Skip to content

Karangan SPM: Cara Menggalakkan Industri Pelancongan

Cara Menggalakkan Industri Pelancongan

Apakah cara yang boleh menggalakkan Industri Pelancongan negara kita supaya dapat meletakkan nama Malaysia di persada dunia.

Cara untuk Menggalakkan Industri Pelancongan Di Malaysia

Pada tahun 2020 Malaysia, baru sahaja melancarkan Kempan Tahun Melawat Malaysia, namun semua perancangan negara tergendala lantaran wabak COVID-19 yang menyerang negara. Demi memulihkan ekonomi negara, sektor pelancongan merupakan sektor yang perlu diberi tumpuan kerana kemampuannya dalam menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang terkesan oleh pandemik yang berlaku ini. Usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak demi membangunkan semula ekonomi negara dan meletakkan nama Malaysia di persada dunia.

Kerajaan melakukan promosi produk pelancongan

Dalam usaha untuk meletakkan nama Malaysia sebagai pusat pelancongan yang terkenal di dunia, kerajaan hendaklah bertindak agresif dengan melakukan promosi produk pelancongan kepada warga tempatan khususnya dan warga dunia secara amnya. Hal yang demikian bertujuan untuk memperkenalkan nama Malaysia melalui pelbagai aktiviti pelancongan. Melalui Kementerian Pelancongan Malaysia, pelbagai inisiatif telah diberikan oleh kerajaan kepada pengusaha-pengusaha inap desa, hotel, dan rumah tumpangan bagi membantu mereka menghadapi masalah COVID-19. Usaha berterusan ini akan dapat membantu industri pelancongan kembali berada atas landasannya seperti sebelum ini bakal memacu ekonomi negara pada tahun-tahun akan datang.

Rakyat Malaysia melancong di dalam negara

Selain kerajaan, rakyat Malaysia perlu bersama untuk menjayakan semula industri ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kunjungan rakyat Malaysia yang melancong di dalam negara dapat membantu perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang turut sama bergantung harapan pada industri pelancongan. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia dapat mengambil peluang untuk membawa keluarga melancong ke destinasi pelancongan tempatan bagi menghilangkan tekanan. Dengan cara ini, banyak industri dapat dihidupkan semula oleh penduduk kampung yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan mereka dapat menarik nafas lega apabila melihat kehadiran pelancong ke kampung mereka yang menjadi pusat pelancongan.

Tawaran harga dan perkhidmatan terbaik

Dari sudut yang berbeza pula, pihak swasta yang menjalankan operasi pelancongan juga perlu memainkan peranan untuk menarik minat pelancong datang ke destinasi pelancongan mereka. Pihak hotel, inap desa, dan rumah tumpangan hendaklah memberi tawaran harga yang berpatutan kepada pelancong. Mereka mestilah menyediakan perkhidmatan terbaik dengan kemudahan yang memenuhi piawaian sebagai sebuah pusat penginapan di pusat pelancongan. Pada masa sama, mereka hendaklah menjalankan operasi dengan mematuhi prosedur serta garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Secara tidak langsung, pematuhan prosedur garis panduan dan penjagaan kebersihan akan memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negara.

Pihak media mengambil inisiatif untuk membantu

Manakala daripada lensa media pula, pihak media hendaklah mengambil inisiatif membantu kerajaan dan pihak swasta yang terlibat dalam industri pelancongan dengan membuat promosi dalam media cetak dan media elektronik. Mereka hendaklah mengenakan bayaran iklan yang berpatutan dan membuka peluang kepada pengusaha IKS produk pelancongan mengiklankan produk mereka dengan tawaran percuma. Usaha murni pihak media ini akan menggalakkan industri pelancongan negara terutamanya pelancongan tempatan di Malaysia.

Penutup Karangan Cara Menggalakkan Industri Pelancongan

Secara keseluruhannya, industri pelancongan merupakan industri yang begitu dekat di hati masyarakat Malaysia lantaran kebanyakan kawasan Malaysia ini dikelilingi pesisiran pantai yang menjadi destinasi pelancongan. Oleh itu, usaha semua pihak untuk membangunkan semula industri pelancongan negara haruslah dipuji kerana usaha ini akan dapat membantu ekonomi tempatan agar dapat bergerak semula dalam skala yang sederhana.


Contoh Karangan: Faedah Melancong Dalam Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page