Skip to content

Contoh Karangan Faktor Pengabaian Warga Emas

Pengabaian Warga Emas Contoh Karangan Faktor Pengabaian Warga Emas

Golongan warga emas merupakan sebahagian daripada ahli masyarakat yang perlu diberikan layanan yang baik supaya mereka dapat hidup dengan bahagia. Apakah faktor utama masalah pengabaian warga emas?

Punca Utama Masalah Pengabaian Warga Emas

Melupakan nenek moyang seperti sungai tiada sumber, pokok tiada akar merupakan sebahagian peribahasa Cina yang menggambarkan seseorang yang melupakan orang terdahulu seperti nenek moyang dan ibu bapa. Dalam konteks warga emas, mereka merupakan individu yang mencapai usia 60 tahun. Malangnya, kebanyakan daripada warga emas seperti rumput di tepi jalan, mereka seolah-olah tidak dihargai oleh anak dan cucu atas pengorbanan selama ini. Oleh itu, kita harus mendidik generasi muda cara menghargai warga emas. Persoalan yang berlegar-legar dalam horizon pemikiran kita ialah, apakah faktor yang menjadi punca utama masalah pengabaian warga emas?

Remaja berhijrah ke bandar untuk bekerja

Sebagai sebuah negara yang memertabatkan budaya ketimuran, masalah pengabaian warga emas tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia mengamalkan budaya sopan santun, hormat-menghormati dan berkasih sayang antara muda dengan tua bak kata yang muda disayangi yang tua dihormati. Sebagai contoh, anak-anak berhijrah ke bandar untuk bekerja lalu meninggalkan ibu bapa atau nenek moyang di kampung tanpa sebarang berita tentang mereka di bandar. Keadaan ini disebabkan golongan muda terlalu sibuk mencari rezeki sehingga mereka lupa akan ibu bapa di kampung. Akibatnya, warga emas diabaikan oleh anak- anak sehingga mereka berasa kecewa bagai kaca jatuh ke batu kerana anak-anak telah mengores hati dan perasaan mereka.

Sikap ibu bapa menjadi ikutan anak

Selain sikap anak muda yang mengabaikan warga emas, sikap ibu bapa yang mengabaikan ibu bapa mereka menjadi ikutan anak-anak ibarat bapa borek anak rintik. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila ibu bapa jarang membawa anak-anak pulang menziarahi datuk nenek di kampung menyebabkan anak-anak tidak berasa selesa patah lagi keadaan kampung yang serba kekurangan dan kepanasan menyebabkan mereka tidak mahu tinggal lama di sana. Keadaan ini menjadi faktor pengabaian warga emas sehingga tiada anak -anak yang menziarahi mereka lalu mereka tinggal atas belas ihsan jiran-jiran dan penduduk kampung yang prihatin terhadap nasib mereka. Jelas di sini ibu bapa seharusnya menjadi uswah hasanah kepada anak-anak mereka.

Sikap masyarakat

Sikap masyarakat yang mengabaikan warga emas juga menjadi faktor pengabaian mereka. Lazimnya, dalam sesebuah kampung atau taman perumahan, banyak didiami oleh warga emas. Mereka kebanyakannya tinggal bersendirian bersama pasangan atau anak-anak. Malangnya, masyarakat sekitar tidak mengambil berat tentang warga emas sehingga mereka terabai dari segi kebajikan. Akibatnya, mereka tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup, bantuan Skim Mesra Usia Emas dan bantuan daripada pihak Zakat. Keadaan ini menyebabkan mereka berasa kecewa kerana disisihkan oleh masyarakat sehingga mereka ini ibarat melukut ditepi gantang, masuk tak lebih keluar tak kurang. Jelaslah bahawa sikap masyarakat turut menjadi punca warga emas terabai.

Sikap warga emas yang tidak berpuas hati

Faktor terakhir yang menjadi punca pengabaian warga emas ialah sikap warga emas itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana warga emas dibenci oleh anak dan cucu mereka. Malah tidak kurang juga masyarakat turut membenci warga emas akibat sikap mereka. Sebagai contoh, warga emas selalu tidak berpuas hati dengan layanan daripada anak dan cucu. Akibatnya, mereka diabaikan oleh anak-anak lantaran daripada sikap mereka itu. Oleh itu, anak-anak haruslah bijak menyelesaikan masalah seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Penutup Karangan Pengabaian Warga Emas

Secara keseluruhannya, lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang begitulah nasib yang dialami oleh warga emas yang semakin hari semakin diabaikan oleh semua lapisan masyarakat. Oleh itu, kerajaan hendaklah membantu warga emas dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka agar mereka terus dapat menikmati kemakmuran negara bersama dengan masyarakat kerana sesungguhnya tiada yang tua tiada yang muda. Maka hormatilah warga emas kerana mereka merupakan sebahagian daripada sejarah hidup kita.


Contoh Karangan: Cara menceriakan warga emas
Contoh Karangan: Peranan Warga Emas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *