Skip to content

Komsas BM: Cerpen Hipertensi

Cerpen Hipertensi

Cerpen Hipertensi karya Illias Zaidi merupakan Komsas tingkatan 5. Berikutnya Tema, Persoalan, Plot, Watak Perwatakan, Latar, Gaya Bahasa, Nilai dan Pengajaran Cerpen Hipertensi.

Tema Cerpen Hipertensi

Keinginan yang tinggi dalam bidang sains angkasa. Aiman Aqil yang berminat dengan aeroangkasa sehingga membayangkan dirinya berada dalam suasana di angkasa dan mendapat ijazah pertama dalam bidang aeroangkasa. Sedekad selepas itu, dia berjaya menjejakkan kaki ke bulan di bawah program aeroangkasa bersama dengan pihak Rusia.


Persoalan Cerpen Hipertensi

Adab menuntut ilmu
Contoh : Aiman Aqil selalu tidak fokus terhadap pengajaran Cikgu Faridah menyebabkan Cikgu Faridah hilang kesabarannya.

Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya
Contoh : Ibu Aiman Aqil tidak setuju dengan tindakan suaminya yang sering merotan Aiman kerana perilaku Aiman sering berkontradiksi dan berkontras dengan watak babahnya.

Amalan hormat terhadap guru
Contoh : Aiman Aqil membetulkan jawapan soalan Teori Graviti dengan baiknya dan serius apabila melihat gurunya tidak suka akan gurauannya.

Kepentingan prinsip hidup
Contoh : Aiman Aqil bertekad tidak akan menjadi seperti Si Luncai dan Mat Jenin yang hanya memasang angan-angan tanpa merealisasikan angan-angan tersebut.

Pengorbanan seorang guru terhadap anak murid.
Contoh : Cikgu Faridah mengajar Aiman Aqil dan murid-murid yang lain subjek Sains dengan bersungguh-sungguh.


PLOT Cerpen Hipertensi

Plot cerpen ini disusun mengikut kronologi.

Permulaan/Eksposisi

Aiman yang berada di banglo keluarganya merenung lereng bukit yang terhakis dan runtuhan tanahnya yang menimpa sebuah banglo melalui celah jari-jemari tangannya yang kurus runcing. Tiba-tiba sebiji mempelam yang jatuh di hadapannya telah mengingatkannya tentang Teori Graviti oleh Isaac Newton, sainstis berbangsa Inggeris serta peristiwa ketika Cikgu Faridah bersoal jawab tentang Teori Graviti semasa di kelas.

Perkembangan

Aiman digambarkan sebagai seorang murid pintar yang digelari Cikgu Faridah sebagai profesor ekoran memiliki IQ yang tinggi. Dia bersikap angkuh, suka memberontak, dan marah-marah kepada suasana persekitarannya. Di rumah, dia suka menyakat dan mengganggu adik-adiknya ketika mereka membuat kerja rumah. Di sekolah pula, dia selalu memandang rendah dan menyindir rakan-rakannya yang gagal menjawab soalan Matematik.

Akibatnya, dia dipanggil oleh Guru Besar kerana menimbulkan masalah di kelas. Akibat tindakan Aiman itu, bapanya sering merotannya. Ibunya tidak setuju dengan tindakan bapanya tetapi berdiam diri sahaja. Situasi bertambah buruk apabila dia mengambil tindakan untuk ponteng sekolah dan ponteng kelas sebagai tanda bantahan terhadap tindakan bapanya yang sering merotannya. Keadaan ini menyebabkan Aiman mula berhalusinasi dengan membayangkan dirinya menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa di Rusia. Dia berhalusinasi berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan sampai ke bulan.

Perumitan

Aiman teringat akan perbuatannya yang selalu ponteng sekolah kerana bosan dengan silibus sekolah rendah yang tidak setanding dengan daya pemikirannya pada waktu itu. Oleh hal yang demikian, Aiman gemar menyakat kawan-kawannya yang agak lambat menyiapkan latihan. Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru kelasnya. Beliau melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Akibatnya, Aiman dirotan oleh bapanya pada bahagian pinggul sehingga lebam.

Klimaks

Daya imaginasi Aiman terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas itu masih begitu kuat setelah Aiman meningkat remaja. Keadaan tersebut menyebabkan bapanya sering menampar Aiman yang kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap, ibu bapa Aiman telah membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.

Peleraian

Akhirnya Aiman sedar daripada imaginasi dan angan-angannya selama ini. Hal ini demikian kerana dia terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu melihat dirinya dalam kehidupan yang realiti dan lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Aiman nekad untuk berubah. Dia tidak mahu melayan halusinasi dunia aeroangkasanya lagi. Aiman berdoa kepada Tuhan agar membantunya untuk hidup dalam dunia realiti.


Teknik PLOT / Penceritaan Hipertensi

Imbas muka
Contoh: Aiman membayangkan dirinya sudah lulus dalam peperiksaan pada peringkat pengajian tinggi dengan memperoleh ijazah kelas pertama dalam bidang aeroangkasa.

Imbas Kembali
Contoh: Ketika belajar di sekolah rendah, Aiman Aqil selalu ponteng sekolah kerana bosan dengan pembelajaran yang dianggapnya tidak sesuai dengan tahap IQ yang dimilikinya.

Teknik dialog
Contoh: dialog antara Aiman dengan Cikgu Faridah berhubung dengan Teori Graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton.

Teknik monolog dalaman
Contoh: Aiman bermonolog bahawa dia tidak akan berasa hairan dengan Teori Graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton sekiranya dia lahir pada tahun yang sama dengan beliau.

Teknik pemerian
Contoh: Penulis memerihalkan keadaan Aiman sewaktu dia dilahirkan.

Teknik saspens
Contoh: Peristiwa percanggahan pendapat antara Aiman dengan Cikgu Faridah benar- benar menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca tentang penyelesaian pendapat mereka itu.


Watak Perwatakan Cerpen Hipertensi

Aiman Aqil

  • Berumur hampir 20 tahun.
  • Berwajah agak cengkung dan memiliki jari-jemari tangan yang kurus runcing.
  • Anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.

Mementing kesihatan
Contoh : Aiman Aqil mementingkan pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Seorang murid genius
Contoh : Aiman Aqil pintar dalam menyelesaikan masalah Matematik pelajar Tingkatan Lima pada usia lapan tahun.

Seorang yang sombong
Contoh: Aiman Aqil juga sering memperlekeh adik dan rakan-rakannya yang sukar menyelesaikan soalan Matematik.

Seorang murid yang menghormati guru
Contoh : Aiman Aqil cepat-cepat membetulkan jawapan kepada soalan teori graviti dengan baiknya dan serius apabila melihat gurunya tidak suka akan gurauannya.

Seorang pendendam
Contoh: Aiman Aqil menyimpan dendam terhadap kebengisan bapanya yang sering merotan dan menamparnya.

Seorang yang bercita-cita tinggi
Contoh : Aiman Aqil menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang angkasawan yang berjaya seperti Neil Armstrong.


Bapa Aiman

  • Bapa kepada Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
  • Bertugas sebagai jurutera mekanikal.
  • Dipanggil dengan gelaran “babah” oleh Aiman dan anak- anaknya.
  • Bertanggungjawab membesarkan tiga orang anaknya di sebuah rumah.

Seorang yang tegas
Contoh : Babah sering merotan Aiman Aqil kerana Aiman selalu berkontradiksi dengannya sehingga lebam di pinggul Aiman.

Seorang yang penyayang
Contoh: Babah berusaha merawat masalah kegagapan anaknya, Aiman Aqil dengan membawanya menjalani latihan intensif dan terapi.


Ibu Aiman

  • Ibu kepada tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
  • Saintis dalam bidang geologi.

Seorang ibu yang penyayang
Contoh : Ibu Aiman Aqil tidak setuju dengan tindakan suaminya yang sering merotan Aiman kerana Aiman selalu ponteng sekolah dan melawan kata-katanya.

Seorang ibu yang bertanggungjawab.
Contoh: Ibu menyediakan makanan seimbang untuk Aiman Aqil sehingga Aiman Aqil membesar dengan sihatnya

Seorang yang penyabar
Contoh : Ibu sabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman Aqil yang bersikap kontras dengan suaminya.


Cikgu Faridah

Seorang yang berdedikasi
Contoh : Cikgu Faridah menerangkan ilmu Teori Graviti secara bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.

Seorang yang bijak
Contoh : Cikgu Faridah bijak melihat potensi yang ada pada Aiman Aqil dan menggelarnya sebagai profesor kerana kepintaran dan kecerdikan muridnya itu.

Seorang yang sensitif
Contoh : Wajah Cikgu Faridah segera berubah apabila Aiman Aqil mempertikaikan Teori Graviti yang diajarnya dengan kuasa Tuhan


Latar Cerpen Hipertensi

Latar Masa Cerpen Hipertensi

Waktu tengah hari
Contoh : Aiman Aqil sedang bersoal jawab dengan Cikgu Faridah tentang Teori Graviti dan kaitannya dengan alam sejagat.

Waktu malam
Contoh : Aiman Aqil mengganggu adik-adiknya yang sedang membuat kerja rumah dengan menyindir mereka kerana tidak dapat menjawab soalan matematik.

Zaman sekolah rendah
Contoh : Aiman Aqil mengganggu rakan-rakan sekelasnya yang sedang membuat latihan ketika sesi pembelajaran


Latar Tempat Cerpen Hipertensi

Kelas
Contoh : Aiman Aqil sedang bersoal jawab dengan Cikgu Faridah tentang Teori Graviti dan kaitannya dengan alam sejagat.

Bulan
Contoh : Aiman Aqil berfantasi menjadi seorang angkasawan yang berjaya pergi ke bulan.

Rumah keluarga Aiman
Contoh : Aiman Aqil mengganggu adik-adiknya yang sedang membuat kerja rumah dengan menyindir mereka kerana tidak dapat menjawab soalan matematik.


Latar Masyarakat Cerpen Hipertensi

Masyarakat yang menghormati guru
Contoh : Aiman Aqil membetulkan jawapan kepada soalan teori graviti dengan baiknya dan serius apabila melihat gurunya tidak suka akan gurauannya.

Masyarakat yang bertanggungjawab
Contoh: Ibu menyediakan makanan seimbang untuk Aiman Aqil sehingga Aiman Aqil membesar dengan sihatnya

Masyarakat yang terlalu bijak
Contoh : Aiman Aqil mampu menyelesaikan masalah Matematik Tingkatan Lima walaupun berusia lapan tahun

Masyarakat yang penyayang
Contoh : Ibu Aiman Aqil tidak setuju dengan tindakan bapanya yang sering merotannya tetapi terpaksa memprotes dalam hati sahaja

Masyarakat yang terlalu meminati bidang sains angkasa
Contoh : Aiman Aqil sangat berminat dengan aeroangkasa. Dia membayangkan dirinya mendapat ijazah pertama dalam bidang aeroangkasa dan berangan-angan menjejakkan kaki ke bulan.


Gaya Bahasa Cerpen Hipertensi

  1. Diksi – penggunaan istilah sains
    Contoh : orbit (hlm. 61); aeroangkasa (hlm. 62), planet (hlm. 64)
  2. Bahasa Inggeris
    Contoh : IQ (hlm. 61); genius (hlm. 62)
  3. Simile
    Contoh : Dia merasakan bahangnya umpama sudah mencecah angka 150 darjah Celsius. (hlm. 65)
  4. Personifikasi
    Contoh : Sang suria terus setia memancarkan cahayanya (hlm. 67)
  5. Metafora.
    Contoh: dedaun kemaafan; tasik hati; pentas halusinasinya.
  6. Inversi.
    Contoh: Keterujaan Aiman terus melonjak (sepatutnya: Aiman terus melonjak keterujaan).
  7. Istilah sains angkasa lepas.
    Contoh: orbit; aeroangkasa; planet.

Nilai Cerpen Hipertensi

Kebijaksanaan
Contoh : Aiman Aqil mampu menyelesaikan masalah Matematik Tingkatan Lima walaupun berusia lapan tahun

Kasih sayang
Contoh : Ibu Aiman Aqil tidak setuju dengan tindakan bapanya yang sering merotannya tetapi terpaksa memprotes dalam hati sahaja

Hormat-menghormati
Contoh : Aiman Aqil membetulkan jawapan kepada soalan teori graviti dengan baiknya dan serius apabila melihat gurunya tidak suka akan gurauannya

Ketegasan
Contoh : Bapa Aiman mengambil tindakan tegas dengan merotan Aiman atas kesalahannya yang membuat onar di dalam kelas

Bertanggungjawab
Contoh: Ibu menyediakan makanan seimbang untuk Aiman Aqil sehingga Aiman Aqil membesar dengan sihatnya


Pengajaran Cerpen Hipertensi

Kita haruslah bijak dalam menyelesaikan masalah.
Contoh : Aiman bijak menyelesaikan latihan matematik murid Tingkatan 5 walaupun baru berusia 8 tahun, Aiman bijak semasa berdebat dengan Cikgu Faridah tentang teori graviti

Kita perlulah bertangungjawab terhadap keluarga di bawah tanggungan kita
Contoh: Ibu menyediakan makanan seimbang untuk Aiman Aqil sehingga Aiman Aqil membesar dengan sihatnya

Kita hendaklah menghormati guru yang banyak berjasa
Contoh : Aiman Aqil membetulkan jawapan kepada soalan teori graviti dengan baiknya dan serius apabila melihat gurunya tidak suka akan gurauannya.

Kita hendaklah saling menyayangi sesama ahli keluarga
Contoh : Ibu Aiman Aqil tidak setuju dengan tindakan bapanya yang sering merotannya tetapi terpaksa memprotes dalam hati sahaja

Kita hendaklah tegas dalam memberikan didikan kepada anak-anak
Contoh : Bapa Aiman mengambil tindakan tegas dengan merotan Aiman atas kesalahannya yang membuat onar di dalam kelas


Sinopsis Cerpen Hipertensi

Cerpen ini mengisahkan kehidupan seorang budak lelaki genius bernama Aiman Aqil. Kepintarannya menyebabkan dia berasa bosan belajar di dalam kelas. Pada usia yang muda, dia telah dapat menyelesaikan masalah Matematik Tingkatan Lima. Aiman Aqil juga sering memperkecil adik dan rakan-rakannya yang sukar menyelesaikan soalan Matematik. Aiman Aqil memberikan alasan kepada bapanya bahawa dia seorang yang pintar. Akibat tindakan Aiman Aqil itu, bapanya sering merotannya. Ibunya tidak setuju dengan tindakan bapanya tetapi berdiam diri sahaja. Situasi bertambah buruk apabila dia mengambil tindakan untuk ponteng sekolah dan ponteng kelas sebagai tanda bantahan terhadap tindakan bapanya yang sering merotannya.

Aiman sentiasa mengambil kesempatan untuk mewujudkan halusinasi futuristik penuh cabaran. Dia pernah membayangkan dirinya telah lulus pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa. Walaupun Aiman Aqil sering berhalusinasi, namun dia mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Dia tidak mahu berangan-angan seperti Mat Jenin dan Si Luncai. Angan-angan Aiman terus mekar apabila dia terus berhalusinasi menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa di bawah Rusia. Pada suatu hari, Aiman Aqil memanjat pokok kelapa untuk berangan-angan fantasi futuristik. Aiman Aqil telah berfantasi menjadi seorang angkasawan yang telah ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan ke bulan.

Angan-angan Aiman terus mekar apabila dia terus berhalusinasi menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa di bawah Rusia. Kemudian, dia terus berangan-angan hendak memantapkan diri sebagai persediaan untuk berlepas ke angkasa. Halusinasi Aiman tidak terhenti setakat itu sahaja, malah dia turut membayangkan jutaan khalayak menyaksikan siaran langsung perlepasan kapal angkasa yang dinaikinya. Aiman akhirnya berjaya mendarat di bulan dalam halusinasinya itu.

Ketika berfantasi, Aiman Aqil terdengar suara halus yang mengajaknya supaya mendekatkan diri kepada Tuhan. Pada masa yang sama, suara halus itu meminta Aiman Aqil supaya tidak membinasakan alam sekitar di bumi. Akhirnya, Aiman sedar daripada khayalannya bahawa dia perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu bukan sekadar berangan-angan. Jauh di sudut hati Aiman, dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat Ilahi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *