Skip to content

Contoh Karangan: Cara Menghargai Warga Emas

Contoh Karangan Cara Menghargai Warga Emas

Populasi warga emas semakin hari semakin bertambah di negara ini terutama di kawasan bandar. Apakah cara yang dapatmendidik generasi muda supaya mereka menghargai warga emas?

Cara Menghargai Warga Emas

Saban tahun pada 6 Oktober, kita meraikan sambutan Hari Warga Emas. Secara umumnya, warga emas ini ditakrifkan sebagai golongan yang telah mencapai usia 60 tahun. Kebanyakan daripada mereka masih sihat dan bertenaga walaupun ada sesetengahnya mempunyai penyakit kronik dan memerlukan bantuan daripada anak-anak atau cucu untuk menguruskan kehidupan. Malangnya, kebanyakan daripada warga emas seperti rumput di tepi jalan, mereka tidak dihargai oleh anak dan cucu atas pengorbanan selama ini. Oleh itu kita harus mendidik generasi muda cara menghargai warga emas.

Memikul tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa

Kelazimannya, anak-anak mestilah memikul tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa. Malangnya, ada anak-anak yang masih menyimpan dendam kesumat dalam hati mereka dengan ibu bapa dan adik-beradik sehingga tidak mahu menjaga ibu bapa yang sudah tua. Sebab itulah orang dahulu pernah berkata ibu seorang dapat menjaga sepuluh anak, anak yang sepuluh belum tentu dapat menjaga ibu seorang. Hal ini menyebabkan ibu bapa tidak betah duduk di rumah anak malah lebih suka duduk berdua atau sendirian di rumah mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah bijak mengambil hati ibu bapa ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Menerapkan nilaihargai warga emas di sekolah

Selain peranan anak-anak, sekolah juga berperanan mendidik pelajar dengan menerapkan nilai menghargai warga emas atau orang tua melalui subjek-subjek tertentu seperti subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Agama. Hal ini akan menyebabkan pelajar dapat mempelajari cara menghormati dan menghargai warga emas. Malah guru-guru boleh mengaturkan lawatan ke Rumah Orang Tua melalui aktiviti kokurikulum dengan mengadakan aktiviti pembersihan kawasan rumah orang-orang tua, dan aktiviti menyantuni warga emas. Dengan cara ini, pelajar akan menghargai warga emas. Secara tidak langsung, warga emas berpeluang melepaskan rindu kepada anak dan cucu apabila pelajar menyantuni mereka. Maka jelaslah bahawa guru memainkan peranan yang penting agar yang muda disayangi, yang tua dihormati.

Kerajaan menyediakan rumah orang tua

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah berat tanggungjawab seorang anak menjaga ibu bapa. Walau bagaimanapun, sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab hendaklah menyediakan rumah orang tua bagi menempatkan golongan tua yang merempat di kaki lima atau menjadi gelandangan. Malah ada juga anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka disebabkan masalah kesihatan yang tidak mampu diuruskan oleh anak-anak. Dengan cara ini ibu bapa yang berusia akan dapat bergaul dengan rakan-rakan sebaya dan seusia dengan mereka. Tegasnya, penyediaan rumah penyayang haruslah menjadi agenda kerajaan dalam belanjawan akan datang agar dapat membela nasib mereka.

Menghargai hari istimewa ibu bapa

Malah, cara terakhir yang difikirkan wajar adalah dengan menghargai hari istimewa mereka. Sebagai satu contoh, anak-anak boleh mengadakan sambutan hari ulang tahun kelahiran ibu bapa dan sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa yang sudah uzur akan lupa hari-hari tersebut disebabkan faktor usia, akan berasa bahawa diri mereka masih dihargai oleh anak dan cucu mereka. Apatah lagi sambutan hari istimewa ini akan menyebabkan ibu bapa terkenang akan kisah silam mereka. Secara tidak langsung dapat memberi kekuatan dalaman dan semangat untuk hidup demi orang tersayang.

Penutup Karangan Menghargai Warga Emas

Secara keseluruhannya, peribahasa Cina ada menyebut melupakan nenek moyang seperti sungai tanpa sumber, pokok tanpa akar. Maka kita haruslah menghargai orang tua kerana usia emas yang dicapai oleh mereka merupakan penanda aras kepada kita sama ada kita mampu capai usia tersebut atau tidak. Oleh itu, remaja di Malaysia haruslah dididik agar menghargai warga emas, jika tidak kita pula yang akan menghadapinya nanti ibarat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Justeru sebelum nasi menjadi bubur, maka kita hendaklah bersiap sedia dari segi agama, kewangan dan kebajikan demi masa depan sama ada di dunia atau di akhirat.


Contoh Karangan: Cara menceriakan warga emas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *