklah mengutamakan produk IKS tempatan dengan memberi prioriti keluaran IKS sewaktu berbelanja. Semakin tinggi permintaan semakin cerahlah masa depan IKS untuk menembusi pasaran yang lebih luas sekali gus membawa industri ini untuk bersaing di arena antarabangsa. Keadaan ini menunjukkan kuasa beli tempatan amat penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah industri.

Penutup Karangan Industri Kecil Dan Sederhana

Secara keseluruhannya, Industri Kecil dan Sederhana merupakan nadi ekonomi negara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak khususnya kerajaan dan agensi yang berkaitan agar dapat terus memberi sokongan dan menghulurkan bantuan kepada pengusaha IKS yang masih bertatih dalam industri agar mereka dapat bertahan dalam menghadapi cabaran persaingan tanpa sempadan. Mereka juga perlulah sentiasa bersiap siaga menghadapi perubahan era perniagaan dalam talian yang menjadikan jari sebagai kuasa beli untuk agar pengusaha IKS tidak ketinggalan daripada arus pemodenan dan kemajuan dalam pemasaran perniagaan.


Contoh Karangan: Kepentingan Industri Kecil Dan Sederhana

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *