Skip to content

Karangan SPM: Cara untuk mengamalkan Nilai Murni

Cara untuk mengamalkan Nilai Murni

Nilai-nilai murni yang diamalkan pada zaman dahulu semakin terhakis dalam era ini. Huraikan cara yang dapat mengamalkan nilai murni dalam jati diri pelajar sendiri.

Langkah untuk mengamalkan Nilai Murni

Dalam era ‘TikTok, Facebook, Twitter dan Instagram’ nilai hormat dan bersopan santun semakin terhakis. Jika dahulu, kita sering terdengar kenyataan yang menyebut bahawa rakyat Malaysia sebagai rakyat asia yang sangat tinggi nilai hormat dan bersopan santun. Namun, selepas menghadapi pelbagai arus kemajuan dalam media sosial yang semakin pantas, nilai-nilai murni itu semakin pupus dalam budaya dan tradisi masyarakat Malaysia. Oleh itu, sebagai seorang pelajar, saya perlu mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat agar nilai murni dapat dinobatkan semula.

Menjadi pelajar yang proaktif

Langkah pertama yang perlu saya lakukan adalah dengan menjadi pelajar yang proaktif dalam mengamalkan akhlak yang terpuji terutamanya di sekolah ketika bersama dengan rakan dan guru-guru. Sikap dan tingkah laku yang baik saya pamerkan ini akan menjadi cerminan kepada rakan-rakan untuk menjadi contoh dan ikutan kerana berkawan dengan si penjual minyak wangi, pasti akan kita mendapat wangiannya. Secara tidak langsung sikap dan tingkah laku yang dizahirkan ini memberi impak positif dalam aktiviti seharian di sekolah. Tegasnya, menzahirkan akhlak yang terpuji ini pasti akan disenangi oleh rakan dan para guru dan seterusnya memupuk budaya penyayang dalam diri setiap warga sekolah.

Menjadi pelajar yang mudah didekati oleh semua warga sekolah

Langkah bestari yang seterusnya adalah dengan menjadi pelajar yang mudah didekati oleh semua warga sekolah bukan sahaja rakan-rakan seperjuangan, malah para guru dan kakitangan sekolah. Sikap bagai kunyit dengan kapur yang senang berkawan, cepat mesra, peramah dan menghormati rakan menjadi inti pati saya ketika bergaul dengan rakan persekolahan. Pada masa yang sama, saya turut menjadi pelajar yang luhur budi bahasa ketika berbicara dengan guru dan kakitangan sekolah. Dengan cara ini, saya dapat melahirkan rasa kasih dan sayang dalam kalangan warga sekolah. Secara tidak langsung segala perbuatan dan aktiviti negatif oleh warga pelajar dapat terhindar.

Berpegang pada prinsip dan jati diri sendiri

Dalam usaha memupuk budaya penyayang, saya berpegang pada prinsip dan jati diri sendiri. Saya tidak akan mudah terikut-terikut dengan perangai buruk rakan-rakan yang sering mendorong saya untuk melakukan aktiviti tidak sihat. Sebagai remaja alaf dan norma baharu ini, dorongan-dorongan negatif sentiasa memburu saya dan berlegar-legar dalam diri, fikiran dan perasaan seseorang pelajar. Namun, sikap tegas dan berani untuk mengatakan tidak menjadi benteng ampuh menolak segala pengaruh negatif daripada rakan-rakan. Oleh itu, saya perlu menguatkan jati diri dan prinsip agar terus kukuh menjadi benteng pertahanan diri ini daripada segala hasutan yang boleh merosakkan maruah diri.

Belajar secara istiqamah

Selain langkah yang pragmatik tersebut, belajar secara istiqamah iaitu secara tetap dan berterusan turut menjadi wadah dalam langkah memupuk budaya penyayang. Sesungguhnya, pembelajaran secara beristiqamah ini amat memerlukan kerjasama daripada rakan-rakan sekolah dan guru-guru. Tanpa rakan dan guru, pembelajaran kendiri memerlukan semangat juang tinggi jika tidak, pasti kecundang. Oleh itu, sifat kasih sayang antara satu sama lain akan dapat membentuk diri saya menjadi pelajar yang cemerlang. Secara tidak langsung, sikap dan tanggungjawab memupuk budaya penyayang ini akan terhasil. Kesannya, nilai hormat- menghormati antara satu sama lain akan lahir dalam diri pelajar.

Penutup Karangan tentang Nilai Murni

Secara tuntasnya, hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa ialah ungkapan peribahasa yang mendorong seseorang itu agar beriltizam untuk menyumbangkan khidmat dan jasa. Hasil usaha ini akan dapat memupuk budaya penyayang yang mampu memberi natijah kepada masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin. Oleh Hal yang demikian, saya akan bersungguh-sungguh menzahirkan idea-idea yang mampu menjadi titik perubahan masyarakat yang berbudaya, beretika dan penyayang. Sesungguhnya, inilah Malaysia yang menjadi harapan kita menjelang dekad yang akan datang.


Contoh Karangan: Cara untuk Membentuk Akhlak Mulia
Contoh Karangan: Peranan remaja dalam membentuk sahsiah diri

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page