Skip to content

Karangan SPM: Cara memajukan sektor pertanian

Karangan Cara memajukan sektor pertanian

Sektor pertanian negara Malaysia pernah mencapai kemajuan yang dikagumi oleh masyarakat antarabangsa. Apakah cara yang boleh memajukan sektor pertanian?

Cara untuk memajukan sektor pertanian negara Malaysia


Sektor pertanian merupakan sektor yang penting dan mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk di dunia. Di Malaysia, sektor pertanian telah meyumbang keuntungan kepada pendapatan kasar negara. Sektor pertanian telah memainkan peranan yang besar pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Hal ini telah membantu meningkatkan pendapatan negara dan secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara kita. Sektor pertanian di Malaysia berfungsi sebagai pembekal sumber makanan kepada seluruh penduduk di Malaysia. Namun, pengeluaran hasil pertanian kini semakin merosot di negara kita. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan bagi memajukan sektor pertanian negara

Pengurusan pertanian secara efisyen

Antara cara yang boleh memajukan sektor pertanian ialah pengurusan pertanian secara efisyen. Ini meliputi penggunaan tanah secara intensif melalui pelaksanaan lebih meluas campuran tanaman, mengintegrasi pengeluaran makanan dengan tanaman ladang, menggunakan sumber semulajadi secara mampan dan mesra alam, serta menggalakkan rantaian dengan aktiviti lain seperti industri pembuatan. Sebagai contoh, kita boleh mengorientasikan semula getah sebagai tanaman strategik yang membekalkan balak untuk industri berasaskan kayu serta lateks bagi industri berasaskan getah. Hal ini dapat meningkatkan produktiviti secara maksima dengan kos yang minima.

Mempelbagaikan hasil ekonomi

Para petani juga memikul tanggungjawab untuk mempelbagaikan hasil ekonomi mereka. Tanaman selingan perlu diusahakan untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber utama. Hal ini demikian adalah untuk mengelakkan risiko menanggung kerugian yang besar seperti yang terjadi apabila Amerika Syarikat melancarkan kempen antiminyak kelapa sawit. Sebagai contoh, pihak petani boleh menanam tanaman koko sebagai tanaman selingan di samping tanaman kelapa sawit sebagai tanaman utama. Tindakan ini ibarat peribahasa sambil menyelam minum air. Hal ini disebabkan penanaman koko bukan sahaja menambahkan pendapatan para petani malah membantu mengembalikan garam mineral. Selain itu, walaupun tembakau Malaysia tidak mendapat permintaan luas, para petani hendaklah mengusahakannya sebagai langkah berjaga-jaga. Nyatalah langkah mempelbagaikan tanaman dapat menghasilkan variasi dan dijadikan sebagai persediaan sekiranya harga tanaman utama jatuh merudum, bak kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan.

Teknologi sains dan pertanian

Teknologi moden untuk memajukan sektor pertanian dan menambahkan hasil pengeluaran sesuatu produk harus dilaksanakan dengan menggabungkan teknologi sains dan pertanian. Bioteknologi boleh menghasilkan manfaat ketara seperti pengurangan kos pengeluaran, peningkatan hasil pertanian, pengurangan penggunaan racun perosak dan racun herba. Sebagai contoh, kelapa sawit sepsis Tenera dihasilkan melalui pembiakbakaan dua sepsis kelapa sawit iaitu sepsis dura dan pisifera. Manakala kawalan biologi juga dapat membantu meningkatkan hasil produk. Kaedah ini merupakan kaedah ynag mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar. Dengan itu, penggunaan teknologi moden amat diperlukan dalam dunia yang kian berkembang.

Bantuan kewangan dan perundingan

Usaha lain yang dapat dilakukan ialah bantuan kewangan dan perundingan. Pihak bank pertanian khususnya boleh memberi pinjaman kepada para petani untuk memulakan projek pertanian mereka. Pinjaman yng dibuat dapat membantu membeli jentera bagi menggantikan tenaga manusia dan membeli benih yang lebih  bermutu .skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu  disediakan oleh bank, terutamanya Agrobank untuk pekabun kecil. Sebagai contoh, Agrobank telah menawarkan modal usahawan kepada petani kita untuk mengusahakan industry kecil dan sederhana yang berasaskan pertanian. Bak kata pepatah, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.  Dengan adanya skim mikro, pekebun kecil dapat megusahakan pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik dan berupaya menjalankan iks.oleh itu, pihak bank amat membantu dalam mengubah hidup para petani kita.

Strategi pemasaran hasil pertanian

Selain itu, golongan petani dan kerajaan perlulah menggembleng tenaga untuk merangka strategi pemasaran hasil pertanian yang berkesan. Hal ini disebabkan tiada gunanya kita mendabik dada memiliki hasil tanaman yang banyak sedangkan kita tidak tahu cara memasarkannya. Sebagai contohnya, para petani dapat memperoleh panduan penting daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) tentang teknik pemasaran yang berkesan. Kerajaan dapat menganjurkan pasar tani dengan mengumpulkan para petani dari desa-desa di seluruh negara untuk menjual hasil tanaman di bandar-bandar besar. Selain itu, kerajaan dapat mengeksport hasil tanaman ke negara-negara lain , terutama negara yang ekonominya bukan berasaskan pertanian. Rakyat di negara tersebut pasti sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar. Jelaslah, strategi pemasaran yang baik dan harga hasil tani yang munasabah penting untuk memartabatkan sektor pertanian.

Penutup Karangan sektor pertanian

Kesimpulannya, usaha yang holistik pasti mampu mengangkat sektor pertanian sebagai penyumbang utama pendapatan negara. Kita juga harus mengubah persepsi masyarakat kita bahawa bidang pertanian ini amat menguntungkan dan bukannya memenatkan sahaja. Hasil pengeluaran pertanian perlu mempunyai kecekapan kos dan berkualiti supaya dapat bersaing dengan keluaran daripada negara-negara pengeluar yang lain. Sektor pertanian yang lebih moden, dinamik dan berdayasaing akan menjamin petani, penternak, dan nelayan mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi dan stabil. Justeru, semua pihak yang terlibat perlu menggembleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian ini.


Contoh Karangan: Kepentingan Sektor Pertanian

1 thought on “Karangan SPM: Cara memajukan sektor pertanian”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *