Skip to content

Contoh Karangan Peranan Warga Emas

Contoh Karangan Peranan Warga Emas

Warga emas berperanan dalam pembangunan negara kerana mereka lebih berpengetahuan. Apakah peranan warga emas dalam pembangunan negara kita?

Peranan Warga Emas Dalam Pembangunan Negara

“Tua-tua kelapa, makin tua makin berminyak”, peribahasa ini menggambarkan golongan tua atau dikenali sebagai warga emas lebih banyak pengetahuan. Malangnya, apabila usia mencecah enam puluh tahun, anak-anak akan menyuruh ibu bapa mereka berehat dan berhenti melakukan sebarang aktiviti yang menjadi rutin kehidupan mereka. Keadaan ini menyebabkan warga emas berasa tidak selesa apabila tidak melakukan sebarang pekerjaan sedangkan mereka telah menghabiskan separuh daripada kehidupan dengan bekerja. Oleh itu warga emas masih berperanan dalam pembangunan negara kerana tiada yang tua tiada yang muda. Persoalan yang menjadi topik perbincangan hangat ialah, apakah peranan warga emas dalam pembangunan negara?

Warga emas memiliki pengalaman yang luas

Dari perspektif pertama, warga emas lebih awal makan garam dulu daripada orang muda yang hanya diibarat umur setahun jagung darah setampuk pinang. Warga emas memiliki pengalaman luas dalam pelbagai aspek sama ada dari segi hubungan sosial, ekonomi, politik, dan pengurusan kerja serta alam rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan golongan muda akan menjadikan warga emas sebagai rujukan mereka dalam pelbagai urusan. Misalannya, apabila anak-anak ingin memohon belajar di universiti, mereka akan bertanya kepada ibu bapa yang pernah belajar di unviersiti. Secara tidak langsung, anak-anak lebih menghargai perkongsian ilmu, nasihat dan pengalaman ibu bapa mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Kepakaran warga emasdalam menguruskan organisasi

Dari sudut yang lain pula, kepakaran warga emas amat ditagih dalam menguruskan sesebuah organisasi atau pentadbiran. Sebagai contoh yang jelas lagi nyata ialah mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang telah mencapai usia 95 tahun namun masih memimpin tampuk pemerintahan negara. Malah beliau disegani oleh pemimpin di seluruh dunia kerana pendirian beliau yang tegas dalam membuat keputusan. Hal ini menyebabkan anak muda hari ini mengagumi dan menghormati tokoh pemimpin negara yang masih mampu menyumbang bakti kepada negara kerana belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tua. Jelaslah bahawa warga emas masih lagi relevan dalam pembangunan negara.

Berperanan dalam pembangunan negara

Di samping kepakaran warga emas dalam kepimpinan, warga emas juga berperanan dalam pembangunan negara melalui sumbangan tenaga mengikut kepakaran dan kemahiran mereka. Sebagai contoh, seorang guru yang sudah bersara boleh mengajar kelas tambahan atau tuisyen kepada pelajar di kawasan kejiranan. Malah bekas guru agama turut boleh mengajar bacaan al-Quran kepada semua jiran tetangga. Keadaan ini menunjukkan bahawa makin tua kelapa makin berminyak yang membawa maksud orang yang semakin tua semakin luas pengetahuannya. Secara tidak langsung warga emas akan sentiasa rasa dihargai dan diperlukan oleh masyarakat. Jelaslah bahawa warga emas mampu menyumbang pembangunan insan dan fizikal.

Sumbangan atas faktor cinta akan tanah air

Dalam isu yang lain pula warga emas memberi sumbangan dalam pembangunan negara tanpa ada sebarang kepentingan peribadi. Mereka memberi sumbangan atas faktor cinta akan tanah air dan cinta akan kerjaya yang pernah dilakukan oleh mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka berpendapat sumbangan bakti ini memberi kepuasan kepada mereka tanpa memikirkan wang atau pendapatan yang diperoleh. Secara tuntasnya, sikap warga emas ini harus diikuti oleh orang muda agar mereka bekerja demi mencapai kejayaan diri bukan semata-mata wang dan kemewahan. Sesungguhnya lain padang lain belalang lain orang lain ragamnya.

Penutup Karangan Peranan Warga Emas

Secara keseluruhannya, menjadi warga emas merupakan satu perjalanan yang pasti akan sampai ke destinasinya. Namun, kita harus bersiap sedia memilih sama ada untuk menjadi warga emas yang bahagia pada hujung hayat atau sebaliknya. Jika usaha ini tidak mendapat perhatian daripada daripada seluruh rakyat Malaysia, maka semua pihak mestilah bekerjasama dengan kerajaan agar dapat merealisasikan hasrat setiap warga emas yang mampu membangunkan negara.


Contoh Karangan: Faktor Pengabaian Warga Emas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *