Skip to content

Karangan SPM: Kepentingan Industri Kecil Dan Sederhana

Karangan Karangan SPM: Kepentingan Industri Kecil Dan Sederhana

Industri Kecil Dan Sederhana memberi manfaat terhadap negara Malaysia. Apakah kepentingan Industri Kecil dan Sederhana ini dalam ekonomi negara kita?

Kepentingan Industri Kecil Dan Sederhana

Dalam era pasca-2020, negara telah mengalami perubahan norma baharu yang bukan hanya dirasai Malaysia malah seluruh dunia turut terkesan dengan pandemik yang berlaku. Lantaran itu, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut menerima tempias daripada keadaan yang ini. Dasar Keusahawanan Negara 2030 yang telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 menjadi wahana bagi meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera dalam IKS. Keadaan ini membuktikan bahawa kewujudan IKS ini sangat penting dalam ekonomi negara. Persoalannya, apakah kepentingan Industri Kecil dan Sederhana ini dalam ekonomi negara?

Meningkatkan ekonomi di luar bandar

IKS ini sangat penting kerana industri ini dapat meningkatkan ekonomi penduduk di luar bandar. Walaupun pelbagai program dan nama diberikan seperti program Satu Kampung Satu Produk, Satu Daerah Satu Industri, Industri Desa dan Industri Hiliran, kesemua nama program ini ialah IKS yang dibangunkan untuk pembangunan ekonomi luar bandar. Tujuan penubuhan industri ini adalah untuk melahirkan usahawan tempatan dan pada masa yang sama industri yang dibangunkan oleh anak tempatan ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung setempat. Sebagai contohnya, kilang membuat keropok, kilang membuat sos cili dan sos tomato. kilang kicap, kilang memproses kopi dan pelbagai lagi kilang yang dibangunkan oleh anak tempatan sememangnya mampu merangsang ekonomi negara.

Membuka peluang pekerjaan dalam kampung

Pada realitinya, IKS telah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung. Penglibatan penduduk kampung yang terdiri daripada tenaga kerja yang berkemahiran rendah digajikan dengan jumlah gaji atau upah harian yang murah. Dengan cara ini, usahawan IKS dapat menjimatkan kos operasi dan pada masa sama menyumbang pendapatan kepada penduduk setempat. Tidak dinafikan bahawa IKS dapat membuka peluang pekerjaan kepada ibu tunggal, suri rumah, dan golongan kelainan upaya untuk bekerja di kilang mereka. Hubungan akrab antara majikan dengan pekerja lantaran berasal dari kampung atau daerah yang sama bakal meningkatkan kepercayaan sesama mereka. Tambahan pula, mereka akan bekerja dengan gigih tanpa mengira masa dan hari malah pekerja tempatan ini akan sanggup mengorbankan masa mereka untuk berkhidmat dengan lebih baik lagi.

Membantu sektor pertanian, penternakan, perikanan

Dari sudut yang berlainan pula, IKS yang dibangunkan di kawasan luar bandar turut membantu sektor pertanian, penternakan, dan perikanan. Lazimnya IKS mendapatkan bahan mentah untuk pengeluaran produk mereka daripada penduduk kampung yang menjalankan sektor pertanian dan penternakan secara kecil-kecilan. Dengan cara ini, usahawan IKS telah membantu peningkatan ekonomi di kawasan tersebut. Sebagai contohnya, pengusaha kerepek pisang akan membeli pisang daripada pekebun-pekebun kecil yang berada di sekitar kilang mereka. Selain kos pengangkutan yang kecil, pengusaha juga memperoleh sumber pengeluaran dengan harga yang murah dan berpatutan tanpa perlu melalui peraih. Secara tidak langsung usahawan IKS dan pekebun-pekebun kecil mendapat manfaat bersama dalam situasi menang- menang.

Menjadi penggalak sektor pelancongan

Di samping itu, IKS juga mampu menjadi penggalak dalam sektor pelancongan. Kewujudan IKS dalam pengeluaran cenderamata yang berupa kraf tangan daripada pelbagai etnik dan kaum di Malaysia telah menggalakkan sektor pelancongan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana cenderamata yang dibawa pulang oleh pelancong telah menggamit mereka untuk datang kembali ke Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir para pelancong yang suka akan kecantikan budaya, keunikan etnik dan kaum serta keindahan pantai yang memukau mata memandang.

Penutup Karangan Kepentingan IKS

Secara keseluruhannya, IKS merupakan nadi ekonomi masyarakat setempat dan juga memberi impak dalam KDNK negara. Oleh itu, kerajaan hendaklah terus memberi bantuan kepada IKS agar mereka dapat meneruskan aktiviti pengeluaran produk tempatan yang sejajar dengan matlamat negara iaitu membeli barangan tempatan.


Contoh Karangan: Cara Memajukan Industri Kecil Dan Sederhana

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *