Skip to content

Cerpen Legasi Tapai Ubi – Komsas Tingkatan 3

Cerpen Legasi Tapai Ubi

Cerpen Legasi Tapai Ubi karya Ghazali Lateh merupakan Komsas Tingkatan 3. Berikutnya tema, persoalan, sinopsis, watak perwatakan, latar, nilai dan pengajaran cerpen ini.

Sinopsis Cerpen Legasi Tapai Ubi

Sejak kecil Parjo membantu ayahnya, Wak Salikon mengusaha tapai ubi secara kecil-kecilan. Penduduk kampung dan rakan sekolah tahu tentang perniagaan keluarganya. Dia ditugaskan untuk menghantar tapai ubi ke pasar, warung, kedai kampung, dan kantin sekolah. Aktiviti yang dilakukannya ini menyebabkanrakan-rakan sekolah menggelarnya ‘Parjo Tapai’. Pada mulanya, Parjo berasa hati terhadap panggilan tersebut. Lama-kelamaan dia sudah lali dengan ejekan rakan-rakannya. Tambahan pula, dia hanya membantu ibu dan ayahnya mencari rezeki.

Bapa dan ibunya tidak pernah jemu mengusahakan tapai ubi. Pada awal pagi, bapanya akan mencabut ubi dan ubi itu akan dikopek oleh ibunya sebelum dipotong. Kerja memotang ubi biasanya dilakukan Parjo. Kemudian, ubi itu dijerang dan dituskan lalu kerja-kerja memt tapai dilakukan. Menurut ibunya, ada banyak pantang larang untuk membuat tapai ubi seperti tidak boleh memberitahu orang lain, jangan terkena kotoran, dan tidak boleh bising-bising. Sekiranya pantang larang itu dilanggar, tapai ubi tidak akan manis. Oleh itu, tapai itu tidak akan dibeli orang. Namun begitu, selama ini tapai ubi Wak Salikon tetap laris.

Tapai ubi merupakan mata pencarian bapa Parjo dan kelangsungan hidup keluarganya. Hasil jualan tapai ubi menyebabkan Parjo dan adik beradiknya berjaya ke universiti untuk melanjutkan pelajaran mereka. Parjo yang mengikuti kursus perubatan terkejut apabila pensyarahnya Profesor Haidar mahu membuat projek tentang tapai ubi. Menurut pensyarahnya tapai ubi mampu mengurangkan serangan kanser. Setelah melakukan beberapa kajian, Parjo menemukan kebenaran tentang tapai ubi dalam mencegah penyakit kanser. Penemuan ini telah mendapat pengiktirafan dan menjadi tesis kedoktorannya. Hasil kajiannya juga dibawa ke peringkat antarabangsa. Jika sebelum ini Parjo agak muak makan tapai ubi, tetapi kini dia menjadi pelanggan tetap tapai ubi Wak Salikon.

Semasa majlis konvokesyen, bapa dan ibu Parjo turut hadir. Parjo dengan bangga telah memperkenalkan ibu dan bapanya yang merupakan pengusaha tapai ubi yang terkenal di kampung mereka kepada pensyarah dan rakan-rakannya. Liputan yang meluas mengenai hasil kajiannya tentang tapai ubi telah menyebabkan permintaan terhadap tapai ubi semakin meningkat. Tapai ubi kini diusahakan secara komersial dan turut dihidangkan di hotel-hotel besar di seluruh negara.

Perusahaan tapai ubi Wak Silikon semakin berkembang. Sebuah kilang didirikan dan bapa dan ibu Parjo kini menjadi pengurus Perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon. Jumlah pekerja juga semakin bertambah. Parjo yang bertugas sebagai pensyarah perubatan di universiti terus membuat kajian tentang khasiat tapai ubi terhadap pelbagai jenis penyakit terutamanya kanser. Parjo berasa sangat bangga hidup dalam legasi tapai ubi.


TemaCerpen Legasi Tapai Ubi

TemaCerpen Legasi Tapai Ubi ialah kegigihan seorang anak kepada peniaga tapai ubi. Dia ingin membuktikan bahawa makanan tradisional tersebut mampu menjadi penawar penyakit berbahaya seperti kanser.

Parjobersungguh-sungguh untuk melakukan kajian tentang tapai ubibagi membuktikan bahawa tapai ubi dapatmengubati penyakit kanser. Akhirnya,kajiannya mendapat pengiktirafan universiti dan dibawa ke peringkat antarabangsa.Parjo jugamenghasilkan tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada berbagai-bagai penyakit terutamanya kanser.


PersoalanCerpen Legasi Tapai Ubi

Persoalan Ketaatan seorang anak kepada ibu bapa.
Contoh Peristiwa: Setiap hari Parjo terpaksa menjinjit karung yang berisi tapai ubi untuk dibawa ke sekolah. Pada masa yang sama, dia juga membawa tapai ubi itu ke pasar, warung-warung, kedai kampung, dan ke mana-mana sahaja jika ada tempahan.

Persoalan Ketelitian semasa melakukan sesuatu.
Contoh Peristiwa: Emak dan bapa Parjo amat teliti semasa membuat tapai. Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi seperti tidak boleh memberitahu orang lain semasa membuat tapai, tidak boleh terkena kotoran atau minyak, dan tidak boleh membuat bising semasa membuat tapai.

Persoalan Kanser yang boleh mengakibatkan kematian.
Contoh Peristiwa: Bilangan pesakit kanser semakin bertambah. Pada tahun 2000, didapati sebanyak 1,050,346 kes kanser payudara dan 372,965 kematian daripada kanser ini dilaporkan di seluruh dunia.

Pengorbanan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak.
Contoh Peristiwa: Parjo dan adik-adiknya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading hasil daripada usaha emak dan bapanya menjual tapai ubi.

Persoalan Menghargai pengorbanan dan membalas jasa ibu bapa.
Contoh Peristiwa: Dr. Parjo mengatakan bahawa kejayaannya selama ini sebenarnya hasil daripada inspirasi emak dan bapanya sebagai seorang pengusaha tapai ubi yang terkenal di kampungnya.

Persoalan Bercita-cita tinggi demi kemajuan pada masa depan.
Contoh Peristiwa: Wak Salikon bercadang untuk mempergiat perusahaan tapai ubinya setelah kajian Dr. Parjo tentang tapai itu berjaya.


Binaan PlotCerpen Legasi Tapai Ubi

Sejak kecil lagi, Parjo membantu emak dan bapanya menjual tapai ubi sehingga dipanggil “Parjo Tapai”. Walaupun dia berasa muak dengan panggilan itu, namun lama-kelamaan dia sudah terbiasa dengan gelaran tersebut kerana dia ingin membantu emak dan bapanya mencari rezeki.

Proses membuat tapai ubi agak rumit. Bermula dengan proses mencabut ubi, mengopek kulit, memotong pendek, menjerang air, merebus sehinggalah proses memeram sebelum ubi matang untuk dimakan. Banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa membuat tapai ubi. Melalui hasil jualan tapai ubi itulah Parjo dan adik-adiknya berjaya menjejakkan kaki ke manara gading.

Profesor Haidar mengarahkan Parjo membuat kajian tentang tapai ubi yang dikatakan dapat membantu mengurangkan serangan kanser.Proses kajian dilakukan dengan mengenal pasti jenis kanser,cara kanser merebak,dan langkah mngesan kanser sehingglah kepada proses membuat uji kaji tindak balas tapai ubi terhadap sel kanser.

Parjo berjaya membuktikan bahawa tapai ubi dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Kajian Parjo telah diiktiraf oleh pihak universiti dan dibawa pada peringkat antarabangsa. Parjo berjaya memperoleh ijazah kedoktoran sekali gus mendapat gelaran Dr. Parjo.

Dr. Parjo bertugas sebagai pensyarah. Dia masih meneruskan kajian tentang potensi tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada pelbagai jenis penyakit yang lain, terutamanya penyakit kanser. Perniagaan tapai ubi bapanya di kampung semakin berkembang sehinggalah terbinanya kilang Perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon.


Teknik Plot Cerpen Legasi Tapai Ubi

Dialog
Contoh: “Parjo, jangan lupa nanti hantar tapai ke pasar!” jerit bapa dengan loghat Jawanya yang pekat.

Imbas Kembali
Contoh: Aku tidak menjawab. Fikiranku melayang ke zaman kanak-kanak. Teringatk aku akan bapa dan emak yang masih membuat tapai ubi sehingga kini.

Monolog
Contoh: Ah, betapanya penyakit kanser! Getus hati kecilku.

Saspen
Contoh: “Parjo, kita ada projek baharu semester ini,” kata Profesor Haidar ketika kami berada di makmal, sebaik-baik sahaja semester bermula. Entah mengapa Profesor Haidar menyebut namaku, tidak rakan-rakan sekuliahku. Barangkali kerana aku menunjukkan minat yang mendalam terhadap kajian-kajiannya sebelum ini.


Watak PerwatakanCerpen Legasi Tapai Ubi

  • Anak sulung kepada Wak Salikon
  • Penerima Ijazah kedoktoran dari universiti tempatan.

Taat akan emak dan bapanya
Parjo sanggup menghantar tapai ubi ke kantin sekolah dan warung-warung di kampungnya tanpa membantah. Dia juga mengenang budi dan tidak melupakan jasa emak dan bapanya walaupun dia sudah berjaya di menara gading.

Bersungguh-sungguh melakukan sesuat
Parjo melakukan kajian bagi membuktikan bahawa tapai ubi dapat membantu mengurangkan serangan kanser.

Seorang yang teliti
Proses kajian terhadap kanser telah dilakukannya mengikut prosedur dan peringkat demi peringkat bagi memastikan kajian tersebut berjaya.

Bapa kepada Parjo

Seorang yang gigih melakukan pekerjaan
Wak Salikon menanam pokok ubi dan seterusnya membuat tapai ubi untuk dijual.

Seorang yang mementingkan pendidikan anaknya
Dia menyekolahkan anak-anaknya sehingga ke menara gading dengan hasil titik peluhnya menjual tapai ubi.

Bercita-cita tinggi
Wak Salikon berhasrat untuk mengembangkan perniagaan tapai ubinya.

Teliti ketika melakukan kerja
Wak Salikon mengamalkan pantang larang yang perlu dipatuhi semasa membuat tapai ubi.

Emak kepada Parjo dan isteri kepada Wak Salikon

Seorang yang gigih membantu suami
Dia membantu Wak Salikon untuk membuat tapai ubi.

Seorang yang teliti melakukan kerja.
Emak sentiasa mematuhi pantang larang semasa membuat tapai ubi.

Prihatin terhadap anak
Emak mendengar penjelasan Parjo bahawa dia berjaya berkat kajiannya terhadap tapai ubi.

Pensyarah Parjo semasa di universiti.

Seorang yang berpandangan jauh
Dia meminta Parjo untuk membuat kajian tapai ubi yang dikatakan dapat membantu mengurangkan serangan kanser.


Gaya BahasaCerpen Legasi Tapai Ubi

Kata ganda
Contoh: Kemudian ubi itu dipotong pendek-pendek dalam seinci setengah.

Peribahasa
Contoh: namun alah bisa tegal biasa.

Anafora (Perulangan kata dalam ayat berturutan)
Contoh: Aku akur dengan petua emak.
Aku hanya diam.

Repetisi
Contoh: Tapai! Tapai! Tapai!

Sinkope
Contoh: “Buat tapai ubi tak boleh bagitahu orang tahu!”

Diksi
Pengarang telah menggunakan laras bahasa Sains. Contohnya,bakteriosin; manihot esculanta; metastasis.


Latar Cerpen Legasi Tapai Ubi

Latar Tempat Cerpen Legasi Tapai Ubi

Kampung Wak Salikon
Tempat Parjo menghantar tapai ubi sama ada ke pasar, ke warung, atau ke kedai kampung.

Kantin sekolah
Parjo menghantar tapai ubi di kantin sekolah pada setiap hari sehinggakan dia digelar ‘Parjo Tapai’ oleh kawan-kawannya.

Rumah Wak Salikon
Tempat emak dan bapa Parjo membuat tapai yang memerlukan proses pembuatan yang teliti.

Fakulti perubatan di universiti
Tempat Parjo melanjutkan pelajaran dan tempat Profesor Haidar mengarahkan dia membuat kajian tentang tapai ubi yang dikatakan dapat mengurangkan serangan kanser.

Amerika Syarikat
Tempat yang menunjukkan bahawa kajian kadar kanser payudara di negara itu adalah berbeza antara kaum, iaitu kes paling tinggi berlaku dalam kalangan wanita berkulit putih berbanding dengan wanita berkulit hitam atau berketurunan Hispanic atau berketurunan Asia.

Kilang perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon
Emak dan bapa Parjo bekerja sebagai pemilik dan pengurus kilang tersebut dan pengeluaran tapai ubi dipertingkatkan di kilang ini kerana banyak mendapat tempahan.


Latar Masa Cerpen Legasi Tapai Ubi

Waktu pagi
Bapa Parjo telah menjerit dalam loghat Jawanya yang pekat agar Parjo tidak lupa untuk menghantar tapai ubi ke pasar. Setiap pagi emak akan melumatkan ragi juga.

Selepas sembahyang isyak
Emak meneruskan tugasannya membuat tapai ubi yang dikatakan banyak pantang larangnya.

Permulaan semester
Profesor Haidar memberitahu Parjo bahawa mereka ada projek untuk dijalankan, iaitu projek tapai ubi yang dikatakan dapat mengurangkan risiko serangan kanser.

Enam puluh hari
Bakteria UL4 tapai ubi didapati mampu bertahan pada suhu setinggi 121 darjah celsius selama lima belas minit dan suhu serendah 15 darjah celcius selama enam puluh hari.


Latar Masyarakat Cerpen Legasi Tapai Ubi

Masyarakat yang bersungguh-sungguh melakukan kerja.
Parjo bersungguh-sungguh membantu emak dan bapanya menghantar tapai ubi pada setiap pagi. Semasa di universiti pula, Parjo bersungguh-sungguh untuk membuat kajian tentang projek tapai ubi yang diarahkan oleh Profesor Haidar.

Masyarakat yang teliti semasa melakukan sesuatu kerja.
Wak Salikon dan isterinya sentiasa mematuhi pantang larang semasa membuat tapai ubi untuk memastikan kualiti tapai itu terjamin.

Masyarakat yang berpandangan jauh.
Profesor Haidar mengarahkan Parjo membuat kajian tentang tapai ubi kerana terdapat penemuan yang membuktikan bahawa tapai ubi dapat membantu mengurangkan serangan kanser.


Nilai Cerpen Legasi Tapai Ubi

Nilai Kegigihan
Wak Salikon dan isterinya gigih mengusahakan perniagaan tapai ubi sehingga berkembang membuka sebuah kilang.

Nilai tolong – menolong
Parjo rajin membantu ayah dan ibunya membuat tapai ubi.

Nilai mengenang jasa
Parjo menjelaskan bahawa kejayaannya menggengam ijazah berkat inspirasi ayah dan ibunya.

Nilai tanggungjawab
Parjo ingin berkhidmat kepada masyarakat melalui kajiannya terhadap tapai ubi yang dapat mencegah dan merawat penyakit kanser.

Nilai kesyukuran
Semasa disoal oleh wartawan, Parjo mengatakan bahawa kejayaannya itu hasil inspirasi emak dan bapanya yang mengusahakan perniagaan tapai ubi.


Pengajaran Cerpen Legasi Tapai Ubi

Kita hendaklah tabah mengharungi susah payah dalam kehidupan.
Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Parjo akan menjinjit karung tapai ke kantin sekolah. Dia telah digelar ‘Parjo Tapai’ oleh kawan-kawannya. Namun begitu, dia tabah kerana mahu membantu emak dan bapanya mencari rezeki.

Janganlah kita memandang hina terhadap orang lain
Rakanrakan sekolah Parjo telah mengejeknya dengan panggilan ‘Parjo Tapai’ kerana dia sering menjinjit karung tapai semasa menaiki bas ke sekolah.

Kita haruslah rajin untuk mencari rezeki.
Pagi-pagi lagi Wak Salikon akan ke kebun untuk mencabut ubi, manakala emak Parjo akan mengopek kulit ubi itu. Parjo pula akan membantu emaknya untuk memotong ubi itu.

Kita perlulah bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara.
Parjo banyak membaca kajian tentang kanser payudara sebelum memulakan kajiannya. Dia melakukan kajiannya dengan teliti untuk memastikan kajian itu berjaya.

Kita mestilah bijak mengambil peluang demi kemajuan
Sebuah kilang Perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon telah didirikan di kampung Parjo untuk memenuhi permintaan tapai ubi yang semakin meningkat.

Kita perlulah menghargai jasa ibu bapa
Setelah Parjo berjaya, dia telah membina sebuah kilang Perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon di kampungnya dan melantik emak dan bapanya sebagai pengurus kilang itu.


Latihan Cerpen Legasi Tapai Ubi

“Tapai! Tapai! Tapai!”

Jemu benar aku dengan perkataan tapai itu. Sejak kecil aku disogokkan dengan tapai. Sebutlah tapai ubi Wak Salikon, semua orang tahu. Wak Salikon bapa aku. Jika ada orang berkata Wak Salikon Tapai Ubi, seluruh kampung kenal. Itu bapa aku! Kalau orang bertanya Parjo Tapai Ubi, itu aku! Aku dan tapai seolaholah sebati dan sinonim. Ah, bencinya!

“Parjo, jangan lupa nanti hantar tapai ke pasar!” jerit bapa dengan loghat Jawanya yang pekat. Laungan itu menjadi rutin setiap pagi. Maka aku pun tidak pernah menolak untuk berkhidmat menghantar tapai ubi buatan bapa dan emak ke pasar, ke warung, ke kedai kampung dan ke mana-mana sahaja jika ada tempahan.

Itu sahaja yang aku tahu. Akan tetapi kini aku semakin jemu dengan tapai ubi. Lebih-lebih lagi sejak aku sekolah menengah. Apatah lagi apabila setiap hari aku terpaksa menjinjit karung tapai ke kantin sekolah. Parjo Tapai! Itulah gelaran yang diberikan oleh kawan-kawanku yang sama-sama menumpang bas sekolah. Aku malu dan marah juga pada mulanya. Namun alah bisa tegal biasa. Aku hanya membantu emak dan bapa mencari rezeki.

Jawapan: Parjo akan menghantar tapai ubi Wak Salikon ke pasar, ke warung, ke kedai kampung dan ke mana-mana sahaja jika ada tempahan.

Masyarakat yang gigih berusaha
Contoh: Kegigihan Wak Salikon dan isterinya mengusahakan perniagaan tapai ubi dari muda sampai ke tua.

Masyarakat yang bertanggungjawab
Contoh: Parjo bertanggungjawab menjalankan kajian terhadap tapai ubi seperti yang diminta oleh Profesor Haidar.

Masyarakat yang prihatin
Contoh: Parjo prihatin akan penghidap penyakit kanser dan berazam mahu membantu mereka melalui kajian yang dilakukannya.

Jawapan: Pada pendapat saya, langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan anak-anak sentiasa membantu ibu dan bapa mereka termasuklah ibu bapa memberi ganjaran kepada anak-anak seperti pujian dan hadiah . Seterusnya, ibu bapa boleh membuat jadual mengemas rumah kepada anak-anak . Selain itu, ibu bapa mengehadkan penggunaan telefon pintar anak-anak.


Jawapan: Tiga pantang larang membuat tapai ubi ialah pertama, tidak boleh memberitahu orang semasa membuat tapai ubi. Kedua, tidak boleh membuat bising. Selain itu, elakkan daripasa terkena kotoran atau minyak kerana dikhuatiri tapai tidak menjadi.

Jawapan: Nilai murni yang terdapat dalam petikan ialah mengenang budi. Contohnya Parjo tidak melupakan jasa kedua ibu bapanya serta dia menghargai pengorbanan dan membalas jasa ibu bapanya. Nilai yang seterusnya ialah tidak mudah berputus asa. Sebagai contoh, Parjo sentiasa bersemangat untuk belajar sehingga dirinya berjaya ke menara gading dan menjadi seorang pensyarah.

Jawapan: Usaha yang boleh dilakukan supaya perniagaan terus maju adalah dengan bersikap rasional ketika melakukan segala kerja agar diri tidak mudah bermasalah ketika melalukan kerja. Selain itu, peniaga perlulah bijak mengambil peluang seperti mempromosikan produk mereka ke kaca televisyen atau membuat pamplet dan edarkan ke agen agen mereka.

Antara usaha yang boleh dilakukan untuk membolehkan saya mencapai kejayaan dalam peperiksaan ialah saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran agar saya tidak tercicir. Selain itu, saya akan membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan melalui pengurusan masa dengan bijak dan baik. Dengan itu, saya dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan bersedia.

Jawapan: Salah satu perwatakan emak ialah rajin. Emak melakukan tugasnya dengan rajin dan tanpa jemu membuat tapai ubi. Perwatakan kedua ialah mematuhi pantang larang. Emak sangat mematuhi pantang larang membuat tapai kerana ingin menghasilkan tapai ubi yang manis dan laris jualannya.

Usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengekalkan kerjasama yang erat ialah dengan melibatkan semua ahli keluarga dalam perkara yang dilakukan. Hal ini penting untuk mengelakkan ada antara mereka yang berasa tersisih dan mengamalkan sikap berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Selain itu, kejujuran dan amanah harus ada dalam diri setiap ahli. Sikap ini membolehkan perniagaan dikembangkan dengan baik dan terancang tanpa sebarang prasangka buruk.

Parjo berharap kejayaan kajian tapai ubinya akan membawa kejayaan kepada ayah dan ibunya mengusahakan tapai ubi tradisi mereka dengan lebih giat lagi. Selain itu, dia juga berharap tapai ubi akan menjadi makanan sampingan yang popular hingga ke peringkat antarabangsa pada suatu hari nanti.

Salah satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen itu ialah kita hendaklah bijak mengambil peluang yang ada dan berusaha untuk memanfaatkannya. Wak Salikon akhirnya berjaya membuka kilang pemprosesan tapai ubi bagi meningkatkan pengeluaran. Pada masa yang sama, kita hendaklah sentiasa berbangga dengan warisan keluarga yang pastinya tidak dimiliki oleh orang lain. Parjo kini berbangga kerana hidup dalam legasi tapai ubi.

Antara usaha yang boleh dilakukan untuk menarik minta orang ramai menyukai makan tradisi adalah dengan mengadakan acara makan secara percuma bagi membolehkan mereka mencuba pelbagai jenis makanan tradisi. Selain itu, pihak pengusaha makanan tradisi harus membuat pendedahan tentang kebaikan dan kelebihan makanan ini berbanding makanan lain. Seterusnya, makanan ini boleh dijadikan hidangan wajib kepada para pelancong dan pelawat tempat pengeluar makanan tersebut.

– Dipercayai mampu menjadi pencegah kanser.
– Proses penapaian ubi menghasilkan sejenis bahan yang dikenali sebagai bakteriosin.
– Proses penapaian juga menghasilkan sejenis bakteria asid laktik yang terpencil daripada tapai dikenali manihot esculanta

– Strategi pemasaran makanan tradisional yang lebih berkesan, iaitu mempromosikan makanan tradisional melalui media massa dan media sosial.
– Pembungkusan makanan tradisional yang menarik seperti menggunakan kombinasi warna yang bersesuaian.
– Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memainkan peranan penting memperkenalkan makanan tradisional di peringkat antarabangsa.

– Sudah ditakdirkan kajian Parjo berkaitan tapai ubi sesuai dengan nama panggilan oleh rakan-rakannya.
– Parjo terbayang akan pekerjaan ibu bapanya membuat tapai ubi.
– Parjo bertekad menghasilkan kajian yang bermanfaat untuk industri makanan yang dibekukan.

Seorang mahasiswa yang bertanggungjawab
Huraian: Parjo bertanggungjawab menjalankan kajian yang diberikan oleh Profesor Haidar tentang kebaikan tapai ubi.

Seorang murid yang bijak
Huraian: Parjo bijak dalam pelajarannya dan diterima masuk ke fakulti perubatan.

Seorang yang prihatin
Huraian: Parjo prihatin akan penghidap penyakit kanser dan berharap agar hasil kajiannya nanti dapat dimanfaatkan untuk mencegah kanser.

– Anak-anak perlu sentiasa patuh akan kata-kata ibu bapa.
– Anak-anak hendaklah menjaga kebajikan ibu bapa mereka dengan baik seperti memberikan wang belanja dan keperluan lain.
– Anak-anak mestilah mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan agar pengorbanan ibu bapa tidak sia-sia.
– Anak-anak yang bekerja di bandar harus sering pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa

1 thought on “Cerpen Legasi Tapai Ubi – Komsas Tingkatan 3”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *