Skip to content

Karangan Langkah mengatasi warga tua yang terbiar

Langkah mengatasi warga tua yang terbiar

Jasa dan sumbangan warga tua perlu dihargai oleh semua pihak terutamanya masyarakat remaja. Bagaimana kita boleh mengatasi masalah warga tua yang terbiar?

Langkah-langkah untuk mengatasi masalah warga tua yang terbiar

Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat. Warga tua merujuk kepada mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Peringkat umur tua merupakan peringkat akhir dalam perkembangan biologi manusia. Keadaan ini menyebabkan ketika inilah pelbagai masalah boleh berlaku terutama yang menyentuh aspek emosi dan kesihatan seseorang itu. Oleh itu, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil untuk menanganimasalah warga tua yang terbiar.

Peranan Ibu Bapa

Ibu Bapa memainkan peranan yang penting untukmengatasi masalah warga tua yang terbiar. Ibu bapa harus memberi panduan yang benar kepada remaja. Ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak akan pentingnya menghormati warga tua kerana setiap manusia akan menempuh alam tua mereka yang tersendiri. Kejayaan ibu bapa mendidik anak dengan baik memastikan satu golongan remaja yang melihat warga tua bukan sebagai satu masalah sebaliknya satu amanah yang harus dilaksanakan tanpa banyak soal. Sebagai anak, kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua serta uzur. Anak­-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua­tua. Jika mereka berbuat demikian, mereka boleh dianggap sebagai kacang lupakan kulit.

Didikan agama

Sudah pasti pemupukan pendidikan asas terutama didikan agama mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah warga ini. Remaja yang menerima pendidikan asas agama yang kukuh sudah pasti akan lebih menghormati golongan tua ini lalu memberikan perhatian akan kehidupan mereka. Hubungan antara ahli keluarga juga akan menjadi lebih erat dan mesra. Jadi, remaja harus memiliki didikan yang sempurna.

Sistem pendidikan yang lebih holistik

Di samping itu, guru menjadi suri teladan menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua. Sistem pendidikan yang lebih holistik harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti mengadakan lawatan sambil belajar ke rumah orang tua. Biasanya pelajar di sekolah hanya mendengar sahaja nasihat guru tentang peranan mereka membantu warga tua tanpa melihat contoh yang sebenarnya. Maka, lawatan ke rumah jagaan orang tua sudah pasti memberikan pengalaman sebenar kepada remaja akan kehidupan warga ini lalu timbullah keinsafan dalam diri remaja itu sendiri.

Peranan Media Massa

Selain itu, media massa juga mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyelesaikan masalah yang semakin kritikal ini. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta Internet boleh menyiarkan cerita­-cerita yang berkaitan dengan pengorbanan dan penderitaan hidup warga tua. Penyiaran lebih banyak program dan siaran yang berunsur positif akan warga tua mampu merapatkan jurang antara remaja dan warga emas ini. Keadaan ini mampu menimbulkan satu kesedaran yang mendalam dalam diri remaja untuk membantu warga tua tanpa sebarang alasan. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua.

Menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua

Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta turut berperanan menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta hendaklah berganding bahu seperti aur dengan tebing. Kedua-­dua pihak tersebut hendaklah menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan hendaklah disediakan untuk mereka. Di samping itu, warga tua juga hendaklah diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan. Sekiranya memerlukan bayaran, mereka hendaklah dikenakan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau klinik swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira pangkat, demi keselesaan warga tua.

Penutup Karangan warga tua yang terbiar

Kesimpulannya, jurang pemisah antara generasi muda dan tua semakin ketara terutama dalam era moden ini. Pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Semua pihak sama ada masyarakat dan kerajaan harus mengenal pasti langkah-langkah yang lebih praktikal untuk menangani kemelut warga tua ini. Kita harus sedar warga tualah yang telah membangunkan negara ini lalu menjadikan kehidupan generasi muda selepas mereka lebih mudah dan selesa. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang telah berkorban melahirkan, membesarkan, dan mendidik anak­anak hingga berjaya dalam hidup.


Contoh Karangan: Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, factor dan usaha)
Contoh Karangan: Faktor Pengabaian Warga Emas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *