Skip to content

Cerpen Munsyi – Komsas, Tema, Persoalan dan Peristiwa

KOMSAS Cerpen Munsyi

Cerpen Munsyi karya Husna Nazri merupakan komsas tingkatan 4. Berikutnya tema, persoalan, sinopsis, latar, watak perwatakan, plot, gaya bahasa, nilai dan pengajaran cerpen ini.

Tema Cerpen Munsyi

Tema cerpenMunsyi ialah semangat cinta akan agama, bangsa, bahasa dan budaya yang tersemaikukuh dalam jiwasegelintirgolongan warganegara.

Bonda banyak menyimpan buku lama tentang bahasa dan sejarah. Selain itu, bonda juga sayang akan bahasa dan agamanya. Disebabkan itu, bonda tidak membenarkan Mel berhijrah ke kota selagi ilmunya belum penuh di dada. Mel juga dapat menyaksikan bahawa Munsyi merupakan seorang yang mencintai bahasa dan agamanya.


Persoalan Cerpen Munsyi

Persoalan kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya
Contoh: Mel bertekad untuk memenuhi dirinya dengan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman di tanah desa halaman ini sebelum Mel bersedia berhijrah ke tengah gelora kota.

Peranan penjajah dalam memecahbelahkan rakyat sesebuah negara
Contoh: Pihak penjajah telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku secara adil hingga menimbulkan rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.

Kepentingan ilmu agama dalam kehidupan
Contoh: Bonda tidak membenarkan Mel berhijrah ke bandar kerana ilmu agama Mel belum mencukupi.

Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan baharu
Contoh: Mel tidak berputus asa untuk meminta kebenaran daripada bonda untuk bermastautin di bandar.

Ketaatan seorang anak terhadap nasihat ibunya
Contoh: Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda.

Sikap muda mudi yang mengabaikan penggunaan bahasa ibunda yang betul dan meminggirkan ajaran agama.
Contoh: Penggunaan bahasa rojak dan loghat rekaan serta pergaulan bebas di kota mewah yang disaksikan oleh Mel.

Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya dengan cara sering menitip pesan tentang kehidupan
Contoh: Bonda sering mengingatkan Mel agar memelihara agama dan bahasa ibunda agar dihormati.


Sinopsis Cerpen Munsyi

CerpenMunsyi ini tentang keinginan seorang anak muda, iaitu Mel yang mahu berhijrahdan menetap di ibu kota.Namun, hasratnya itu dihalang oleh bondanya. Bondanya bimbang sekiranya anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar. Bondanyamemberikan alasan bahawa Mel masih belum menguasaiilmu agama, bahasa ibunda dan ilmu pengetahuan yang secukupnya.

Bonda Mel telah menceritakan berbagai-bagai kisah yang berkaitan dengan kehilangan nilai tradisi nenek moyang oleh anak-anak muda di ibu kota yang mudah tergadai maruah diri atas nama kemajuan. Menurut bonda Mel lagi, warga kota yang berbilang kaum mengamalkan sikap prejudis dan berprasangka serta mengutamakan kepentingan diri masing-masing. Pada suatu ketika dahulu, kota pernah mencatatkan sejarah hitam akibat sentimen perkauman yang berpunca daripada pihak penjajah yang berjaya menanamkan benih-benih persengketaan.

Dengan berdasarkan hal yang dinyatakan oleh bonda itu, bonda menasihati Mel supaya memelihara agama, bahasa, bangsa, dan negara supaya terus dihormati dan disegani. Sifat yang ditunjukkan oleh bonda ini menunjukan bahawa bonda mempunyai semangat patriotik yang kuat. Buktinya, bonda banyak menyimpan buku lama tentang bahasa dan sejarah. Mel selalu membaca buku tersebut. Bonda menyatakan bahawa asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu, dan kesetiaan pada pemerintah yang adil.

Apabila Mel telah mempunyai ilmu yang cukup dan mempunyai kemampuan untuk berjuang di kota, barulah bonda mengizinkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan. Bonda berpesan kepada Mel supaya menjaga dua perkara, iaitu agama dan bangsa. Bonda juga meminta Mel untuk memberikan sejumlah buku kepada kawan lamanya yang bernama Munsyi. Apabila tiba di bandar, Mel menyerahkan buku-buku tersebut pada kawan bondanya itu. Apabila mengamati keadaan dan sikap Munsyi, Mel berpendapat bahawa Munsyi merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya. Munsyi tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar. Di bandar, Melberasa sedih dan malu apabila melihat generasi muda bangsanya telah hilang identiti dan jati diridengan mengamalkan pergaulan bebas dan menggunakan bahasa rojak.

Pada suatu hari, Mel mendapat berita bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel. Apabila Mel mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ. Mel tergamam apabila melihat rumah Munsyi bersama-sama dengan puluhan buku lama yang diberikan oleh bondanya hancur diranapkan oleh jentera berat. Kesedihannya semakin bertambah apabila mengenangkan satu-satunya tanah rizab bangsa di pinggir kota itu akan dimiliki oleh saudagar asing yang akan mengaut keuntungan kelak. Mel tidak dapat menemui Munsyi. Mel berusaha untuk menjejaki Munsyi tetapi gagal. Orang tua yang merupakan pejuang bahasa itu telah menghilangkan diri.


Binaan Plot Cerpen Munsyi

Plot permulaan cerpenMunsyi dimulai dengan hasrat Mel/ penulis yang ingin bekerja dan menetap di ibu kota. Hasratnya itu dibantah oleh bondanya/ibunya kerana bimbang Mel akan terpengaruh oleh budaya hedonisme dan modenisme yang sedang melanda remaja di kota. Bonda memberikan alasan bahawa Mel masih belum menguasai ilmu agama dan lemah dari segi penguasaan bahasa ibunda.

Penulis memerihalkan kisah bonda Mel yang menceritakan berbagai-bagai kisah yang berkaitan dengan kehilangan nilai tradisi nenek moyang oleh anak-anak muda di ibu kota yang mudah tergadai maruah diri atas nama kemajuan. Menurut bonda Mel lagi, warga kota yang berbilang kaum mengamalkan sikap prejudis dan berprasangka serta mengutamakan kepentingan diri masing-masing. Pada suatu ketika dahulu, kota pernah mencatatkan sejarah hitam akibat sentimen perkauman yang berpunca daripada pihak penjajah yang berjaya menanamkan benih-benih persengketaan. Mel bertekad untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman dahulu sebelum benar- benar bersedia untuk berhijrah ke ibu kota.

Setelah ilmu penuh di dada, bonda telah membenarkan Mel berhijrah ke kota. Semasa hendak ke kota, bonda telah meminta Mel supaya memberikan buku-buku lama kepada sahabatnya, iaitu Munsyi. Semasa di kota, Mel dapat menyaksikan anak-anak muda telah hanyut dalam keseronokan hidup dan melanggar batas-batas susila dan agama. Mel mendapat berita bahawa kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang. Hal ini bermakna tempat tinggal penduduk termasuklah rumah Munsyi akan dirobohkan.

Tahap perumitan cerpenMunsyi apabila Mel berasa sedih dan malu apabila melihat anak-anak muda yang sebangsa dengannya di ibu kota hilang maruah diri dengan mengamalkan pergaulan bebas dan menggunakan bahasa rojak. Bagi Mel, mereka telah kehilangan identiti dan jati diri. Mel kemudiannya mendapat khabar tentang projek pembinaan bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang di atas tanah rizab Melayu di pinggir kota. Semua keluarga yang tinggal di tanah rizab tersebut diarahkan berpindah termasuklah Munsyi.

Klimaks cerpenMunsyi apabila Mel tergamam melihat rumah Munsyi bersama-sama dengan puluhan buku lama yang diberikan oleh bondanya hancur diranapkan oleh jentera berat. Kesedihannya semakin bertambah apabila mengenangkan satu-satunya tanah rizab bangsa di pinggir kota itu akan dimiliki oleh saudagar asing yang akan mengaut keuntungan kelak. Mel tidak dapat menemui Munsyi.

Peleraian cerpenMunsyi bermula apabila Mel berusaha untuk menjejaki Munsyi tetapi gagal. Orang tua yang merupakan pejuang bahasa itu telah menghilangkan diri.


Teknik Plot KomsasMunsyi

Teknik pemerian
Contohnya, penulis memerihalkan suasana tegang yang berlaku di kawasan perkampungan tradisi di pinggir ibu kota ketika kerja-kerja merobohkan rumah-rumah kayu usang penduduk dijalankan oleh pihak berkuasa.

Teknik dialog
Contohnya, “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya?”

Teknik imbas kembali
Contohnya, Melteringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau.

Teknik imbas muka
Contohnya, Mel membayangkan satu-satunya tanah rizab milik bangsa Melayu di ibu kota akan berpindah milik kepada saudagar asing apabila kawasan itu akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah serta hotel bertaraf lima bintang.

Teknik kejutan
Contohnya, pembaca terkejut dan tidak menduga sama sekali bahawa Munsyi akan menghilangkan diri apabila rumahnya dirobohkan.

Saspens
Contohnya, selepas kejadian rumah-rumah dirobohkan oleh penguat kuasa, Mel masih tidak menemui kelibat Munsyi. Peristiwa ini menimbulkan tanda tanya tentang perkara yang terjadi kepada Munsyi sehingga dia menghilangkan diri tanpa dapat dikesan oleh Mel.


Gaya Bahasa Cerpen Munsyi

Metafora
Contohnya, api prasangka; tembok dan benteng perkauman; pagar-pagar perkauman.

Peribahasa
Contohnya, baru setahun jagung, besar hati.

Personifikasi
Contohnya, pesan mulus yang lama terpahat di pangkal hati dan pesan itu menyuburi hati dan perasaan saya.
Contohnya, darah dan korban menjadi saksi kepada sebuah api pergolakan.(hlm. 57)

Kata pinjaman Inggeris
Contohnya, hedonism; modenisme; globalisas; ideologi.

Simile
Contohnya : Bersamping bagaikan seorang maharaja pada kesultanan Melaka. (hlm 61)


LatarKomsas Munsyi

Latar Tempat

Kampung tradisi
Mel berjumpa dengan Munsyi dan menyerahkan beg yang berisi puluhan kitab lama yang dibawanya dari kampung.

Ibu kota
Anak-anak muda di kota tidak segan silu menjual bahasa ibunda dan merosakkan agama yang murni.

Kampung halaman
Mel menetap di kampung bersama-sama bondanya sejak kecil lagi.


Latar Masa

Zaman pemerintahan penjajah
Penjajah telah memerintah negara menggunakan sistem pecah dan perintah.

Zaman selepas merdeka
Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.

Minggu pertama di kota
Mel menyaksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda sebangsanya yang menetap di kota.

Seminggu selepas perkhabaran mengambil alih kampung tradisi
Jentera berat bersiap sedia untuk merobohkan rumah-rumah di perkampungan tradisi sambil penguat kuasa mengawal demonstrasi penduduk membantah penccerobohan itu.


Latar Masyarakat

Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan.
Penduduk kampung tradisi mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa.

Masyarakat yang cekal dan berani.
Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

Masyarakat yang taat kepada ibu bapa
Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda.

Masyarakat yang rajin membaca
Mel membaca bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan kitab-kitab lama bertulisan jawi walaupun agak perlahan.

Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan
Bonda mahu Mel melengkapkan dirinya dengan ilmu sebelum berhijrah ke kota agar Mel tidak hilang jati diri sebagai generasi bermaruah.

Masyarakat kota yang hilang maruah dan jati diri.
Mel mendapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya telahhilang jati diri danmengamalkan pergaulan bebas.

Masyarakat yang amat mencintai agama, bahasa, budaya, dan adat resam turun-temurun


Watak Perwatakan Cerpen Munsyi

Anak lelaki kepada bonda.

Seorang yang taat akan ibu bapa
Contoh : Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda.

Seorang yang rajin membaca
Contoh : Mel membaca bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan kitab-kitab lama walaupun bertulisan jawi.

Seorang yang tidak mudah putus asa dan bijak merancang masa depan
Contoh : Mel menyampaikan hasratnya kepada bonda untuk membina kehidupan di kota walaupun bonda berkali-kali membantah hasratnya itu.

Seorang yang amanah dan jujur
Contoh : Mel menyampaikan salam bonda kepada Munsyi sebelum menghulurkan beg berisi puluhan kitab lama yang dibawanya dari kampung.

Ibu kepada Mel.

Seorang yang penyayang
Contoh: Bonda sangat menyayangi Mel. Dia memberikan pelbagai alasan agar Mel terus menetap di kampung bersamanya.

Seorang yang beriman
Contoh: Bonda selalu mengingatkan Mel supaya tidak meninggalkan perintah agama

Seorang yang mementingkan ilmu pengetahuan
Contoh :Bonda mahu Mel melengkapkan dirinya dengan ilmu sebelum berhijrah ke kota agar Mel tidak hilang jati diri sebagai generasi bermaruah.

Seorang yang berjiwa patriotisme
Contoh: Bonda telah menanamkan sifat-sifat patriotisme dalam diri Mel dengan menceritakan kisah-kisah sejarah kepada Mel.

  • Sahabat baik kepada bonda dan tinggal di ibu kota.
  • Berusia emas dan mempunyai janggut yang menutupi sebahagian mukanya yang putih bersih.

Seorang yang menghormati tetamu.
Contoh : Selepas Mel memperkenalkan diri, dia mula tersenyum kepada Mel sebelum mempersilakan dia masuk.

Seorang yang teguh jati diri
Contoh : Munsyi berpakaian lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping serta menggenggam keris semasa Mel ke rumahnya.


Nilai Cerpen Munsyi

Patriotisme
Contohnya, bonda berusaha untuk menanamkan semangat patriotik dalam diri Mel dengan harapan Mel akan menjadi seorang pejuang yang berani mempertahankan nilai dan kepentingan bangsa sendiri kelak.

Tanggungjawab
Contohnya, bonda menjaga khazanah nenek moyangnya yang berupa kitab-kitab lama bertulisan jawi yang tidak ternilai harganya dengan begitu cermat.

Nilai hormat-menghormati
Contohnya, Mel amat menghormati Munsyi sebagai seorang pejuang bahasa.

Kasih sayang
Contohnya, bonda berpesan dan menasihati Mel agar sentiasa menjaga agama dan bahasa ibundanya sewaktu dia berada di ibu kota.

Berdikari
Contohnya, Mel berhijrah seorang diri ke ibu kota untuk mencari kerja yang dapat menjamin kehidupan yang lebih sempurna untuk masa depannya.

Kegigihan
Contohnya, Mel berusaha untuk menjejaki rumah Munsyi sehingga berjaya berpandukan peta yang dibekalkan oleh bondanya.

Ketaatan
Contohnya, Mel patuh akan arahan bondanya agar menangguhkan pemergiannya ke ibu kota atas faktor ilmu dan pengalamannya yang masih cetek.

Amanah
Contohnya, Mel menyerahkan naskhah-naskhah kitab lama milik bondanya kepada Munsyi yang menetap di perkampungan tradisi di ibu kota.


Pengajaran Cerpen Munsyi

Kita hendaklah mentaati kedua-dua ibu bapa kita agar hidup diberkati
Contoh: Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda

Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan
Contoh: Mel rajinmengkajiteks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan kitab-kitab lama bertulisan jawi walaupun agak perlahan.

Kita hendaklah memiliki sifat patriotisme agar tidak mudah terpedaya dengan anasir asing
Contoh: Bonda telah menanamkan sifat-sifat patriotisme dalam diri Mel dengan menceritakan kisah-kisah sejarah kepada Mel.

Kita hendaklah menghormati dan melayani tetamu dengan baik
Contoh: Selepas Mel memperkenalkan diri, Munsyi mula tersenyum kepada Mel sebelum mempersilakan dia masuk

Kita hendaklah mencintai budaya sendiri agar tidak hilang ditelan zaman
Contoh: Munsyi berpakaian lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping serta menggenggam keris semasa Mel ke rumahnya

Kita perlulah mengikut nasihat orang tua-tua yang lebih berpengalaman.

Kita mestilah mengamalkan sikap amanah dan jujur semasa menyempurnakan hajat seseorang.

Kita perlulah memahami dan menghayati sejarah tanah air kerana sejarah merupakan fakta kebenaran, bukannya suatu pembohongan.

Kita tidak sewajarnya menggadai maruah dan harga diri untuk mengejar keduniaan.


Soalan Cerpen Munsyi

Nyatakan perkara yang dibimbangkan oleh bonda sekiranya Mel bermastautin di ibu kota?

Perkara yang dibimbangkan oleh bonda sekiranya Mel bermastautin di ibu kota ialah pengaruh hedonisme dan modenisme yang melanda anak-anak muda.

Pada pendapat anda, mengapakah bahasa ibunda mesti dimartabatkan?

Pada pendapat saya, bahasa ibunda mesti dimartabatkan kerana bahasa ibunda merupakan bahasa rasmi dan menjadi lambang jati diri rakyat Malaysia. Selain itu, bahasa ibunda menjadi bahasa pengantar ilmu pengetahuan dan menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa.

Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu persoalan lain daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.

Persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas ialah usaha menghidupkan semangat patriotisme dalam jiwa anak-anak muda. Sebagai contoh, bonda meminta anaknya melengkapkan diri dengan ilmu agama dan menguasai bahasa ibunda dengan baik sebelum berhijrah ke kota.

Manakala persoalan lain daripada cerpen ialah kesan penjajahan kepada penduduk peribumi. Sebagai contoh, penjajah gagal mengagihkan kekayaan sama rata antara kaum dan akibatnya berlaku persengketaan yang menyebabkan pertumpahan darah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *