Skip to content

Nota Komsas Cerpen Banjir di Mata Emak

Komsas Cerpen Banjir di Mata Emak

Cerpen Banjir di Mata Emak karya Che Soo Ismail merupakan komsas tingkatan 2. Berikutnya sinopsis, tema, persoalan, plot, watak perwatakan, latar, gaya bahasa, nilai, pengajaran dan contoh soalan cerpen.

Sinopsis Cerpen Banjir di Mata Emak

Cerita berkisar pada watak “saya” yang hendak menelefon temannya tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah menyangka orang yang membuat panggilan telefon itu ialah anaknya, Nana. Mak Piah memberitahu “Nana” (saya) bahawa dia tidak ada bekalan makanan disebabkan banjir yang melanda kampungnya sudah sampai ke paras dada. Mak Piah berterima kasih kepada “Nana” (saya) kerana menelefon untuk bertanya khabar tentang dirinya. Malangnya, abang Nana yang duduk dekat tidak menjenguk Mak Piah langsung walaupun banjir sedang melanda kampung emaknya itu.

Belum sempat “saya” hendak memberitahu Mak Piah tentang dirinya yang sebenar, talian telefon sudah terputus. Hujan sudah turun empat hari empat malam tanpa henti. “Saya” cuba menelefon Mak Piah sekali lagi tetapi panggilannya tidak dijawab. “Saya” bimbang akan keadaan Mak Piah. Banjir pada kali ini telah meragut dua nyawa. Mengikut cerita Mak Piah tadi, bekalan makanannya sudah habis. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan banjir. Mak Piah tidak mahu pergi ke pusat pemindahan. “Saya” tertanya-tanya sebab Mak Piah tidak mahu berpindah. Anak lelakinya sudah tiga bulan tidak menelefon untuk bertanya khabar, apatah pulang untuk menjenguknya. “Saya” berasa sangat cemas apabila memikirkan perkara yang mungkin berlaku kepada Mak Piah.

“Saya”mendail nombor telefon Mak Piah sekali lagi. Mak Piah menjawab pangilan “saya”. Mak Piah meminta “saya” yang disangkakannya Nana agar tidak bimbang tentangnya. Mak Piah sempat berpesan kepada “saya”agar menjaga anak dan suaminya baik-baik.

“Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadapnya yang telah kembali kepada Yang Maha Pencipta. Mak Piah merindui anak-anaknya. “Saya” merindui emaknya. “Saya” menemukan alamat Mak Piah di dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan ceria.

Kerja “saya” menjadi senang kerana Mak Piah sangat peramah. Mak Piah memberitahu “saya” bahawa Nubhan, abang Nana takut akan isterinya, manakala Nana pulak takut akan suaminya. “Saya” bertanya kepada Mak Piah tentang sebab dia tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan. Mak Piah menyatakan bahawa dia tidak mahu mengganggu mereka di tempat pemindahan itu kerana keadaannya yang kerap membuang air kecil sehinggakan kadang-kadang tidak sempat ke bilik air. “Saya” berjanji akan menemani Mak Piah selagi banjir tidak surut. Mak Piah memeluk “saya” selepas mendengar kata-kata “saya” itu.

“Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang masak dan menyuruh “saya” menghantar makanan itu. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong dan menanggung dosa hanya kerana hendak melihat Mak Piah berasa bahagia. Selepas makan “saya” menolong Mak Piah mencuci dan menyimpan barang-barang makanan yang “saya bawa ke dalam peti sejuk. “Saya” memohon izin untuk pulang dan berjanji untuk mengunjungi Mak Piah lagi. Mak Piah meminta “saya” menyampaikan salam kepada anaknya, Nana.

Sekembalinya ke rumah, “saya” diserang demam selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. Apabila “saya” sampai di pekarangan rumah Mak Piah, orang ramai sedang berkumpul. Mak Piah telah meninggal dunia kerana tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Nana dan Nubhan berasa kesal. Kata Nana, dua hari sebelumnya, Mak Piah bercerita kepada jiran-jiran bahawa Nana telah mengirimkan makanan kepadanya semasa banjir. Mak Piah berasa sangat gembira. Nana menyatakan bahawa dia bukan sahaja tidak pernah mengirimkan apaapa kepada emaknya malahan dia tidak pernah menelefon emaknya kerana emaknya mengalami masalah pendengaran. Nana mengakui betapa mulia hati emaknya kerana sanggup berbohong kepada masyarakat untuk menjaga maruah dan namanya. Nana berasa sangat menyesal atas perbuatannya terhadap emaknya selama ini.


Tema Cerpen Banjir di Mata Emak

Tema cerpenBanjir di Mata Emak ialah kehilangan sesuatu yang bermakna telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan seseorang.

Perkara tersebut mengundang rindu yang berpanjangan. Mak Piah sangat merindui anak-anaknya yang telah beberapa bulan tidak menghubunginya apatah lagi untuk pulang menjenguknya. Keengganan anak-anaknya pulang menjenguknya merupakan suatu kehilangan bagi dirinya yang mendambakan kasih sayang dan perhatian. “Saya” pula mendambakan kasih sayang daripada seorang emak. Emak “saya” telah kembali kepada Yang Maha Pencipta. “Saya” amat rindu akan emaknya. Pertemuan “saya” dengan Mak Piah menambah kerinduan terhadap emaknya. Nasib yang menimpa Mak Piah meraih simpati “saya” untuk mendekati Mak Piah. Kehadiran Mak Piah membuka peluang untuk “saya” melepaskan rindu terhadap emaknya.


Persoalan Cerpen Banjir di Mata Emak

Nasib ibu tua yang tidak mendapat perhatian daripada anak-anak
Peristiwa: Mak Piah terpaksa hidup keseorangan kerana anak-anak jarang-jarang menjenguknya.

Kehilangan kasih sayang akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa seseorang
Peristiwa: “Saya” dilamun rindu yang sangat hebat kerana telah kehilangan ibu untuk selama-lamanya.

Kasih ibu tidak berbelah bagi
Peristiwa: Walaupun Nana sudah lama tidak menjenguk emaknya, Mak Piah tetap memuji Nana di hadapan jiran-jirannya.

Menyesal kemudian tiada gunanya
Peristiwa: Penyesalan Nana dan abangnya, Nubhan sudah terlambat. Emak mereka telah pergi meninggalkan mereka untuk selamalamanya.

Anak-anak yang tidak bertanggungjawab
Peristiwa: Nana dan Nubhan ialah anak-anak yang tidak bertanggungjawab. Mereka membiarkan pasangan masing-masing mempengaruhi mereka untuk tidak mengambil berat terhadap ibu mereka. Mereka lebih mementingkan keluarga mereka dan mengabaikan ibu mereka sendiri.

Perasaan simpati yang wujud dalam diri seseorang.
Peristiwa: “Saya” sangat simpati terhadap keadaan Mak Piah lalu bersungguh-sungguh mencari rumah Mak Piah dan berjanji untuk menemani Mak Piah sehingga banjir surut.

Sikap prihatin terhadap orang lain
Peristiwa: ‘Saya’ menghukurkan bantuan makanan kepada Mak Piah yg terkepung oleh banjir.

Isu anak yang bersikap kacang lupakan kulit
Peristiwa: Hana telah melupakan ibunya di kampung yg sedang terkepung dengan banjir.


Binaan Plot Cerpen Banjir di Mata Emak

Cerpen Banjir di Mata Emak mengisahkan “Saya” yang hendak menelefon temannya, tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah mengadu kepada “saya” yang disangkakan anak perempuannya, Nana, bahawa orang menjual ikan dan mamak menjual roti sudah tidak masuk ke kampung. Hal ini berlaku demikian kerana air banjir sudah naik ke paras dada. Malangnya, abang Nana yang duduk dekat tidak menjenguk Mak Piah langsung walaupun banjir sedang melanda kampung emaknya itu. Mak Piah berterima kasih kepada “Nana” (saya) kerana menelefon untuk bertanya khabar tentang dirinya. Tanpa sempat “saya” memberikan penjelasan tentang dirinya yang sebenar, Mak Piah sudah memutuskan talian telefon.

“Saya” mendail nombor telefon Makkepada Piah tetapi tidak berjawab. “Saya” bimbang akan keselamatan Mak Piah. Hal ini berlaku demikian kerana Mak Piah tinggal seorang diri dalam keadaan banjir. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Akhirnya, Mak Piah menjawab panggilan telefon “saya”, tetapi hanya sekejap.

“Saya” tidak sempat hendak berbicara lebih panjang. Hati “saya” mula resah apabila memikirkan Mak Piah. “Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya. Manakala hal ini telah menambahkan rasa rindu kepada ibunya yang sudah meninggal dunia. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira. “Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong di hadapan Mak Piah bahawa makanan yang dibawanya itu merupakan kiriman daripada anak perempuannya, Nana.

“Saya”diserang demam panas selama lima hari. Setelah sihat,“Saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Belum pun sempat “saya” melangkah masuk ke rumah Mak Piah, usungan jenazah dibawa keluar. Saya mengiringi jenazah Mak Piah hingga ke tanah perkuburan.

Anak-anak Mak Piah, Nana dan Nubhan berasa sangat sedih atas kematian Mak Piah. Mereka menyesal kerana tidak pulang menjenguk emak mereka semasa banjir. Emak mereka tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Setelah tubuh Mak Piah kaku, barulah jenazahnya ditemui jirannya.


Teknik Plot Cerpen Banjir di Mata Emak

Dialog
Contoh: “Orang jual ikan dah tiga hari tak datang. Mamak jual roti pun tak boleh masuk kampung. Mak tak ada makanan. Banjir dah sampaii ke paras dada …”

Pemerian
Contoh: Suara tua yang tadinya berbicara tanpa memberi saya walau sedikit kesempatan untuk menerangkan bahawa saya bukanlah Nana, kembali menujah-nujah telinga. Saya capai telefon, mencari di menu panggilan keluar. Saya tekan butang panggilan ke nombor itu sekali lagi.

Saspens
Pada permulaan cerita, pembaca tertanya-tanya pemilik suara tua yang sedang bercakap dengan watak “saya” melalui telefon.
Contoh: Dia memanggil saya dengan nama yang tidak tercatat pada kad pengenalan, tidak juga nama timangan sejak dilahirkan. Siapakah empunya suara tua yang rusuh di hujung talian sana? Seperti saya yang terburu-buru mendail nombor rumah teman yang baru diberikan pagi tadi, suara tua itu juga pantas mengatur kata, selaju jejari saya salah menekan nombor rumahnya. Selepas menyampaikan kisah yang sesetengahnya tidak saya fahami, suara tua itu menamatkan pengisahan dengan penghargaan dan pesanan.


Watak Perwatakan Cerpen Banjir di Mata Emak

  • Anak yatim piatu
  • Seorang yang sanggup berbohong semata-mata untuk melihat kebahagiaan Mak Piah.
  • Seorang yang sensitif.
  • Seorang yang mudah bersimpati.
  • Seorang yang merindui ibunya.
  • Seorang mengambil berat terhadap kehidupan Mak Piah.

Seorang yang penyayang
‘Saya’ melayan Mak Piah yang baru dikenalinya dengan penuh kasih sayang.

Seorang yang Prihatin dan Peka
‘Saya’ mengambil berat terhadap masalah kekurangan bahan makanan di rumah Mak Piah yang dilanda banjir.

  • Seorang yang hidup seorang diri di rumah usang di sebuah kampung.
  • Seorang yang mempunyai dua orang anak, iaitu Nana dan Nubhan.
  • Seorang yang peramah.
  • Seorang yang takut akan ular.
  • Seorang yang pengasih dan penyayang.
  • Seorang yang taat akan perintah Tuhan.
  • Seorang yang kurang pendengaran.
  • Seorang yang sangat merindui anak-anaknya.

Seorang yang bersangka baik
Mak Piah sentiasa menyebut kebaikan anaknya Nana walaupun pada hakikatnya Nana mengabaikannya.

  • Anak bongsu Mak Piah
  • Seorang yang jarang-jarang balik menjenguk emaknya.
  • Seorang yang takut kepada suami.
  • Seorang yang tidak bertanggungjawab.
  • Seorang anak yang berasa sangat sedih apabila kehilangan emaknya.

Latar Cerpen Banjir di Mata Emak

Latar Masa Cerpen Banjir di Mata Emak

Empat hari empat malam
Contoh: Hujan turun selama empat hari empat malam.

Ketika banjir
Contoh: Mak Piah tiada bekalan makanan kerana banjir yang melanda kampung Mak Piah sudah sampai ke paras dada.

Lima hari
Contoh: Watak “saya” demam selama lima hari.

Selepas banjir
Contoh: Mak Piah jatuh tergelincir dan kepalanya cedera ketika membersihkan rumah selepas kejadian banjir. Mak Piah meninggal dunia selepas kejadian banjir melanda kampungnya.

Waktu pagi
Contoh: Watak “saya” mendapatkan nombor telefon rumah temannya, iaitu Ameera pada waktu pagi.


Latar Tempat Cerpen Banjir di Mata Emak

Kampung
Contoh: Tempat tinggal “saya” dan Mak Piah serta tempat berlakunya kejadian banjir.

Rumah “saya”
Contoh: Tempat “saya” membuat panggilan telefon ke rumah Mak Piah.

Rumah Mak Piah
Contoh: Tempat “saya” menemui Mak Piah yang tinggal keseorangan.

Tanah perkuburan
Contoh: Tempat jenazah Mak Piah dikebumikan.


Latar Masyarakat Cerpen Banjir di Mata Emak

Masyarakat kampung
Contoh: Watak “saya” dan Mak Piah merupakan masyarakat yang tinggal di kampung.

Masyarakat yang prihatin.
Contoh: Watak “saya” sangat mengambil berat tentang keadaan Mak Piah yang tinggal keseorangan.

Masyarakat yang tidak bertanggungjawab
Contoh: Nana dan Nubhan membiarkan emak mereka hidup keseorangan di rumah usang tanpa bertanya khabar atau menjenguknya walaupun Nubhan tinggal berdekatan dengan rumah emaknya.

Masyarakat yang mementingkan kasih sayang
Contoh: Mak Piah masih mengingati dan sangat merindui anaknya, Nana serta mengharapkan Nana sekeluarga berada dalam keadaan baik.

Masyarakat yang terlalu merindui ibunya
Contoh: Watak “saya” sangat merindui emaknya yang telah meninggal dunia dan dia begitu teruja untuk berjumpa dengan Mak Piah yang tinggal keseorangan itu.

Masyarakat yang taat akan perintah agama
Contoh: Mak Piah masih menunaikan solat walaupun keadaannya sudah tua dan rumahnya dilanda banjir.


Gaya Bahasa Cerpen Banjir di Mata Emak

Ayat pendek
Contoh: “Dah tu, macam mana?”

Bahasa Arab
Contoh: Ya Allah; zuhur; assalamualaikum; alhamdulillah; insya-Allah.

Metafora
Contoh: lembah kepiluan; bungkusan takdir; lautan fikir.

Simile
Contoh: Ataukah agaknya dia bimbangkan bil telefon “anak” ini akan menjadi seperti harga ikan di pasar kami?

Personifikasi
Contoh: banjir kali ini menelan dua nyawa; getar suaranya menggegarkan perasaan.

Peribahasa
Contoh: isi hati.

Sinkope
Contoh: Tak apa Mak Piah, selagi banjir tak surut, insya-Allah, saya akan temankan Mak Piah. Repetisi. Contohnya, Saya yakin sungguh. Benar-benar yakin!


Nilai Cerpen Banjir di Mata Emak

Nilai Simpati
Contoh: “Saya” berasa simpati dengan keadaan Mak Piah yang tinggal keseorangan serta keadaan Mak Piah yang terlalu merindui anak-anaknya.

Nilai Baik hati
Contoh: “Saya” membawa bekalan makanan untuk Mak Piah yang telah terputus bekalan makanan akibat kejadian banjir.

Nilai Keprihatinan
Contoh: “Saya” sanggup mengharungi banjir untuk melihat keadaan hidup Mak Piah yang tinggal seorang diri.

Nilai Kasih sayang
Contoh: Walaupun anak-anak Mak Piah tidak mengambil berat tentang kehidupannya di kampung, Mak Piah masih mengingati dan menyayangi anak-anaknya.


Pengajaran Cerpen Banjir di Mata Emak

Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap ibu bapa kita.

Kita mestilah menghargai kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

Kita hendaklah mengamalkan sikap perikemanusiaan dan tolong-menolong sesama manusia.

Kita hendaklah sikap baik hati dengan membantu golongan warga emas.

Kita hendaklah bersimpati kepada golongan yang susah.

Kita hendaklah menjaga nama baik seseorang, terutamanya nama baik ahli keluarga sendiri.

Kita mestilah berpendirian tegas dalam hal-hal tertentu terutamanya tentang hak terhadap ibu bapa kita.


Soalan Cerpen Banjir di Mata Emak

Siapakah“Saya” dalam cerpen tersebut?

“Saya” adalah seorang insan yang amat bersimpati dengan nasib Mak Piah.“Saya” mengenali Mak Piah tanpa sengaja apabila tersalah mendail nombor telefon rumah rakannya.

Nyatakan dua perwatakan watak utama yang terdapat dalam cerpen ini.

– Seorang yang prihatin.
– Seorang yang menepati janji.

Pada pendapat anda, bagaimanakah kita perlu menghormati kedua-dua ibu bapa kita?

– Sentiasa menziarahi mereka dan bertanya khabar
– Melengkapi keperluan fizikal seperti makanan, minuman dan memantau masalah kesihatan mereka.

Apakah persoalan yang terdapat dalam cerpen ‘Banjir di Mata Emak’?

Kemuliaan hati seorang ibu yang sangat menyayangi anak-anaknya.

Nyatakan dua latar masyarakat yang terdapat dalam cerpen tersebut.

– Masyarakat kampung.
– Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.

Pada pendapat anda, apakah cara yang boleh kita lakukan untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa kita?

– Sentiasa meluangkan waktu untuk menziarahi mereka.
– Memastikan keperluan mereka mencukupi.

Mengapakah Mak Piah begitu selesa berbual dengan ‘saya’ di telefon?

Kerana Mak Piah menyangkakan bahawa anak perempuannya yang sedang menelefon bertanya khabarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *