Skip to content

Contoh Karangan: Cara menceriakan warga emas

rangka karangan

Warga tua sering dikaitkan dengan mereka yang berumur lebih daripada 55 tahun yang juga dikenali sebagai warga emas. Populasi warga ini semakin hari semakin bertambah di negara ini terutama di kawasan bandar. Pertambahan jumlah penduduk warga tua ini menyebabkan negara memerlukan satu perancangan baru untuk menjadikan kehidupan warga ini lebih baik dan ceria setelah penat bekerja memajukan negara. Maka, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan, swasta dan masyarakat untuk menceriakan warga emas.

Cara menceriakan kehidupan warga emas

Kerajaan boleh mengumumkan bahawa semua warga tua boleh menikmati pelbagai kelebihan yang boleh meringankan beban kewangan seperti pucuk diminta ulam dicinta. Antaranya, pemberian diskaun tambang pengangkutan awam, kos hospital dan juga pembelian barangan yang sering diperlukan oleh mereka. Langkah kerajaan ini sudah pasti akan meringankan beban kewangan mereka terutama kos rawatan yang begitu mahal. Pengumuman dasar ini sudah pasti akan menjadikan warga tua lebih ceria kerana sedar bahawa negara terus menghargai mereka walaupun mereka sudah tidak lagi bekerja. Jelaslah, kerajaan harus mengumumkan satu dasar yang boleh menceriakan lagi kehidupan warga emas ini.

Aktivitimelibatkanwarga emas

Selain itu, kerajaan juga boleh menganjurkan pelbagai aktiviti yang melibatkan mereka. Penganjuran lawatan ke tempat-tempat menarik khas untuk warga tua harus dilakukan dengan kerap seperti setiap hujung minggu dan sebagainya. Aktiviti seperti ini mampu menjadikan kehidupan warga tua lebih menarik dan tidak menjemukan mereka serta dalam masa yang sama mampu untuk meningkatkan semangat mereka untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan kerana mereka bergaul dengan rakan-rakan seusia. Sebenarnya, usaha melakukan lawatan ini menjadikan kehidupan mereka lebih berharga dan mampu memberikan satu matlamat untuk mereka meneruskan kehidupan kerana yang tua sentiasa didahulukan.

Pembinaan rumah warga tua

Pembinaan rumah warga tua harus diperbanyakkan terutama di kawasan bandar kerana sudah ada peningkatan permintaan terhadap ruang buat warga emas ini. Keadaan kehidupan bandar yang penuh cabaran dan tekanan hidup yang tinggi menjadikan warga emas sasaran mudah tersisih. Kesannya, segelintir anak menggunakan alasan terlalu sibuk lalu menghantar orang tua mereka ke rumah bantuan kerajaan ini bagai kacang lupakan kulit.

Kemudahan yang disediakan di rumah orang tua ini juga perlulah lengkap dan bersesuaian dengan keadaan fizikal dan kemampuan kewangan warga tua supaya kehidupan mereka lebih ceria. Sesungguhnya, semakin banyak rumah orang tua didirikan semakin bermaknalah kehidupan warga tua kerana mereka mempunyai tempat untuk berlindung pada masa akan datang.

Sikap masyarakat yang positif

Sesungguhnya, langkah yang paling efektif untuk menjadikan kehidupan golongan ini bermakna ialah sikap masyarakat terhadap kumpulan umur ini harus berubah menjadi lebih positif dan murah hati. Kita sering menyaksikan banyak pihak terutama golongan muda yang menganggap orang tua sebagai penyibuk, tidak memahami perasaan orang muda, lambat bergerak dan sebagainya. Pandangan yang sebegini menyebabkan sering berlaku perbezaan pendapat antara golongan muda dengan tua yang membawa renggangnya hubungan antara mereka. Jelaslah, masyarakat terutama warga belia harus menerima hakikat bahawa lumrah hidup akan menyaksikan yang tua menjadi muda lalu belajar memahami golongan tua ini.

Penutup Karangan Warga Tua

Kesimpulannya, warga tua bukanlah seperti surat khabar lama yang harus dibuang setelah penat menabur budi selama ini kepada negara dan golongan muda. Kumpulan masyarakat ini berhak menerima layanan yang terbaik mungkin daripada negara dan masyarakat tanpa sebarang alasan. Semua pihak harus sedar dan menerima kenyataan bahawa tanpa warga tua tiadalah warga muda. Bayangkan jika anda sudah tua dan anda pula yang disisihkan.


Contoh Karangan: Langkah mengatasi warga tua yang terbiar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *